Khamis, 19 Mac 2020

Puding Roti Karamel

Puding Roti Karamel

Hari ini adalah hari kedua, negara kita melaksanakan perintah kawalan pergerakan di seluruh negara. Tapi geram bila melihat betapa ramai manusia berpusu pusu di jalan raya, di stesyen bas, keretapi dsb. Kawalan pergerakan adalah untuk kita kekal berada di mana kita berada sekarang. Jika kita di bandar, kekal di bandar. Jika kita di kampung, kekal di kampung. Aduui susah jika manusia susah nak ikut arahan ni. Benda mudah jer pun. Tujuannya supaya kuman dari bandar tidak bawa ke kampung. Memang saya geram melihat mereka yang mengambil ringan akan tindakan ini.

Ini pun selaras dengan ajaran agama Islam. Selaras dengan apa yang diajar oleh Rasulullah. Jaga hubungan dengan manusia, dengan haiwan, alam dsb. Contoh hubungan dengan manusia, ialah bila sesuatu tempat ditimpa penyakit, kita jangan pergi ke tempat tersebut bagi mengelak penularan pada manusia lain. Bila kita jaga hubungan ini, maknanya kita jaga hubungan dengan Allah, yang boleh menjaga kita. 

Saya ulang semula apa yang saya kongsi sebelum ini iaitu feqah mengajarkan pengasingan orang yang ditimpa penyakit berjangkit dengan orang yang sihat. Mereka tidak boleh datang berjumpa orang sihat. Hadis ini menunjukkan perlu pengasingan. 

Seterusnya isu kuarantin iaitu hadkan pergerakan orang sihat dengan orang sakit untuk mengelak penyakit berjangkit. Taun adalah tanda kemukaan Allah, kalau kamu tahu ada penyakit, jangan pergi ke tempat itu atau jangan kamu keluar dari kawasan itu sehingga boleh merebak penyakit ke kawasan lain.

Meninggal dunia kerana sakit wabak, di mana A'isyah menanya Baginda Rasulullah tentang taun. Nabi SAW bersabda siapa kena taun kena berada tetap dalam kawasannya dengan sabar, maka jika mati, maka matinya adalah mati syahid. Tapi tidak bermakna kita boleh mendiamkan diri dengan merebakkan penyakit pada orang lain. Terutama mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling. Jangan menimbulkan bahaya pada orang lain. Dari beribu ribu yang hadir perhimpunan tersebut, hanya sedikit sahaja yang datang mendapatkan pemeriksaan. Yang lain mana pergi? Ini bukan caranya untuk mendapat mati syahid.


Lagi satu, saya nak ulas sedikit berkenaan bos bos yang tidak peka. Hanya mereka yang berada dalam perkhidmatan kritikal sahaja yang perlu bekerja. Itu pun perlu diletakkan pada tahap minimun. Bertahun tahun buat Business Continuity Plan (BCP) tapi bila masa untuk dilaksanakan, tak mahu pulak. 

Saya dapat tahu, ada jabatan yang tidak kritikal bekerja seperti biasa. Bukannya ada orang nak mohon lesen pun dalam keadaan dunia sedang dilanda krisis sekarang ini. Bukan Malaysia sahaja tapi dunia. Saya ulang sekali lagi krisis seluruh DUNIA. 

Memang bos macam ni yang jenis bossy yang mementingkan diri sendiri. Kena ingat bila staf datang bekerja, ianya telah mendedahkan dirinya kepada risiko yang boleh menjangkitkan pada anak isteri mereka. Fikirlah sedikit sebelum buat keputusan. Allah tak akan tanya betapa terlebih dedikasinya anda dalam bekerja tapi Allah akan tanya jika keputusan anda melibatkan bahaya pada staf. Sebelum tekanan darah saya naik, baiklah saya henti di sini dan tukar topik bab masakan dan resepi lah pula.  

Puding Roti Karamel

Saya menyediakan Puding Roti Karamel ini adalah untuk menghabiskan susu pekat manis. Saya jarang membeli susu pekat manis. Kalau tidak digunakan, alamaknya susu akan terbiar dan akhirnya dibuang begitu sahaja. Jadi supaya tidak membazir, saya menyediakan puding roti karamel. 

Puding Roti Karamel

Puding roti karamel ini jika dilihat gambar seperti keras. Sebetulnya tidak, ianya sangat lembut dan sangat sedap dimakan terutama ketika sejuk sejuk. Bahan yang digunakan pun tidak banyak. Jadi kalau cukup bahan, bolehlah sediakan puding ini untuk hidangan keluarga di masa perintah kawalan pergerakan sekarang ini. Ada juga benda yang boleh dinikmati.


Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Memang sangat sedap. Jom ramai ramai pakat menyediakannya sendiri di rumah. Selamat mencuba...


Puding Roti Karamel

Puding Roti Karamel

Bahan-bahan:
4 keping roti
4 biji telur gred B
3-4 sudu besar gula
1 tin susu cair
3/4 tin susu pekat
3/4 cawan air suam
1 sudu kecil esen vanila.

Cara-cara:
Masak gula sehingga bertukar warna perang.

Masukkan sedikit air,kacau sebati dan tutup api. Seterusnya tuangkan ke dalam loyang dan ratakan.

Carik-carikkan roti kemudian sekalikan bersama susu cair, susu pekat dan air suam, kisar sampai sebati.

Sementara itu, pukul telur sehingga hancur dan tapis kemudian masukkan ke dalam adunan roti tersebut.

Masukkan esen vanila, kisar lagi sampai sebati. Tapis adunan tadi dan masukkan ke dalam loyang yang siap ada gula karamel.

Panaskan periuk pengukus terlebih dahulu. Kukus adunan selama 45 minit atau sehingga masak.

Apabila sudah masak, tutup api. Angkat adunan dan sejukkan terlebih dahulu.

Puding Roti Karamel

Boleh diterbalikkan adunan ke dalam pinggan dan sejukkan dalam peti ais.


Add your comment
EmoticonEmoticon