Rabu, 3 Jun 2020

Agar Agar Sirap Rose

Agar Agar Sirap Rose

Hari ini kerja kerja repair lantai rumah telah dimulakan. Jadi saya berkurung jer di bilik sambil update blog. Dalam banyak banyak draft yang ada, saya memilih untuk menulis mengenai agar agar kegemaran saya iaitu Agar Agar Sirap Rose.

Sebelum itu, ramai yang bertanya apa renovation yang hendak saya buat. Sebenarnya selepas beberapa ketika, lantai akan terangkat naik disebabkan tekanan angin dan udara di bawah tanah jika ianya tidak dibuat dengan betul semasa pembinaan. Semasa kerja kerja render dan tile dulu, memang kami telah ditipu oleh pekerja Indonesia. Jadi kami terpaksa mencari masa untuk menukar tile. Kerja yang paling saya tak suka kerana ia akan menyebabkan habuk. Nanti bila dah siap, kita boleh tengok bagaimana hasilnya. Sekarang kita masuk bab masakan.

Agar Agar Sirap Rose adalah antara agar agar kegemaran saya sejak kecil. Setiap kali balik kampung pun, anak buah saya Mimi pun suka menyediakan agar agar ini. Selain sedap, ianya sangat mudah dengan bahan bahan yang ringkas. Itu sebab ianya menjadi pilihan bila mahu membuat agar agar.

Tapi biasa bila masak agar agar ni, main agak agak jer sukatan air dan gulanya. Jadi bagi anak anak yang baru nak belajar memang susah nak membuatnya. Kalau di blog ramai yang tulis 1 pek agar agar tali tanpa menyebut berat. Agar agar tali ada banyak beratnya. Ada yang berat 18 gram, ada yang 20 gram dan ada yang 25 gram. Ada juga yang ditulis 37 gram tapi bila ditimbang agar agarnya sahaja, baru 25 gram. Jadi kalau tulis 1 pek, kita tak pasti pek untuk berat berapa gram.


Agar Agar Sirap Rose

Hari ini, saya sukat bahan bahan yang digunakan bagi memudahkan sesiapa yang ingin membuatnya. Tinggal disesuaikan dengan citarasa masing masing. Ada yang suka agar agar lembut dan ada yang suka keras sedikit. Jadi kena ikut apa yang kita suka dengan menambah atau mengurangkan air. 

Alhamdulillah, sedap dan secukup rasa manis nya dan seelok lembutnya pada saya. Masa saya memotongnya, dah hampir sepinggan saya makan lepas satu satu. Memang kalau makan agar agar ni, tak boleh nak berhenti. Laju sangat jadinya. Sangat nyaman dengan rasanya yang sejuk sejuk.  

Jom layan resepi di bawah ini. Selamat mencuba...

Agar Agar Sirap Rose

Agar Agar Sirap Rose 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 paket agar- agar tali - 25 gram
¾ liter air
1 helai daun pandan - carik & simpul
1 ½ cawan gula 
30 gram gula batu
2 sudu besar sirap rose

Cara cara:
Rendam agar-agar hingga lembut. Masak agar agar dengan air, daun pandan dan gula batu sehingga agar agar hancur. 

Agar Agar Sirap Rose

Setelah hancur, masukkan gula dan sirap ros. Kacau sehingga gula larut dan mendidih. 

Agar Agar Sirap Rose

Agar Agar Sirap Rose

Tapis ke dalam loyang yang disukai. Ketepikan sehingga keras, baru dipindahkan ke dalam peti ais. Sedap dimakan ketika sejuk. 



1 ulasan

  1. yes...masih lagi menjadi kesukaan saya dan anak bujang saya. kalau pakai agar2 tali, saya akan letak sikit atas piring untuk tengok tahap kekerasannya. Itu yg diajar oleh arwah nenek saya dizaman sekolah dulu.

    BalasPadam

Add your comment