Ahad, 8 Mei 2022

Nasi Ayam Mudah Dan Sedap



Pagi ini saya menerima mesej dari La, rakan sekerja saya di Bank Negara.  La memberitahu juga yang adik dan Bonda beliau meninggal selang seminggu pada penghujung Februari dan awal Mac yang lalu. Saya boleh merasakan kesedihan kehilangan orang yang tersayang dalam keadaan seperti La.

Saya terkedu seketika bila mendapat tahu adiknya yang masih muda meninggal selepas 10 hari mendapat suntikan vaksin Booster. Walaupun banyak kes sebegini tapi agak sukar untuk mengaitkan dengan kesan vaksin. 

Kami setuju bahawa umur kami adalah umur bonus. Terasa sedih sebenarnya kerana memang kematian boleh datang tanpa mengira usia tapi yang tua, pastinya ajal lagi menghampiri. Hari ini juga dapat perkhabaran yang sepupu saya di kampung juga telah meninggal. Innaalillaahi wainaa ilaihiroojiuun. 

Dalam hidup ini, apa yang sebenarnya harus kita cari. Apa yang orang bijak dan cerdik cari? Mereka mencari keredaan Allah. Itulah jalan yang lurus jalan orang orang yang diberi petunjuk. 

Saya terharu bila La menyebut, semoga Zie mendapat pahala kerana berkongsi ilmu masakan dengan orang ramai. Aameen mudah mudahan begitulah hendaknya. Semoga Allah terus memberikan keikhlasan pada saya untuk terus berkongsi selagi terdaya. 

Di masa kini, saya memang tidak mampu bersaing dengan orang orang muda yang banyak menghasilkan video masakan yang cantik dan kreatif. Saya tak larat untuk menghabiskan masa yang banyak di dapur untuk menghasilkan video masakan setiap hari. 

Saya perlu fokus juga pada benda benda lain dalam baki hidup ini selagi usia masih ada. Allah telah memberi pelbagai nikmat sepanjang hidup saya yang mungkin tidak pernah saya mimpikan selama ini. Jadi apa lagi yang ingin saya kejar. 

Jika ada yang masih mahu mendapatkan resepi yang saya kongsikan, mereka boleh dapatkannya di blog ini. Saya percaya masih ramai yang mencari resipi di blog seperti saya sendiri. Saya tidak mencari resipi di Instagram atau facebook walaupun ada juga saya menggunakan resipi yang kebetulan singgah di feed facebook saya. Tapi kalau saya mencari, saya pasti google untuk resipi di blog. 

OK sekarang kita masuk pula bab masakan iaitu nasi ayam. Nasi ayam ini terdapat pelbagai versi dan cara menyediakannya. Saya memang suka bereksperimen dengan resipi nasi ayam. Resipi hari. ini adalah juga antara resipi nasi ayam yang mudah dan sedap. 


Nasi ayam adalah kegemaran kami sekeluarga. Jadi bila kekeringan idea untuk menyediakan lauk pauk, pasti nasi ayam yang akan datang dalam fikiran. Senang sekali masak nasi dan ayam dah siap. Tak perlu sediakan pelbagai lauk pauk.

Jom layan resipi nasi ayam saya hari ini. Jangan lupa, jika anda belum lagi follow blog saya, klik lah butang follow blog. Selamat mencuba....



Nasi Ayam Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan Ayam Goreng 
1 ekor ayam - potong 4
Sos perapan Lee Kum Kee
3 ulas bawang putih - tumbuk

Gaul ayam dengan semua bahan di atas dan ketepikan. Kalau boleh, biarkan selama beberapa jam atau semalaman, lagi sedap. 

Panaskan air dan rebus ayam perap sehingga masak dan lumur garam dan serbuk kunyit. 


Panaskan minyak dan goreng hingga nampak garing dan keperangan.  Jangan terlebih garing supaya ayam kekal rangup di luar dan juicy di dalamnya. 




Bahan Bahan Sup

Ayam 
1 biji bawang besar - belah 2
2 ulas bawang putih - belah 2
1 inci halia - hiris kasar
Batang saderi
Akar ketumbar
1 kiub pati ayam
Garam
Minyak bijan
Sos ikan

Bersihkan ayam dan ketepikan sedikit lemak untuk digunakan semasa memasak nasi. 

Rebus ayam, kaki ayam, tengkuk bersama bersama. semua bahan di atas sehingga mendidih, masukkan kiub pati ayam dan garam. Biarkan ianya merenih atas api perlahan. 

Keluarkan semua bahan dan masukkan sedikit minyak bijan dan sos ikan. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
Air rebusan akan menjadi sup dan digunakan untuk masak nasi.


Nasi Ayam 
4 cawan beras
6 cawan air rebusan ayam
2 sudu besar majerin
2 inci halia - hiris kasar
Lemak ayam
1 helai daun pandan

Rendam beras selama 20 minit. Kemudian toskan.

Masukkan majerin ke dalam periuk dan masukkan halia dan lemak ayam. Kacau rata sehingga lemak ayam menjadi kecut. Masukkan daun pandan.


Kemudian masukkan beras yang telah ditos tadi dan goreng beras tersebut.

Masukkan air rebusan ayam mengikut sukatan beras tadi. Masukkan batang saderi, garam. Nota: saya guna 4 cawan beras dengan 6 cawan air. 

Masak nasi seperti biasa samada di atas dapur atau menggunakan periuk eletrik.



Sambal Cili
7 tangkai cili merah - 120 gram
5 ulas bawang putih - 30 gram
2 inci halia - 10 gram
2 biji limau kasturi - perah jus
½ cawan air masak
3 sudu besar cuka
2 sudu besar gula
2 sudu kecil garam

Kisar semua bahan di atas dan sedikit kulit limau kasturi yang dibuang biji sehingga halus. Sedia untuk dihidangkan.  


Sos Kicap


Bahan bahan:

2 ulas bawang putih - cincang

1 sudu besar sos tiram

2 sudu besar kicap cair

1 sudu besar sos perasa maggi

½ sudu besar sos lea n perrin

½ sudu besar kicap pekat

1 sudu besar gula

1 cawan air

2 sudu besar minyak


Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga keperangan. Masukkan semua bahan lain dan masak sehingga mendidih. Angkat dan sedia untuk dihidangkan. 


Lebihan sos perap ayam tadi dicampur dengan sedikit air rebusan ayam.


1 ulasan

  1. Saya pun masih mencari resepi di blog. Blog masih releven buat saya. Terima kasih kak Azie, banyak resepi akak saya guna. Semoga ilmu masakan yang diturunkan sentiasa mendapat ganjaran Allah.

    BalasPadam

Add your comment