Ahad, 29 Mac 2020

Asam Pedas Ikan Pari


Saya gembira bila sahabat saya menghantar WhatsApp berkenaan nasihat MARA kepada pelajar tajaannya di luar negara supaya berada di mana mereka berada. Mereka tidak dinasihatkan balik kerana risiko semasa dalam perjalanan balik termasuk dalam penerbangan adalah tinggi.

Setakat ini, saya gembira kerana Juita mengikuti nasihat nasihat penjagaan diri sepanjang kawalan pergerakan Covid 19. Juita dan Marsya menpunyai bekalan beras yang Insya Allah mencukupi dan juga bekalan makanan kering. Sama sama lah kita doakan agar wabak covid 19 di seluruh dunia segera tamat. 

Penularan yang sangat cepat jika tidak dikawal boleh mematikan penduduk dengan cepat. Jumlah kematian tertinggi dalam satu hari yang dicatatkan di Itali melebihi 900 orang. Saya membayangkan jika di Malaysia, betapa keadaan pengkebumian di tanah perkuburan untuk seramai itu. Sekarang kita sembang bab resepi pula.

Saya bukan orang Johor tapi saya suka belajar semua masakan dari negeri Johor. Saya mendapat resepi beberapa masakan dari Johor dari rakan sekerja lebih 25 tahun yang lalu. Tidak semua resepi saya pandai. Tapi kerana minat mengumpul resepi telah ada sejak kecil, saya jadi pandai memasak masakan dari negeri lain juga.  

Resepi hari ini juga saya olah dan ubahsuai selepas bersembang dengan seorang anggota Polis wanita yang datang ke pejabat saya atas urusan kerja. Sementara menunggu dokumen disiapkan, kami bersembang. 

Setelah tahu dia berasal dari Johor, saya terus menanyakan resepi asam pedas yang biasa dimasaknya. Katanya orang Johor setiap hari mesti nak masak lauk asam pedas. Dan antara ikan yang biasa digunakan untuk memasak asam pedas ialah ikan pari.  


Saya menyediakan lauk asam pedas ini atas permintaan Nelly. Dia beli ikan pari di Jaya Grocer  dengan harga RM14 untuk 2 ketul yang saya potong dua menjadikan 4 keping. Dalam keadaan perintah kawalan pergerakan ini, harga semua mahal kerana nelayan juga mungkin tidak ramai yang keluar menangkap ikan walaupun mereka dalam kategori essential yang boleh beroperasi seperti biasa.

Jom layan resepi yang saya gunakan di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....



Asam Pedas Ikan Pari
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
4 ketul ikan pari
3 sudu besar cili kering kisar 
1 cawan minyak - agak bahan tumis tenggelam 
1 sudu kecil pes asam jawa 
1 kuntum bunga kantan - belah 2
1 batang serai
1 ikat daun kesum
600 ml air 
1 sudu kecil garam kasar atau secukup rasa
¼ sudu kecil gula - jika suka

Bahan kisar:
6 biji bawang merah 
1 bawang besar
5 ulas bawang putih 
2 inci halia 
1 inci kunyit
Secubit belacan bakar - tak letak

Cara cara:
Panaskan minyak yang agak banyak dan tumis bahan kisar dan serai sehingga naik bau dan tumisan betul betul garing cantik dan terbit minyak. Masukkan air dan tumis sehingga terbit minyak lagi. Ulang beberapa kali masuk air dan tumis hingga terbit minyak. 




Setelah terbit minyak, masukkan daun kesum dan kacau rata. 


Masukkan air secukupnya, asam jawa,  bunga kantan dan kacang bendi bendi dan terung. Bila mendidih dan sayuran separuh masak, masukkan ikan beberapa ketika sahaja supaya ikan tidak overcooked. 


Akhir sekali, masukkan garam dan sedikit gula, jika suka. 


Nota:
Jika menggunakan daging, masukkan sedikit santan dan titik lengkuas. 


Add your comment