Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Hutan Gulai Kelantan

Ayam Hutan Gulai Kelantan

Samada kita suka atau tidak, hari akan terus berlalu tanpa menunggu. Usia kian meningkat bersama putaran jam. Masa bergerak pantas tanpa kita sedari dek kesibukan urusan kerja dan urusan dunia. 

Beberapa bulan lagi Ramadhan akan menjelma. Tanyakan diri kita, selama hidup, berapa kali telah kita jalani Ramadhan dan berapa kali kita telah mendapat malam Lailatul Qadr. Jadi tahun hadapan, sama sama kita bersedia untuk jadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita.  

Teringat sahabat saya yang telah bersara menulis yang beliau sangat lega kerana bebas dari politik pejabat. Terus terang, pejabat adalah antara gedung untuk mengukir dosa setiap hari. Jadi untuk mengurangkan dosa, tanamkan rasa kasih dan sayang pada manusia lain. Jangan diingatkan hanya kita yang menpunyai keluarga untuk diberi makan, jangan anak kita sahaja yang ingin itu dan ini tetapi juga anak staf kita juga begitu. 

Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan penganiayaan dan kezaliman. Mereka yang berada di pihak pengurusan, lagi banyak dengan bebanan dosa. Tiada istilah diskriminasi di sisi Allah. Sebagai contoh, kenapa di dalam organisasi yang sama, ada staff yang dibayar gratuiti semasa persaraan dan ada staff yang tidak layak mendapatnya. Sedang ada organisasi lain, semua staff layak dibayar gratuiti mengikut gaji masing masing. 

Sesuatu yang di bahu pihak pengurusan harus bersedia untuk menjawabnya di hari akhirat kelak. Ini hanya sebagai contoh sahaja. Jika ada jawapan, boleh sediakan jawapannya dari sekarang. Ok sekarang kita tinggalkan dulu bab ini dan masuk pula bab masakan.

Ayam Hutan Gulai Kelantan

Ayam hutan ini dibeli dari Ashraf rakan IG yang mendapatkannya dari kawan beliau. Ianya kemudian di bawa balik oleh kawan sekampung Ashraff yang kebetulan balik kampung. Dia tiba di rumah saya dalam pukul 2 atau 3 pagi. Kami pun tidur tidur ayam juga takut tak terjaga.  

Saiz nya agak besar, jadi saya mengagak yang isinya agak keras. Jadi saya merebus ayam ini terlebih dahulu dalam pressure cooker selama 9 minit sebelum dimasak gulai hari ini.  

Ayam hutan kalau yang muda, tidak perlu direbus dahulu. Tapi bila dah tua, kenalah rebus dahulu. Isi ayam ini pun tidak banyak berbanding ayam biasa. Ayam yang aktif menggunakan muscle untuk terbang dsb. Jadi tiada lemak juga. 

Jom layan resepi di bawah ini dan juga video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Jangan lupa subscribe ya...


Ayam Hutan Gulai Kelantan

Ayam Hutan Gulai Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
4 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
½ inci halia - hiris
4 sudu besar serbuk kari kampung cap Jam
2 keping asam keping
1 batang kayu manis
1 sudu besar kerisik
Garam
Gula
Gula Melaka

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis halia, kayu manis, bawang putih dan bawang merah hingga wangi. 

Masukkan serbuk kari dan kacau rata hingga wangi dan masukkan sedikit air. Kacau lagi sehingga terbit minyak. 

Masukkan ayam dan kacau rata. Tuang santan. Masak sehingga santan mendidih. 

Ayam Hutan Gulai Kelantan

Masukkan asam keping, garam, gula Melaka. Setelah ayam lembut dan kuah terbit minyak, masukkan sedikit gula. Bolehlah dirasa dan tutup api. 

Ayam Hutan Gulai Kelantan

Nota:
Ayam hutan direbus dulu dengan pressure cooker selama 9 minit sebab ianya ayam hutan tua. 

Catat Ulasan for "Ayam Hutan Gulai Kelantan"