Ahad, 10 Mei 2020

Ayam Percik Kelantan

Ayam Percik Kelantan

Hari raya tahun ini akan menjadi sejarah bagi setiap kita yang masih hidup kerana tahun ini tiada solat raya dan tiada majlis rumah terbuka. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat pengumuman tengahari tadi bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 6 Jun 2020. Kelonggaran diberi untuk menziarah di hari raya dengan tidak melebihi 20 orang dalam satu masa. 

Walaupun kami langsung tidak membuat baju baru untuk dipakai di hari raya seperti tahun tahun sebelumnya.  Tapi persiapan lain tetap dibuat seperti membersihkan apa apa yang patut. Inilah masanya kami membersihkan lampu chandelier dan menambah hiasan rumah. 

Persediaan juadah juga perlu dibuat untuk dimakan di pagi raya. Hari raya untuk meraikan kemenangan kita berpuasa selama sebulan. Saya masih belum memikirkan juadah untuk hidangan raya. Biasanya ia akan mengambil kira input dari anak anak. Apa yang mereka ingin makan dsb. Tapi yang pasti ada hidangan nasi dan lauk pauk serta kuih dan puding. OK sekarang kita tukar pula pada topik masakan berbuka puasa. 


Ayam Percik Kelantan

Ayam percik adalah antara lauk pauk yang terkenal dan banyak dijual di bazar Ramadhan. Tapi terus terang, sangat susah untuk mencari ayam percik yang rasanya seperti ayam percik Kelantan. 

Sebagai anak Kelantan, pastinya ayam percik adalah antara lauk kegemaran. Dulu dulu ayam percik disediakan di majlis kenduri tapi sekarang tiada lagi. Pertama kena membuatnya agak remeh dan kedua ianya tidak tahan lama. Jika tidak kena gaya, boleh basi. 

Lagi pulak, kenduri di kampung sekarang pun, banyak yang menggunakan perkhidmatan katering. Bukan lagi bergotong royong memasak bersama sama dengan jiran tetangga. 

Ayam percik kalau mahu lebih sedap dan asli, ianya dibakar di atas dapur arang. Jangan dibakar dalam oven sebab ia akan berair. Sedang jika dibakar atas arang, kuah percik akan melekat lekat di ayam. Wallaaa itu yang menjadikan percik lagi sedap. 

Zaman sekarang banyak versi penyediaan kuah percik. Yang saya kongsikan hari ini adalah antara kuah percik merah yang biasa digunakan oleh ramai orang.

Jom layan resepi di bawah ini. Selamat mencuba...

Ayam Percik Kelantan

Ayam Percik Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong 4
Santan pekat - dari 2 biji kelapa.
2 sudu besar penuh tepung beras
1-2 keping asam keping
Garam
Gula - kena dilebihkan

Bahan perap:
2 inci halia
1 biji bawang merah sederhana besar
Sedikit garam

Bahan kisar: 
5 tangkai cili kering
1 inci halia
1 biji bawang merah sederhana  besar
1 ulas bawang putih

Cara cara:
Semua perap bahan ditumbuk halus dan dilumur pada ayam bersama sedikit garam. Perap selama 1 jam kemudian dikukus sehingga masak.

Satukan bahan kisar dengan santan, garam, gula dan asam keping. Kacau sebati dan masak sehingga mendidih. Masukkan tepung beras yang dibancuh dengan sedikit air ke dalamnya untuk memekatkan kuah. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api.

Ayam yang dikukus tadi dibakar di kedua dua belah permukaan ayam. Kemudian lumur bahan percik dan bakar lagi. Lumur pula di bahagian satu lagi dan bakar lagi. 

Boleh buat secara berulang ulang bagi memastikan percik melekat pada ayam. Sedia untuk dinikmati. 

Nota:
Kuah percik mesti ada lebih rasa manis dari rasa masin dan masam. Gula yang banyak akan menjadikan kuah percik cantik berkilat.


Add your comment