Selamat Tinggal 2014
Sebagai mengakhiri tahun 2014, saya ingin membuat sedikit coretan dan mengimbau perjalanan hidup saya yang penuh dengan suka dan duka. Tahun 2014 akan ditinggalkan dalam beberapa jam sahaja lagi dan tahun 2015 akan kita jejaki. Satu tahun meninggalkan kita bererti baki usia kita juga berkurangan selama satu tahun. Ini adalah fakta yang harus kita terima samada kita bersedia atau tidak, samada kita gembira atau sebaliknya kerana masa yang berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan. Yang ada hanyalah hari ini. Kerana esok juga belum pasti akan kita jejaki.
Tahun 2014 banyak melakar kisah sedih dengan pelbagai ujian dan dugaan yang menimpa satu persatu. Pemergian Bonda adalah satu kehilangan besar buat diri saya kerana tiada lagi Bonda yang selama ini sering mengingatkan kami tentang agama, terutamanya bab mengenal Allah. Walaupun bersedia dengan perkara tersebut, namun saya masih tidak dapat menahan tangis sendu di atas pemergian Bonda. Perasaan kesal kerana tidak melakukan yang terbaik semasa Bonda masih hidup. Harapan Bonda untuk datang ke rumah kami lagi bagi melihat Nana berkahwin juga tidak kesampaian. Walau apa pun sekali, arwah Bonda dan Ayahanda tetap hidup dalam ingatan saya. Setiap hari, saya akan menitip doa buat mereka. Selain pemergian Bonda, saya juga kehilangan seseorang yang saya sayangi secara tiba tiba bak mimpi di siang hari. Saya memujuk hati supaya menerima ianya sebagai takdir Illahi. Entah kenapa saya menjadi sangat sedih setiap kali mengenangkan apa yang telah terjadi dan masih merisik khabar. Mungkin akan tiba masanya untuk saya meletakkan titik noktah kepada masa silam dan meneruskan perjalanan musafir ini.
Sebagai mengubati segala kesakitan dan kepedihan, saya menjalani hari hari dengan mendekati Illahi dengan memperbanyakkan menghadiri majlis majlis ilmu, membaca Al Quran serta buku buku agama. Setiap hari saya memanjatkan doa dengan penuh pengharapan pada rahmat dan kasih sayang Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kerana bersama kesusahan, pasti ada kesenangan. Itu yang saya pegang. Sesuatu yang perlu diyakini dengan sepenuh hati. Akhirnya Allah memperkenankan doa doa saya satu persatu. Alhamdulillah, syukur syukur syukur yang tidak terhingga atas limpah kurniaNya. Saya meletakkan dahi di lantai untuk melakukan sujud syukur dengan linangan air mata. Namun ia bukan alasan untuk saya berhenti memohon dari Allah. Malah azam saya untuk terus memperbanyakkan amalan soleh sebagai persediaan sebelum saya dipanggil mengadap Illahi.
Selamat menyambut tahun baru 2015.. Semoga tahun baru ini membawa kebahagian dan kesejahteraan kepada kita semua didunia mahupun diakhirat kelak.. Aamiin..
BalasPadamsemoga tahun 2015 memberi kebahagiaan dan kesenangan buat kita semua, amin...
BalasPadam