Selasa, 7 Januari 2020

Hari 1: Percutian ke Jakarta 26-29 Disember 2019


Percutian saya ke Jakarta kali ini memang percutian paling santai. Pertamanya kerana saya tidak sihat. 5 hari sebelumnya, saya hanya terbaring di rumah sepanjang hari. Saya agak risau juga jika sehingga hari berangkat, saya masih belum kuat untuk bangun. Namun Hubby memberitahu supaya menganggap percutian ini sebagai rehat sahaja. 


Keduanya, percutian ini hanya percutian untuk makan makan dan sedikit shopping sahaja. Tiada sightseeing dsb. Shopping pun secara spesifik, nak cari beberapa pasang kain di  Pasar Mayestik sahaja. 


Saya hanya mulai bangun dan mulai keluar rumah hanya pada hari berangkat ke airport sahaja. Memang bila demam sekarang ini, agak teruk. Faktor usia pun menyebabkan pemulihan lebih lambat dan memakan masa. 

Boy, Mia dan Medina menghantar kami bertiga ke airport. Nelly bertolak selepas waktu pejabat hari Jumaat. Kami keluar rumah sebelum pukul 7.00 pagi kerana mahu mengelak kesesakan jalanraya. Kami mengambil penerbangan MAS MH717 pukul 10.30 pagi. 

Penerbangan memakan masa 1 jam 50 minit. Kami tiba di Soekarno Hatta International Airport pukul 11.20 waktu tempatan. Airport ini sangat besar dan perlu berjalan agak jauh. Saya berjalan dalam keadaan badan lemah seolah masih melayang layang setelah beberapa hari langsung tidak keluar rumah. 

Kami berjalan keluar untuk mengambil grab car yang menunggu di tempat parking khas untuk grab car di west lobby. Kami memilih untuk menginap di Ascott Jakarta, hotel sama dengan yang kami duduk semasa ke sini tahun 2018. Jarak airport dan hotel adalah sejauh 40 km. 

Kedudukan hotel ini sangat strategik di mana ianya terletak di antara Thamrin City Mall dan Grand Indonesia Mall serta berdekatan dengan Plaza Indonesia Mall yang banyak butik butik mewah ternama. Bilik kami 1803 sangat luas dengan ruang tamu dan bilik air yang sangat besar, terletak menghadap Thamrin City Mall.


Sampai sahaja di hotel, saya terus tidur dan berehat. Hanya sebelah petang, baru saya bangun dan berjalan kaki untuk makan nasi padang di Restoran Sederhana. 

Restoran ini hanya terletak berdekatan dengan hadapan pintu masuk Ascott Jakarta sahaja. Hanya perlu berjalan ke arah Thamrin City Mall dan kemudian belok ke kanan. 


Semasa berjalan balik, saya mengajak Hubby singgah di Thamrin City Mall. Saya ingin mencari buah salak pondoh sebagai kudapan. Semasa hendak ke supermarket yang terletak di tingkat 2, singgah membeli baju batik untuk Hubby dan anak menantu. Beli juga baju batik untuk Ammar. Cuma kedai menjual baju batik untuk anak perempuan tidak banyak. Terpaksa berpusing pusing mencari baju untuk Medina. Balik dari Thamrin, saya terus tidur. Badan terasa panas mungkin kerana kurang minum air. 

Sebelah malam, Aween mengajak keluar makan. Kali ini kami memilih Restoran Garuda yang dibuka 24 jam. Perjalanan ke sana yang melalui jalan pintas sendiri memakan masa lebih 1 jam. Jalan sangat jam. Saya agak risau, maklum keadaan saya yang tidak sihat. 

Oleh kerana saya tiada selera makan, makanan di restoran ini hanya biasa biasa sahaja pada saya. Harganya pula sangat mahal berbanding dengan harga makanan di Restoran Sederhana.  



Selesai makan, sementara menunggu grab car, saya melihat suasana malam di Jakarta yang nampak sangat happening dengan pelbagai aktiviti. Memang sangat ramai penduduk Jakarta yang sibuk dengan aktiviti masing masing. 

Ada juga buskers yang menghiburkan pengunjung yang sedang menikmati makan malam di gerai gerai makanan di hadapan restoran Garuda. Balik dari sana, saya masuk tidur awal untuk berehat. 

Add your comment