Khamis, 28 November 2019

Kuih Sagu Tanpa Kukus


Hari ini adalah hari ulang tahun perkahwinan kami. Alhamdulillah walaupun terpaksa menyambutnya di bilik ward dengan cucunda saya Ammar juga ditahan di ward. Setiap pasangan perlu berusaha untuk mempertahankan perkahwinan dengan memperbanyakkan sikap toleransi antara satu sama lain. Semua pasangan mengharapkan perkahwinan berkekalan sehingga ke akhir hayat demi kebahagiaan anak anak. 

Saya terbaca tulisan kesedihan seorang anak yang lahir dari perhubungan antara ibunya dengan lelaki yang telah berkeluarga. Pendapat saya dari kes tersebut, pastinya seorang anak tidak bersalah walau apa pun keadaannya. 

Mungkin si anak tidak diberitahu kisah sebenar ibunya yang telah melakukan kerosakan pada rumahtangga orang lain. Apalagi menggunakan helah dan taktik untuk menjerat lelaki lain untuk dijadikan suami. Tapi kes sebegini telah pasti akan berakhir bila perhubungan tidak berdasarkan cinta. Cinta berdasarkan jerat dan paksaan. 

Setiap orang menpunyai kisah silam. Yang penting, insaf dan bertaubat atas dosa dan kesalahan yang telah dilakukan pada orang lain. Tiada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan. Dosa pada manusia lain tidak akan terpadam dengan begitu sahaja. 

Sekadar peringatan termasuk saya sendiri supaya mengelak berbuat penganiayaan dan kerosakan pada orang lain. Balasan Allah bukan sahaja di akhirat, kadang kadang di dunia telah diberikan balasannya. Sekarang masuk bab masakan pula. 

Kuih sagu ini adalah kuih kesukaan Nellisa. Saya menpunyai beberapa entri berkenaan cara penyediaan kuih sagu. Ada cara yang dimasak dan dikukus, ada yang hanya dikukus dan yang ini pula adalah hanya dimasak tanpa dikukus. Cara memasak yang berbeza memberikan hasil tekstur kuih yang berbeza. 


Kuih sagu yang dimasak tanpa kukus menghasilkan kuih sagu yang lembut dan tidak kenyal. Kuih sagu yang dikukus adalah kuih sagu yang kenyal. Manakala yang dimasak dan dikukus adalah kombinasi antara keduanya. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini dan video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....



Kuih Sagu Tanpa Kukus
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 cawan sagu biji - rendam 30 minit
4 cawan air
½ cawan gula pasir - boleh tambah
1 sudu kecil sirap ros merah
Kelapa putih + garam - kukus seketika

Cara cara:
Rendam sagu dalam 30 minit. Masak 4 cawan air hingga mendidih. Tapis sagu yang direndam dan terus masukkan ke dalam air mendidih tadi.




Kacau perlahan- lahan sehingga sagu menjadi jernih. 


Masukkan perisa sirap ros dan gula. Kacau sehingga mendidih dan pekat. Nota: saya kacau atas dapur selama 30 minit.


Tuangkan dalam loyang 7”x7” atau dalam acuan kecil. Biarkan sehingga sejuk. 


Potong dan digaul dengan kelapa parut putih yang digaul dengan sedikit garam.


Nota:
Jangan kacau sagu ketika direndam untuk mengelakkan ianya hancur. Sagu akan lebih lembut dan kurang kenyal. 

Jika sagu tidak direndam lama dan masih belum jernih, selepas dimasukkan gula, boleh dikukus sehingga sagu menjadi jernih. Sagu ini akan lebih kenyal. 

Jika sagu direndam semalaman, hanya masak dengan 2 cawan air sahaja kerana sagu telah lembut.

Kelapa yang digaul dengan garam dikukus seketika supaya tahan lama. 


1 ulasan:

Add your comment
EmoticonEmoticon