Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Goreng Kicap Simple

Ayam Goreng Kicap Simple

Setelah lebih tiga minggu mengalami masalah kesakitan batu karang, setelah dua kali menjalani prosedure memecahkan batu karang, akhirnya saya telah bebas dari kesakitan. Namun dua kali memasuki bilik pembedahan selama dua minggu berturut turut, menyebabkan saya menjadi sangat lemah kesan dari ubat bius. Badan terasa sangat lesu dan menggigil. Semoga saya kembali sihat dan bertenaga dengan secepat mungkin.

Masuk bilik pembedahan adalah bukan perkara kecil pada saya. Sekecil kecil pembedahan tetap menpunyai risiko bila melibatkan general anastetic atau bius keseluruhan. Kebetulan terbaca status di facebook seorang BFF yang antara lain menyebut, melangkah keluar rumah, mungkin tidak lagi kembali. Ya saya pernah melihat, bapa sahabat saya yang datang menziarah anaknya di sini, akhirnya meninggal di sini. 

Masuk bilik pembedahan yang mungkin, kita tidak lagi bangun dan jaga selamanya. Ya ada kes seorang ahli korporat terkemuka meninggal selepas pembedahan sinus, ada yang meninggal selepas pembedahan gigi. 

Mengingatkan apa yang dibaca, menjadikan saya merasa sangat takut. Saya hanya mampu mengucap syahadah dan beristighfar berulang ulang kali sebelum saya tidur. Ada seorang pembantu pakar bius Melayu lelaki di bilik pembedahan yang sangat baik kerana mengingatkan saya di saat saat terakhir sebelum saya tidur. 

Dia telah mengingatkan saya supaya berdoa, berzikir dan beristighfar sebelum beliau perlahan lahan meletakkan alat pernafasan oksigen di hidung saya. Ketika itu, hanya boleh mengucapkannya di dalam hati sahaja. Dalam sekelip mata, saya tidak sedarkan diri.  Itulah tanggungjawab sesama Islam yang saya rasa sangat mulia. Di saat saya redha dan tidak berdaya. OK sekarang kita terus masuk bab resepi dan masakan. 

Telah lama sebenarnya saya tak makan ayam masak kicap seperti yang saya sediakan hari ini. Ayam Masak Kicap yang saya buat hari ini adalah versi kering. Jika suka berkuah, boleh tambah sedikit air. Jadi kita boleh pelbagaikan masakan kita dengan membuat sedikit perubahan iaitu basah atau kering. Ini antara lauk pertama yang saya belajar memasak selepas berkahwin. 

Ayam masak kicap yang sangat mudah dan simple tapi rasanya tetap sedap kerana ianya boleh menggamit nostalgia di zaman kanak kanak dulu. Lauk kampung jer. Bertambah sedap, bila dimasukkan lada hijau muda hiris yang digunakan untuk membuat solok lada. 

Ayam Goreng Kicap Simple

Hari ini saya memang agak kurang selera dan melihat semua makanan, tak terasa pun teringin nak menjamah. Malam tadi sebaik tiba di rumah dari hospital, saya tertidur keletihan. Selepas mandi dan mencuci muka, saya mula tidak boleh melelapkan mata. Rasa gelisah dan tidak tentu arah jadinya. Tak pasti pukul berapa baru saya dapat melelapkan mata. 

Saya menjamah sedikit nasi sebagai alas perut sebelum makan ubat. Tapi setelah makan nasi putih dengan ayam masak kicap ni, bukan sekali tapi tiga kali tambah. Haaa nampak sangat sedap lauk kampung macam ni, boleh membangkitkan selera orang tak sihat.

Jom layan resepi ayam masak kicap versi kering. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...

Ayam Goreng Kicap Simple

Ayam Goreng Kicap

Bahan bahan:
1/2 ekor ayam - lumur garam kunyit
1 biji bawang besar - hiris
1 tangkai cili solok - hiris
3-4 sudu besar kicap lemak manis
1 sudu besar cuka 

Bahan tumbuk:
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1-2 inci halia
1 tangkai cili hijau - boleh juga guna cili kering kisar

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga garing. Angkat dan ketepikan. 

Ayam Goreng Kicap Simple

Masukkan minyak lebihan menggoreng ayam tadi dan tumis bahan tumbuk sehingga naik bau. Masukkan kicap dan cuka secukupnya. Kacau rata. 

Ayam Goreng Kicap Simple

Masukkan bawang besar, cili hijau hiris dan ayam goreng. Kacau rata supaya sebati ayam dengan bahan bahan kicap tadi. Bolehlah diangkat. 

Ayam Goreng Kicap Simple


2 ulasan for "Ayam Goreng Kicap Simple"

  1. Wishing you a speedy recovery, Kak Azie.

    BalasPadam
  2. Syukur..semuanya telah dipermudahkan. Banyakan berehat ya Azie

    BalasPadam