Selasa, 10 Mei 2022

Rendang Hijau Kerang



Alhamdulillah hari ini saya berjaya menggagahkan diri untuk melakukan briskwalking sebanyak 3 pusingan tasik yang berhadapan dengan bilik tidur saya. Memang saya kena kuatkan hati kerana saya memang sangat mengantuk setelah saya langsung tidak tidur malam tadi walaupun saya ada mengambil ubat yang boleh memberi kesan mengantuk.

Sepanjang jalan mengelilingi tasik, saya mendengar youtube bab taubat oleh Tokku Pasir Gudang. Antara yang saya ingin kongsikan dari petikan kuliah tersebut ialah cara bertaubat. Caranya ialah pertama dengan memisahkan diri dari orang yang berbuat jahat. Mereka boleh menghalang niat seseorang untuk bertaubat. Jangan menjadi sahabat dengan orang yang tidak membantu kita untuk bertaubat, bahkan boleh mematikan azam kita untuk bertaubat. 

Bagaimana cara mahu mengukur kawan yang baik atau sebaliknya. Kawan jahat adalah jahat yang macam mana untuk kita nak kenal? Pertama, kita ajak mereka jadi baik, mereka tak nak jadi baik. Kalau begitu, kamu bantu aku jadi baik tapi mereka tetap engkar. 

Kalau kamu tidak mahu jadi baik dan tak mahu bantu aku jadi baik, kamu kena redha dengan kebaikan yang aku buat. Kamu kena suka dengan apa kebaikan yang aku buat. Jika mereka tetap tidak suka, lalu kata jangan kamu halang aku dari buat baik, tapi kalau mereka menghalang. Kalau begitu, jangan lakukan sesuatu yang menghalang aku mendapat redha Allah. Inilah perkara yang kita boleh guna untuk menilai samada kawan kita seorang baik atau tidak. 

Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat memberikan manafaat. Jika kawan itu tidak baik, maka kita kena berubah dengan mencari sahabat yang baik yang boleh membantu kita untuk berubah dan bertaubat. Sekarang kita masuk pula bab resipi.  


Saya memang suka makan kerang tapi sejak allergi dengan makanan laut yang bercengkerang, saya terpaksa kurangkan. Lagi pulak untuk mendapatkan 300-500 gram isi kerang memerlukan sekurangnya 5-6 kg kerang. Kerang pula bukan main lagi mahal sekarang ini. Dah jatuh kategori makanan mewah lah pula. 

Kalau isi kerang memang lauk yang saya akan masak, seperti biasalah rendang atau sambal tumis. Rendang pulak ada 2 jenis, iaitu rendang biasa atau rendang hijau. Semua pun saya suka. Kalau kerang yang segar, rebus dan terus makan isinya pun sedap. Kita ubah ubah lah menunya agar tidak menjemukan. Pelbagaikan cara masakan.

Jangan lupa baca tips di bawah untuk mendapatkan isi kerang yang tidak kecut dan masih cantik. Saya biasanya merebus tanpa air kerana kerang akan mengeluarkan air yang banyak. Kacau rata jer. Setelah nampak kerang dah ternganga, bolehlah ditutup api.  

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...


Rendang Kerang Hijau
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
300 gram isi kerang
250 gram santan pekat
1-2 sudu besar kerisik
1 helai daun kunyit
1 keping asam keping
Garam
Gula
Minyak masak

Bahan kisar:
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 batang serai
1 inci lengkuas
1 inci halia
2-3 biji cili hijau
8-10 biji cili api hijau - ikut pedas disukai
1 sudu besar kunyit hidup

Cara cara:
Basuh kerang dengan sedikit air kapur sehingga bersih. Rebus kerang tanpa air di dalam kuali dan ditutup seketika. Kacau sekali sekala sehingga kerang terbuka. 

Angkat dan masukkan kerang ke dalam air ais dan masukkan sedikit ketulan air batu. Biarkan seketika sebelum dikopek isinya.  Nota: isi kerang boleh disimpan dalam peti beku jika tidak terus digunakan. 
 

Untuk masak rendang, panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.

Masukkan santan dan kacau rata. Masukkan asam keping, garam dan kerisik.

Akhir sekali masukkan kerang dan daun kunyit. Masak sehingga kering yang disukai.


Add your comment