Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Tepung Bungkus Kelantan Yang Sangat Nostalgia



Kuih tepung bungkus adalah salah satu sejarah hidup saya. Saya membesar dengan kuih tepung bungkus Wak Siti. Kuih tepung bungkus Wak Siti lah yang paling legend. Tak jumpa dah sehingga kini yang sesedap itu. 

Sejak kecil hanya tahu tepung bungkus Wak Siti. Wak Siti tinggal di rumah berdindingkan buluh seorang diri. Kami budak budak kampung di kawasan situ, suka jer kalau dapat ke rumah Wak Siti untuk mengisar beras untuk dijadikan tepung beras bagi kuih tepung bungkus. Wak Siti akan bagi upah pada siapa yang mengisar beras.

Ada kala masa perangai nakal datang, kami akan merangkak masuk bawah rumah Wak Siti mencari duit siling Wak Siti yang jatuh melalui lubang lantai papan. Masa tu, duit 5 sen pun besar nilainya. Hahaha. 

Sekarang agak susah untuk mencari tepung bungkus yang sedap. Memang susah. Ada masanya tepung bungkus keras dan tidak ada rasa lemak pun. Inti pun tidak sedap. Kalau zaman dulu, bayi kecil pun diberi makan tepung bungkus sebagai makanan permulaan mereka.


Kuih tepung bungkus saya hari ini boleh dikatakan menjadi lah walaupun kejadiannya tidak secantik yang seharusnya. Daun pisang yang ada tidak cukup besar, jadi bungkusan tepung bungkus tidak kemas cantik. 

Sepatutnya bila dibuka bungkuasan daun pisang, badan tepung bungkus akan jadi licin cantik, bukan berlekuk macam kuih yang saya sediakan. 

Asalnya saya guna resepi seorang Chef terkenal yang terdapat dalam buku masakan beliau tapi tak menjadi. Resepi beliau guna 1 cawan tepung beras dan 2 cawan santan sahaja. Tapi bila saya memasaknya atas dapur, ianya terlalu keras, sehingga saya terpaksa menambah air panas dan mengacaunya sehingga adunan licin. 

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa video penyediaanya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...



Tepung Bungkus Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan inti
1/2 biji kelapa parut muda
1 keping gula melaka
½ cawan gula merah - untuk warna cantik
2-3 sudu besar gula pasir 
1 helai daun pandan
1 cawan air 

Masak air dengan semua gula dan daun pandan. Bila air gula sudah mendidih, masukkan kelapa dan masak hingga kelapa agak pekat dan kering.

Tambah gula putih jika masih kurang manis. Perasakan dengan secubit garam. Gentel inti bulat bulat.


Nota: 
Inti agak manis, jadi ia akan melekit. Jika kurang manis, inti akan berderai. Jika adunan berderai, masukkan 1 sudu besar tepung jagung dan masak hingga inti agak kering dan melekit. 

Inti boleh dibuat banyak banyak dan simpan dalam bekas dan masuk dalam peti ais. Boleh tahan sehingga 2 bulan.


Bahan Pembalut Inti:
1 cawan tepung beras pulut
½ cawan air atau secukupnya

Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan. 

Ambil sedikit adunan, leperkan dan masukkan inti. 


Bungkus inti dengan doh tepung pulut. Buat sehingga habis. Ketepikan. Nota: boleh buat sebelah malam dan masukkan dalam bekas disimpan dalam peti ais untuk kegunaan keesokannya. 

Bahan tepung bungkus:
1 cawan tepung beras
2 cawan santan pekat
3 cawan air - sebelum ni guna 300 ml air
½ sudu kecil garam
Daun pisang secukupnya

Satukan santan dengan tepung dan air sehingga larut. Masukkan garam.

Nyalakan api dan kacau dengan api perlahan sehingga adunan menjadi kental. Jangan risau jika adunan menjadi sedikit berketul ketul. Kacau dengan cepat sehingga adunan menjadi licin. 

Ambil 1½ sudu adunan dan letak atas daun pisang. Letakkan 2 biji inti di kiri dan kanan. Ceduk lagi 1½ sudu adunan ke atas inti. Balut dengan kemas dan dilipat di hujung kiri dan kanan. 

Nota: ada yang masukkan inti ke dalam adunan. Kemudian ceduk adunan bersama 2 inti ke atas daun pisang.


Susun dalam loyang dan kukus kira-kira 10 minit. Jika telah nampak wap keluar dari penutup pengukus, biarkan dalam 2-3 minit lagi untuk memastikan bahagian tepung pulut benar-benar masak.


Nota: Cara lain untuk memastikan sama ada kuih telah masak atau tidak, daun pisang pembalut kuih akan kelihatan sedikit terbuka dan mengembang.


Sejukkan dan sedia untuk dinikmati.



Catat Ulasan for "Tepung Bungkus Kelantan Yang Sangat Nostalgia"