Rabu, 24 Februari 2021

Masak Lemak Daging Salai Dengan Pucuk Ubi



Saya memang penggemar daging salai, yang merupakan lauk serta masakan yang terkenal di Negeri Sembilan. Sekarang ini daging salai juga banyak di negeri negeri lain. Hari ini saya menggunakan daging salai ibu dari Kuala Kangsar. Sedap dan lembut dagingnya. Baunya memang wangi dan menyelerakan.

Saya suka daging yang ada sedikit jer lemak. Jadi kuah nampak lah cantik sikit berkilat. Lebih lebih lagi kalau kita menggunakan santan kotak yang memang payah nak nampak kuahnya sedikit ala ala minyak muda. 


Kebelakangan ini saya suka makan pucuk ubi. Ada dua tiga pokok ubi kayu di belakang rumah. Memang berbaloi, puas dapat makan pucuk ubi segar di pokok sendiri. Sebenarnya pemakanan kita banyak berubah selari dengan usia. 

Kalau dulu dulu, saya tak lah suka makan makan sayuran atau ulaman macam ni. Tapi sekarang saya suka pula. Selain itu, pucuk ubi boleh juga dimasak gulai lemak sekali dengan telur itik atau dimasak gulai lemak putih dengan sedikit ikan bilis. 

Lauk saya hari ini, serious sedap. Saya siap meratah ratah lagi daging dan pucuk ubinya. Pucuk ubi ni, saya terus masukkan ke dalam gulai tapi ada orang yang akan mencelurnya terlebih dahulu. Tapi kalau pucuk ubi kayu muda, tak lama pun untuk ianya lembut. Jadi ia nya bergantung kepada pucuk ubi yang kita gunakan.  

Jom layan resepi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa untuk subscribe Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....



Masak Lemak Daging Salai Dengan Pucuk Ubi

Bahan-bahan:
500 gram daging salai
Pucuk ubi - simpul
1 inci halia - dihiris
2 biji bawang merah - hiris
2 batang serai - ketuk
2 kotak santan kotak
Sedikit garam

Bahan kisar:
Segenggam cili api - 15-20 tangkai
1 inci kunyit hidup

Cara cara:
Satukan bahan kisar, daging salai, serai dan bahan hiris di dalam kuali.


Masak atas api sederhana. Kacau sehingga mendidih dan daging lembut. Setelah daging empuk, tuang santan dan kacau supaya santan tak pecah minyak. Kacau sehingga kuah mula memekat.

Apabila santan telah pekat, masukkan pucuk ubi kayu dan garam secukupnya.


Kacau sebati dan biar kuah merenih seketika. Apabila pucuk ubi lembut, bolehlah tutup api. Sedia untuk dihidangkan.


Nota:
Jika suka, boleh juga pucuk ubi dicelur seketika.


1 ulasan

Add your comment