Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Tepung Pelita Asli Di Bulan Ramadhan Yang Sedap



Alhamdulillah hari ini adalah hari jadi saya. Masya Allah anak anak secara diam diam telah berpakat untuk berbuka puasa di Glam Hall sempena hari jadi saya. Mereka juga berpakat membeli bunga dan kek untuk meraikan hari jadi saya. 

Saya merasa sangat terharu dengan ingatan mereka. Jika dulu, saya yang akan membayar untuk meraikan hari jadi anak anak. Kini keadaan menjadi sebaliknya mereka telah besar dan telah bekerja. Saya pula tidak lagi bekerja. 

Hari ini juga, bermakna telah genap dua tahun saya menjalani hidup sebagai seorang pesara setelah bekerja berpuluh tahun sebaik menamatkan pengajian di universiti. Saya tidak sempat pun untuk berehat dari tamat zaman sekolah.

Kini, saya bebas untuk melakukan apa sahaja yang saya sukai. Saya boleh bangun dan tidur bila bila masa yang saya suka. Sesuatu yang tidak pernah saya nikmati waktu bekerja. Saya tidak suka tidur siang hari kerana terasa sayang sangat untuk tidur terutama kalau waktu saya bercuti. 

Hahaha cuti bila ditukar ke nilai tunai, akan menjadi sangat berharga. Jadi saya tidak akan mengambil cuti sesuka hati. Memang kena berjimat cermat dengan cuti tahunan.

Sejak menjadi pesara, barulah saya berpeluang untuk banyak membuat video untuk masakan yang saya sediakan. Maklumlah untuk edit satu video kadang kadang boleh memakan setengah hari. Jadi jangan lupa untuk memberi sokongan supaya saya terus bermotivasi untuk menceriakan dunia masakan di alam maya. Sekarang kita masuk bab masakan.

Tepung pelita adalah antara kuih tradisional yang menjadi kegemaran saya. Namun sangat susah untuk menemui kuih tepung pelita yang sedap seperti kuih pelita yang pernah saya makan masa kecil dulu.

Banyak resipi yang ditemui di google atau di youtube bukan lagi resipi tepung pelita seperti zaman dulu yang lembut berkuah air gula tapi sebaliknya seperti kuih talam yang dihidangkan dalam bekas daun pisang sahaja. Tengok gambar di bawah yang saya maksud berkuah air gula cair.



Ada yang masak lapisan hijau dan masuk dalam bekas. Kemudian masuk pula lapisan putih dan terus simpan dalam peti sejuk. Memang lah kita patut melakukan inovasi tapi tidaklah sampai merubah keaslian kuih tradisional ini.

Saya juga ada menyediakan video di Azie Kitchen Youtube Channel di bawah ini. Jangan lupa untuk klik subscribe bagi mendapat notifikasi setiap kali video baru di pos dalam channel saya. 


Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa untuk mencubanya tau.  



Kuih Tepung Pelita Asli
Oleh: Azie Kitchen

Lapisan Hijau:
½ cawan tepung beras
¼ sudu kecil air kapur makan
2 cawan air daun pandan

Lapisan Santan
½ cawan tepung beras
2 cawan santan - asal 2 ½ cawan
¼ sudu kecil garam

Cara cara:
Sediakan bekas tepung pelita dengan melapik 2 atau lebih helai daun pisang. Dengan menggunakan kotak saiz 5 x 8 cm sebagai acuan, bentukkan bekas dengan dilipat di hujung dan di stapler. Ulang proses untuk hujung satu lagi. 


Panaskan periuk pengukus. Masukkan 1 sudu besar gula ke dalam bekas tepung pelita dan susun dalam loyang saiz 8 x 8 inci. Kukus selama 1 minit. Angkat.


Kisar 4-5 helai daun pandan untuk dijadikan air daun pandan secukupnya. Satukan kesemua bahan lapisan hijau. 

Masak sehingga hampir pekat dan berkilat. Tutup api. Terus kacau sehingga adunan rata dan tidak berketul. 

Tuang ke dalam bekas tepung pelita dengan ⅓ penuh. Kukus selama 15 minit. Nota: saya masukkan dalam jug dulu untuk memudahkan dituang adunan ke dalam bekas.


Sementara lapisan hijau dikukus, satukan semua bahan lapisan santan dan tapis. Masak atas dapur sambil dikacau sehingga hampir pekat seperti lapisan hijau tadi. Terus tutup api dan terus kacau supaya tidak berketul. 

Tuang ke atas lapisan hijau tadi dengan berhati hati, kalau lapisan hijau pecah jika masih lembut. Kukus selama 10 minit. Sedia untuk diangkat.



Nota;
Jangan terlebih air kapur kerana lapisan hijau akan rasa pahit.

Susun bekas rapat rapat antara satu sama lain supaya bentuknya cantik selepas dikukus.

Tepung pelita asli akan berkuah air gula di bahagian bawah bekas bila diceduk dan kuihnya lembut lembut. 


Catat Ulasan for "Kuih Tepung Pelita Asli Di Bulan Ramadhan Yang Sedap"