Selasa, 19 November 2019

Nasi Goreng Ikan Masin Yang Terlajak Sedap

Nasi Goreng Ikan Masin

Kalau dulu, bulan Oktober hingga Disember kebiasaannya adalah musim tengkujuh di negeri negeri Pantai Timur. Di zaman remaja, musim inilah yang paling menyeronokkan kerana adanya banjir. Hujan akan turun tanpa henti dan jika berhenti pun, hanya seketika sahaja. Jadi cuaca ketika ini, memang sejuk. 

Masih teringat lagi, arwah Ayah akan menyalakan api dan berdiri tepi dapur untuk memanaskan badan. Rumah kami yang terletak di kedudukan yang tinggi, memang tidak akan dinaiki air banjir. Tapi bahagian sawah kami, memang akan dipenuhi dengan air sehingga ke Kampung Rusa. 

Kami akan mengharung air banjir yang melimpahi jalanraya, yang ketika itu seolah satu pesta banjir pula. Kadang kadang berjalan sehingga ke Kampung Bator untuk mengharung air banjir. Tapi kini musim tidak lagi menentu. Tidak tetap seperti dulu. Ada tahun yang tiada musim tengkujuh. 

Selain itu, saya suka musim ini kerana terdapat pelbagai ikan sungai di musim ini. Arwah abang sulung saya suka memasang tauk dan memasang jala. Macam macam ikan lampan jawa yang dapat. Ketika ini terdapat banyak ikan keli lembut dan ikan haruan. Cuma ikan macam ikan patin semua, saya tak pernah kenal dan rasanya tak pernah makan pun. Tak tahulah kalau sungai di kampung kami, tiada ikan jenis itu. 

Arwah ayah pula akan mengayuh perahu untuk membawa orang yang ingin ke Kota Bharu dari Kg Tangok sehingga ke Jelawat. Pendek kata, musim tengkujuh juga membawa rezeki kepada kami. Tapi kesian juga melihat arwah Ayah mengayuh perahu melawan arus sungai yang deras untuk mencari rezeki dan dalam kesejukan hujan yang rintik rintik. Selepas jalanraya ditinggikan, tiada lagi aktiviti berperahu di musim banjir.   

Makanan yang biasa ada di musim tengkujuh ialah ikan pekasam yang diperap penuh dengan garam kasar. Isi ikan berwarna pink keperangan yang sangat masin. Kalau nak memasaknya, sedap dipecahkan beberapa biji telur seperti telur dadar ketika ikan telah diterbalikkan dan hampir masak. 

Selain itu, ada ubi gadung yang dikukus dan dimakan dengan kelapa parut. Makanan biasa ialah ubi kayu rebus selain dari pelbagai ubi keledek rebus. Hmm kini semuanya tinggal kenangan, selepas kami berpindah dari Kg Tangok, tiada lagi semua ini. 

Selepas berpindah, saya masuk universiti dan terus menetap di Kuala Lumpur. Serious saya sangat merindui kenangan indah semasa zaman remaja. Impian saya ketika itu ialah untuk bekerja dan menetap di bandar akhirnya menjadi kenyataan.

Oleh kerana dah bercakap pasal ikan pekasam, saya hari ini ingin berkongsikan resepi nasi goreng ikan masin. Ikan masin yang dijeruk. Resepi biasa sahaja tapi teknik memasak yang membezakan rasanya. Memasak nasi goreng, perlu bermain dengan api. Api perlu besar supaya nasi akan goreng dan tiada bau hanyir jika kita menggunakan telur. Sayur pula, masih berkilat dan nampak segar. Tapi sayur saya hari ini kelihatan sedikit layu kerana Hubby meminta saya menghabiskan baki nasi yang ada. Ia menjadikan sayur nasi goreng saya dah terlebih masak. 

Nasi Goreng Ikan Masin

Apa apa pun nasi goreng saya hari ini sangat sedap. Menjadi seperti nasi goreng ikan masin di gerai Pak Tehtuu yang menunjukkan cara menggorengnya pada saya. Sekadar nak makan sepinggan dua, boleh jer singgah di gerai Pak Tehtuu di food court bersebelahan stesyen minyak Petron berhadapan dengan Star Avenue di Pinggaran Subang, simpang ke airport lama. 

Terima kasih kepada Encik Aziz, owner Gerai Pak Tehtuu. Sejak tak sihat ni, lama tak ke sana. Rindu pula dengan nasi goreng ikan masin, nasi goreng daging dsn roti canai.

Jom layan resepi simple yang digunakan hari ini dan jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Dah subscribe ke belum? Jika belum, jom lah subscribe. Selamat mencuba.... 


Nasi Goreng Ikan Masin

Nasi Goreng Ikan Masin
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 mangkuk besar nasi putih
1/2 biji bawang besar Holland - hiris
2 keping isi ikan masin
5-6 tangkai cili api - ketuk
3 biji telur
Sayur sawi
Sos sotong
Garam
Serbuk lada sulah

Cara cara:
Panaskan minyak sehingga kelihatan berasap. Tumis bawang besar dan cili api yang diketuk sehingga naik bau. Masukkan isi ayam dan kacau lagi. 


Ketepikan bawang dan masukkan ikan masin dan goreng sehingga ikan garing. Masukkan cili padi ketuk. Hancurkan ikan.


Ketepikan bahan dan pecahkan telur. Tutup api dan kacau telur sehingga masak. Buka api semula. 


Masukkan daun sawi dan nasi. Dikacau rata. 


Satukan sos sotong, garam dan lada sulah. Tuang ke atas nasi. Kacau rata. 



Sedia untuk dihidangkan. 

3 ulasan:

  1. Salam Azie, just nak beritau salah seorang blogger yg saya minati selain Azie iaitu Azlita Masam Manis telah kehilangan putera lelaki beliau baru2 ni. sedih sebab saya juga mengikuti perkembangan keluarga beliau bertahun2....sama2 kita doakan azlita tabah dgn dugaan ini ya..

    BalasPadam
  2. Assalam Kak Azie

    Sy selalu ternanti2 kisah lama kehidupan Kak Azie di kampung. Sy juga dibesarkan di kampung tapi kampung dalam bandar. Nak merasa kampung betul, balik ke rumah atuk, itupun bukannya betul2 kampung. Kampung sebenar yg sy bayangkan tentunya ada sungai yang mengalir dan sawah padi tapi di Johor (kecuali Muar) manalah ada sawah padi, kan.. hihi. Bila bertemu jodoh dgn org Kedah, sy fikir dptlah merasa duduk rumah kampung yg dikelilingi sawah padi, pun tak dapat sbb ayah mertua kerani estet kebun getah, haha.

    Btw, sy jarang masak nasi goreng letak ikan masin atau pekasam, biasanya campak ikan bilis atau ayam je. Kalau rajin sikit adalah udang atau sotong. Next time sy nak cubalah nasi goreng letak ikan masin, tentu sedap.

    BalasPadam
  3. Cik Hashim sudah arwah? Allahu akbar...
    Ada seorang lagi yang saya ingat, nama sama dengan saya. Arwah ayah selalu memuji beliau sebab pandai mengusahakan perniagaan ayam dan lain-lain bidang perniagaan. Saya juga teringat dia tersenyum dan jawab, "ini semua dengan mengikut cara Pak Ngah Haji".. Dia masih ada?? Maaf ya kerana bertanya..

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon