Selasa, 14 Mei 2019

Pengat Pisang Nipah Yang Sedap


Saya ingin kongsikan sedikit intipati kuliah Zohor oleh Ustaz Meor di surau tempat saya bekerja. Ramadhan bulan Maghfirah bulan keampunan. Malaikat mendoakan celaka bagi golongan orang yang menjumpai bulan Ramadhan tapi keluar darinya dengan Allah SWT tidak mengampuni dosa-dosanya. 

Bukan sahaja tidak dapat keampunan tapi dosa pula bertambah. Contoh, perkara yang boleh menambah dosa ialah melakukan pembaziran ketika berbuka puasa. Allah panggil orang membazir sebagai saudara mara syaitan. 

Contoh kedua bab morre, bila banyak makanan berlebihan, jangan kita bungkus sampai tak ingat pada orang lain. Ini pun boleh menambah dosa. Jangan sampai terambik bahagian orang lain. Banyak benda lain yang jika tak dijaga seperti mata, telinga yang juga mendapat dosa. 

Nabi beristighfar lebih dari 70 kali sehari walaupun baginda adalah seorang yang maksum. Jadi kita disarankan untuk memperbanyakkan membaca Penghulu Istighfar yang disebut "Barang siapa mengucapkannya waktu siang dan dia meninggal waktu petang dengan penuh keyakinan, maka dia akan masuk syurga". 

Selain istighfar untuk hapuskan dosa, dijadikan baginya jalan keluar dari kesempitan dan rezeki yang tidak disangka. Jadi sama sama memperbanyakkan istighfar di bulan Ramadhan ini samada dalam hati atau secara lisan. Mudah mudahan amalan kita diterima dan kita diberikan keampunan dari segala dosa.


Hari ini saya hanya ingin kongsikan resepi biasa sahaja iaitu pengat pisang. Pengat pisang nipah yang sangat sedap. Kalau di bulan Ramadhan saya suka berbuka dengan kuih yang basah dan berkuah. Lebih sedap jika ianya sejuk sejuk selepas dikeluarkan dari peti ais.

Maklum tekak saya dah terbiasa dengan kuih muih Kelantan banyak berkuah dan basah seperti kuih biji nangka, nekbat, sira pisang dan banyak lagi. Saya tidak gemarkan kuih kering seperti karipap walaupun saya makan juga karipap terutama karipap sardin. 


Jom layan resepi dan cara saya menyediakan pengat pisang. Saya juga ada sediakan video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel. Boleh klik di SINI untuk menontonnya...



Pengat Pisang Kebatu
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 sikat pisang kebatu
1 biji kelapa parut - santan
2 keping gula Melaka
1/4 cawan gula pasir - ikut manis disukai
1 sudu kecil garam kasar
5 sudu besar biji sagu
2 helai daun pandan
Air secukupnya

Cara cara:
Masak gula Melaka dengan air dan daun pandan sehingga gula Melaka hancur. 


Satukan air gula Melaka dengan santan dan pisang. Kacau rata sehingga pisang lembut. Nota; Jika pisang belum cukup masak, boleh masak pisang dengan air gula Melaka terlebih dahulu sebelum dimasukkan santan. 



Setelah mendidih, masukkan gula pasir dan garam. Kacau lagi. 

Setelah separuh pisang lembut, masukkan biji sagu yang telah direndam. Masak lagi sehingga biji sagu menjadi jernih dan pisang lembut elok. 


Jika kuah terlebih pekat, bolehlah tambah air panas kerana setelah sejuk kuah akan menjadi lebih pekat. 


Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api. 

Nota:
Sagu boleh dimasukkan dengan cara memasaknya terlebih dahulu. Dengan ini, kita boleh mengagak kepekatan kuahnya. 

Caranya ialah sagu dimasak sehingga menjadi jernih. Angkat dan tuang ke dalam bekas penapis. Lalukan bawah air paip dan kacau rata untuk membuang kanjinya. Tinggal biji sagu sahaja. 



Tuangkan sagu tadi ke dalam periuk pengat tadi. Kacau rata. 



Add your comment
EmoticonEmoticon