Rabu, 28 April 2021

Ayam Masak Merah Yang Sedap



Alhamdulillah hari ini kita telah berada pada hari ke16 berpuasa Ramadhan. Malam tadi iman mula bacaan Qunut dalam solat Witir. Di samping gembira kerana tidak lama lagi akan tiba 10 malam terakhir di mana terdapatnya satu malam yang dipanggil malam Lailatul Qadr. 

Tetapi hati mula terasa sedih kerana tidak lama lagi Ramadhan juga akan berlalu pergi. Sungguh rugi pada sesiapa yang tidak mengambil kesempatan untuk melakukan solat terawih kerana solat terawih hanya ada di dalam bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukan bulan untuk berpesta dengan majlis berbuka puasa.

Ya lah hidayah milik Allah tapi manusia juga kena berusaha mencari hidayah Allah. OK setakat ini dahulu, sekarang kita masuk pula bab masakan.

Ayam masak merah adalah antara lauk ayam yang paling saya suka masak. Kenapa ya? Hmm agaknya kerana lauk ini juga sinonim dengan lauk di majlis kenduri kawin di sini. Tapi lauk ini hanya kebelakangan ini sahaja ada di majlis kawin di kampung saya. Dulu dulu tak pernah jumpa pun. Saya memang belajar untuk memasak lauk ini dengan mencuba dan mencuba tanpa jemu.



Saya pernah melihat sepupu saya menyediakan lauk ini untuk majlis tahlil di rumah kakak. Dia menumis bawang dulu sehingga betul betul masak dan terbit minyak, baru dimasukkan cili kisar. 

Sekali lagi dikacau sehingga cili pula masak dan terbit minyak sebelum dimasukkan sos cili dan sos tomato. Jadi ayam masak merah bukan sahaja lebih sedap tapi juga tahan lama. Tak risau kalau ianya basi. Lagi lagi majlis kenduri di kampung sehingga ke malam pun masih ada yang datang. 

Kalau untuk majlis kawin juga, ayam direbus dengan bawang dan halia kisar serta kunyit terlebih dahulu sebelum diangkat dan digoreng seketika. Jadi ayam akan masak sempurna. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...



Ayam Masak Merah 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan: 
1 ekor ayam
6 sudu besar cili kering kisar
6 sudu besar sos tomato heinz
5 sudu besar sos cili
¼ cawan cair - opsyenal
1 biji bawang besar kuning - hiris bulat
1 ½ cawan minyak
2 kiub pati ayam Knorr
¼ cawan kacang peas
3 ½ sudu besar gula

Bahan kisar:
2 biji bawang besar
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
½ inci halia

Cara cara:
Ayam dilumur dengan ½ sudu besar serbuk Knorr Pasti Sedap dan ½ sudu besar serbuk kunyit. Kemudian goreng sehingga sekadar masak sahaja.

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau dan terbit minyak.

Masukkan cili kisar dan tumis atas api sederhana sehingga garing dan terbit minyak.

Kemudian masukkan kiub ayam Knorr, sos tomato, sos cili dan gula. Kacau rata. Masukkan sedikit air.

Setelah mendidih, masukkan ayam. Kacau rata. Akhir sekali masukkan bawang besar dan kacang peas. Jika suka, masukkan sedikit susu. Sesuaikan rasa dan boleh tutup api.


Add your comment