Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Bingka Pandan Yang Sedap


Pagi pagi hari minggu saya bangun dan terus ke dapur untuk menyediakan kuih bingka pandan. Ini adalah kerana kuih ini agak lama dibakar dan perlu lama menunggu ianya betul betul sejuk, baru boleh dipotong. 

Jadi saya mahu supaya Nana dapat merasainya sebelum balik ke rumah mereka. Telah lebih 2 minggu Nana tinggal di rumah kami. Sejak sebelum majlis akikah Aliya dan harijadi Ammar pada awal bulan Ogos yang lalu. 


Saya memang peminat kuliah Tokku Pasir Gudang iaitu Ustaz Md Esa Deraman kerana kuliah beliau yang disampaikan menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami. Ayat ayat digunakan memang menyentuh hati. 

Kali ini saya ambil petikan tajuk bab rezeki di mana seorang tidak akan dimatikan sehingga rezekinya disempurnakan. Jadi dalam hidup kena ada prioriti dan keutamaan. Masa untuk beribadah dan keutamaan masa pada Allah, tidak akan menjejaskan rezeki seseorang. 

Orang beriman mesti ada satu jadual prioriti keutaamaan contoh orang bermain bola dalam masa 90 minit. Selepas itu, tamat perlawanan dan tak boleh ada di padang. Sehebat mana permainan, akan ada waktu tamat. Jadi jangan nak berseronok lebih. Lepas itu waktu dengan Allah. Ukur balik apakah waktu dengan majlis ilmu sebagai contoh kurang dari waktu bersama manusia lain. Jika ya, maknanya kita untung sikit kerana pelanggan dunia beri keuntungan sedikit berbanding dengan pelanggan akhirat. 

Masa kamu bersama dengan Allah. Kamu anggap masa dengan perniagaan kamu lebih penting. Apa kah ini sikap kamu sebagai orang beriman? Jika itu, maka kita tunggu sesuatu yang kita akan meninggalkan semuanya. Pada hari kita terpisah dari yang kita sayangi sehingga kita datang pada Allah.

Jaminan yang meyakinkan ibadat kita tidak akan mengganggu rezeki. Allah jamin tidak akan sia sia masa beribadah dengan Allah. Rezeki akan mengejar Hamba Allah lebih kuat dari ajal memburunya. Semua orang tahu dan yakin bahawa mati itu pasti. Tapi rezeki orang tak yakin datang macam mana. 

Seorang tak akan mati sehingga Allah cukupkan rezekinya. Maka rezeki akan datang mencukupi keperluan kita. Cepat atau lambat. Ini peraturan Allah. Orang beriman unik sedikit kerana rezekinya menjadi pahala. Rezeki orang kafir menjadi bala yang menambah azab dan sengsara. 

Jika Allah sayang seorang hambaNya maka pintu rezeki yang dllihat sebelum ini tertutup akan terbuka dan datang tanpa disangka sangka. Rasulullah bersabda bahawa Allah enggan memberi rezeki kepada orang beriman melainkan tanpa disangka sangka. Kenapa? Kerana untuk menguatkan keyakinan dia pada Allah. 

Ramai percaya sesuatu pekerjaan itu sebagai asbab datangnya rezeki. Kita orang beriman Allah sayang dengan tutup pintu itu sehingga kita tak nampak. Datang rezeki tanpa kita belajar mencari nya. Belajar engineering tapi last sekali jadi orang lain. Kerana Allah enggan beri rezeki dengan cara yang kita belajar. Allah beri rezeki dengan jalan lain. Lain dari apa yang dia belajar. 

Jangan dengki dan berangan nak jadi macam orang yang Allah lebihkan rezeki berbanding kamu. Jangan nak jadi macam dia. Tak perlu. Kita sedang diuji dengan hanya banyak ini sahaja rezeki kita.

Jangan guna masa sepatut untuk buat ibadah untuk cari rezeki. Dengar azan, terus berhenti cari rezeki. Sambut seruan azan. Orang beriman bukan dengar azan tapi tunggu azan. Untuk tunjuk persiapan. Kalau kita faham bahawa perjalanan rezeki macam itu. Orang beriman perlu patuhi peraturan rezeki, waktu perlu untuk cari rezeki dan waktu beribadah pada Allah, halal haram rezeki dsb.

Semoga kita semua mendapat manafaat. Jangan kita risau dengan rezeki kerana janji Allah, bahawa seseorang tidak akan dimatikan sehingga. rezeki kita dicukupkan. Cari rezeki juga dengan cara halal.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa menonton video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...

Kuih Bingka Pandan

Oleh: Azie Kitchen


Bahan bahan:

3 biji telur 

1 ½ cawan tepung gandum

¾ - 1 cawan gula - ikut manis disukai

1 cawan santan kotak kecil - 1 kotak santan

2 cawan air daun pandan

1 sudu kecil garam

Pewarna hijau - opsyenal


Cara cara:

Kisar semua bahan sehingga sebati. Tuang dalam loyang 8x8” yang telah disapu minyak atau majerin. 


Bakar dalam oven yang tekah dipanaskan pada suhu 180°C selama 1 jam. Setelah benar benar sejuk, baru dipotong. 




Nota:

Jika suka, boleh taburkan bijan selepas beberapa minit kuih dibakar dalam oven.  


1 ulasan for "Kuih Bingka Pandan Yang Sedap"