Nasi Goreng China dan Persediaan Ramadhan
Kali ini saya nak kongsikan pula, satu lagi versi Nasi Goreng China yang diambil dari resepi kkida saya memang suka memasak nasi goreng China selain dari nasi goreng kampung. Ini adalah kerana nasi goreng China menggunakan bahan yang cukup mudah seperti bawang putih dan halia serta cepat disediakan. Jadi tak perlulah bersusah payah untuk kisar dan tumis cili kering dsb. Di dalam blog saya, memang telah ada beberapa versi Nasi Goreng China yang telah saya kongsikan sebelum ini. Klik di SINI. Bahan bahan asas yang digunakan adalah sama sahaja cuma teknik dan cara penyediaan sahaja yang sedikit berbeza.
Sebelum kita layan resepi, saya ingin kongsikan sedikit petikan dari kuliah maghrib Ustaz Azmi di Surau Ad Dhuha sempena menyambut bulan Ramadhan tidak lama lagi. Kita kenalah belajar berkenaan bulan Ramadhan sebelum ketibaannya supaya puasa kita adalah puasa seperti mana puasa orang orang beriman, bukan sekadar puasa yang mendapat lapar dan dahaga sahaja. Setiap hari selepas azan Subuh, kita memang akan diberikan markah penuh puasa sehinggalah markahnya akan menurun mengikut amalan dan perbuatan kita sehingga kita berbuka. Jadi pentingnya untuk kita mengetahui bagaimana untuk berjaya menjadikan puasa kita seperti puasa orang orang beriman. Ianya adalah seperti berikut:
1. Mestilah berpuasa
2. Seluruh panca indera juga berpuasa seperti mata, telinga dan mulut. Terutama bagi orang lelaki dipesan supaya menundukkan pandangan mata terutama di bazar bazar Ramadhan yang boleh mengurangkan banyak pahala berpuasa, jika tidak dijaga.
3. Tidak sesekali meninggalkan solat sunat terawih. Jika tidak sempat ke masjid, bolehlah melakukannya di rumah dengan secara relax dan membaca surah yang pendek pendek sahaja.
4. Tidak meninggalkan membaca Al Quran. Kena berazam untuk menkhatamkan Al Quran di bulan Ramadhan kerana ganjaran pahalanya yang besar dan berganda di bulan Ramadhan.
5. Perbanyakkan bersedekah melebihi dari bulan bulan yang lain.
6. Bersegera berbuka puasa. Sebaiknya berbuka dengan buah tamar dan air terlebih dahulu, menunaikan solat Maghrib sebelum makan makanan yang lain.
7. Mesti bersahur kerana dalam sahur adalah barakah. Lagi lewat sahur, lagi besar pahalanya.
8, jangan meninggalkan Qiamullail iaitu solat malam. Dipesan supaya paling busuk sekali pun, lakukanlah pada 10 malam terakhir.
Itulah antara pakej puasa orang beriman yang dilakukan oleh baginda Rasulullah dan para sahabat. Kalau kita meninggalkan salah satunya, maka puasa kita akan bermasalah. Adakala nya pahala puasa kita boleh menjadi negatif kerana perbuatan dan perkataan kita seharian. Namun ada cara untuk mendapatkan pahala puasa yang berganda iaitu dengan memberi makan orang yang berpuasa. Perniagaan yang paling menakjubkan ialah perniagaan memberi makan orang yang berpuasa kerana ganjarannya sangat besar. Mudah mudahan panduan di atas akan melengkapkan pakej ibadat puasa kita di bulan Ramadhan.
Sekarang, kita lihat resepi nasi goreng China yang saya gunakan kali ini seperti di bawah. Saya guna hanya ikan bilis kerana tiada stok ayam, manakala untuk sayur campur, saya gantikan dengan kacang panjang yang memang kegenaran saya. Saya memang suka menggunakan bawang putih yang banyak jika menggoreng Nasi Goreng China.
Nasi Goreng China
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
1 mangkuk besar nasi putih
1 mangkuk isi ayam - potong dadu - saya guna ikan bilis
1 mangkuk sayur campur/kacang panjang
4-5 biji telur
Segenggam bawang putih - tumbuk
2 inci halia - tumbuk
Serbuk lada sulah
Garam
Cara cara:
Buat telur scramble dulu dengan memukul beberapa biji telur dengan menggunakan garfu, tambah garam dan sedikit air. Panaskan kuali dan tuang telur. Biarkan telur hampir "set" dan dikacau dengan cara menolak dari tepi ke tengah kuali dan seterusnya kacau. Tutup api sambil terus dikacau sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan halia yg ditumbuk, masukkan isi ayam dan tumis sehingga ayam masak. Kemudian masukkan nasi dan kacau dengan menggunakan api yang kuat sebelum dimasukkan garam dan serbuk lada sulah. Kacau lagi.
Masukkan sayur campur, kacau dan akhir sekali masukkan telur scramble tadi dan terus dikacau atas api kuat beberapa minit sebelum diangkat dan hidangkan.
Nota:
Jika mengguna udang, masukkan udang selepas nasi bagi mengelakkan udang menjadi keras.
Catat Ulasan for "Nasi Goreng China dan Persediaan Ramadhan"
Add your comment