Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Tumis Bawang Nogori

Sambal Tumis Bawang Nogori

Saya memang jarang menonton drama bersiri di TV, tapi bila sekali tak sengaja menontonnya, akan jadi terus melekat. Memang tak suka sangat drama bersiri sebab memakan masa yang lama untuk menghabiskan semua episod. 

Semalam semasa duduk duduk di ruang menonton, saya telah terikut drama Cemburu Seorang Perempuan lakonan Emma Maembong dan Amyra Rosli. Apa yang menarik perhatian saya ialah kisah kesedihan hati seorang isteri yang tidak dapat melahirkan zuriat sendiri. Akhirnya beliau mencari sahabat baik beliau untuk dijadikan madu. Tidak ramai wanita dalam dunia ini yang rela bermadu. Ini adalah kerana sifat wanita yang pastinya menpunyai perasaan cemburu. Walaupun hakikatnya tidak "luak" pun jika berkongsi kecuali masa.  

Tiba tiba terfikir bagaimana rasanya, dan bagaimana bimbangnya hati jika suami mencari perempuan lain. Ya lah, dah ada anak pun, ramai suami yang masih mencari perempuan lain. Apa lagi yang tak ada anak. Lagi kuat alasan untuk berbuat demikian kan. Memang hajat setiap isteri untuk menimang cahaya mata sendiri dan akan berbuat apa sahaja untuk mengelakkan suami dari mencari isteri lain. 

Bermadu adalah sesuatu yang pahit untuk dilalui walaupun sedetik cuma. Semuanya dek kerana perasaan cemburu seperti mana tajuk drama bersiri tersebut. Lakonan Emma sangat hebat dan mantap sehingga kita boleh merasakan apa yang bergelora dalam hatinya.

Masa sangat pantas berlalu, sehingga saya tidak dapat mengingati pun detik detik ketika anak anak saya membesar. Adalah momen momen yang saya ingat tapi banyak yang saya tidak dapat mengimbau kembali. Ketika itu, kita pula sibuk dengan kerjaya dan urusan anak anak diserahkan kepada pembantu rumah. Jadi itulah agaknya, mereka yang bergelar datuk dan nenek akan menghabiskan banyak masa bermain dan melayan cucu.  

Itu pun terasa sangat cepat masa berlalu, Ammar dan Medina dah besar. Sekurangnya Ammar tinggal dengan kami sehingga dia berumur 6 bulan. Sempatlah kami menghabiskan masa dengan dia dari dia dilahirkan. Berbeza dengan Medina yang hanya dapat bersua di hujung minggu sahaja. Terasa sangat cepat Medina membesar. Sekarang dah pandai meniarap. 

Sambal Tumis Bawang Nogori

Saya tiba tiba ingin belajar sambal tumis bawang ini setelah melihat ianya disajikan bersama pulut sebagai hidangan sarapan di majlis akikah cucu saudara saya Dhia Rania di Seremban. 

Sempat bersembang seketika dengan emak mertua anak saudara saya Zetty. Katanya sambal ini dimasak lama lama sehingga bawang besar betul betul lembut. Kalau tidak kerana kakak saya mencelah, pastinya saya akan tanya cara penyediaannya pada masa itu. Hahah maklumlah tuan rumah sibuk dengan persiapan jamuan.  

Sambal Tumis Bawang Nogori

Sebaik habis majlis akikah anak Zetty, anak buah kami yang tinggal di Seremban, saya terus menghantar mesej meminta Zetty menanyakan resepi dari emak saudara dia di Seri Menanti yang memasak sambal ini. Emak saudara mereka berniaga dan mempunyai gerai menjual makanan.  

Pulut pagi dihidangkan sebagai menu sarapan majlis akikah bersama sambal tumis bawang. Selain dimakan dengan pulut, sambal ini juga sedap dijadikan sebagai sambal nasi lemak. Cuma kena lah tambah ikan bilis goreng kerana sambal ini kalau ikut kata emak mertua Zetty, tidak banyak dimasukkan ikan bilis pun. Ikan bilis hanya dimasukkan sebagai perasa dan penyedap sambal sahaja.  

Jom layan resepi di bawah ini dan juga video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba..


Sambal Tumis Bawang Nogori

Sambal Tumis Bawang

Bahan bahan;
1 kg bawang besar merah - dihiris
1 genggam ikan bilis - dibersihkan tanpa digoreng
2 senduk cili kisar - cili kering direbus dan dikisar halus
1-1 ½ cawan minyak masak
6-7 keping asam keping
1/3 sudu kecil serbuk perasa
½ - 2 sudu besar gula
1 sudu besar garam kasar atau secukup rasa
Petai - opsyenal

Bahan kisar;
1 biji bawang besar merah
6 ulas bawang putih 

Cara cara:
Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar dan cili kering kisar sehingga masak dan terbit minyak. 

Sambal Tumis Bawang Nogori

Masukkan ikan bilis, asam keping dan bawang yang dihiris. Kacau sebati. 

Sambal Tumis Bawang Nogori

Masak dengan api perlahan. Tambah air dan masak lagi sehingga bawang menjadi lembut dan terbit minyak. Tambah garam, gula dan air jika perlu. Jika bawang belum lembut, boleh tambah air berulang ulang kali.

Jika masuk petai, boleh masuk akhir sekali supaya petai kekal rangup. 

Kacau selalu supaya tidak hangus. Masak selama 1 jam. 

Sambal Tumis Bawang Nogori


Catat Ulasan for "Sambal Tumis Bawang Nogori"