Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Asam Pedas Ikan Kerapu

Asam Pedas Ikan Kerapu

Memasak asam pedas yang sedap memang kena sabar. Sabar untuk menunggu bahan yang ditumis masak garing berkali kali. Barulah sedap. Tapi saya pun tak berapa nak sabar sebab balik dari pejabat terus ke dapur. Nasib baik dah solat asar siap siap di pejabat. Lepas memasak bekejar naik untuk mandi dan bersiap siap untuk berbuka puasa dan ke surau. Bulan Ramadhan ni masa sangat terisi sehingga masa untuk benda benda lain hampir tak ada. 

Lauk asam pedas adalah antara lauk kegemaran saya. Ianya memang sesuai dimasak sebagai hidangan berbuka puasa juga. Satu lagi yang saya suka, kerana lauk ini boleh dimasak lebih awal dan disimpan di dalam peti ais. 

Wanita bekerja macam saya ni, memang tidak ada pilihan. Tak boleh nak memasak setiap hari. Bila ada kesempatan, inilah yang saya buat. Memasak banyak banyak dan simpan. Boleh tengok entri lepas asam pedas dengan klik di SINI, SINI dan SINI. Haa betapa saya sangat suka makan lauk asam pedas.

Asam Pedas Ikan Kerapu

Sebelum kita tengok resepi, saya ingin selitkan di sini bahawa pada setiap malam dalam bulan Ramadhan, Allah akan membebaskan hambaNya dari api neraka. Diriwayatkan Bazzar (Kasyf, no. 962), dari hadits Abu Said, dia berkata, Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda, “Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta’ala memberikan kebebasan dari siksa neraka pada setiap malam –yakni di bulan Ramadan- dan sesungguhnya setiap muslim pada waktu siang dan malam memiliki doa yang terkabul ( mustajabah)”.

Jadi sama sama lah kita berdoa, Ya Allah masukkan nama aku dan seluruh ahli keluarga ku dalam senarai nama mereka yang dibebaskan dari api neraka. Aameen.  

Juga perbanyakkan doa yang diajar baginda Nabi Muhammad SAW kepada Saiditina A'ishah iaitu Allahuma innaka ‘afuwwun, tuhibbul ‘afwa fa`fu ‘anna yang bermaksud Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf yang menyukai permintaan maaf, maafkanlah aku. Semoga sedikit perkongsian ilmu ini dapat memberi manafaat pada kita semua. Mudah mudahan. Aameen. 

Jom layan resepi saya hari ini di sini. Bahan yang sama sahaja cuma sukatan sedikit berbeza kerana ikan kerapu bersaiz sederhana sahaja. Ikan kerapu yang diberi oleh Nid sebelum kami bercuti ke Europe lagi. Bunga kantan pula dipetik dari pokok di belakang rumah kami. Selamat mencuba...


Asam Pedas Ikan Kerapu

Asam Pedas Ikan Kerapu 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ikan kerapu
2 batang serai - ketuk
1 sudu besar asam jawa - bancuh dengan 1 mangkuk air
1 kuntum bunga kantan - belah 2
Sedikit daun kesum
4 sudu besar cili kisar  
1/2 sudu besar garam
250-300 liter air 
Minyak 

Bahan kisar
1 biji bawang besar - saiz besar
3 ulas bawang putih
3 hirisan lengkuas
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

Sayuran:
6-7 batang kacang bendi
1 biji buah tomato - belah 4

Cara cara:
Panaskan minyak yang agak banyak sesuai dengan jumlah bahan kisar. Tumis bahan kisar bersama serai sehingga garing dan terbit minyak. 


Asam Pedas Ikan Kerapu


Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili masak garing dan terbit minyak. Masukkan sedikit air dan masak sehingga terbit minyak sekali lagi bagi memastikan cili benar benar masak.

Asam Pedas Ikan Kerapu

Masukkan air asam jawa dan masak sehingga pecah minyak lagi sekali. Kemudian, masukkan air mengikut kepekatan yang disukai dan biarkan mendidih. 

Setelah mendidih, baru dimasukkan ikan dan bunga kantan yang dibelah dua. 

Asam Pedas Ikan Kerapu

Kemudian masukkan sayuran seperti daun kesum, bendi, tomato atau apa sahaja yang disukai. 

Asam Pedas Ikan Kerapu

Perlahankan api dan biar ianya merenih lama lama sehingga sayur lembut. Akhir sekali, baru dimasukkan garam. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. 

Asam Pedas Ikan Kerapu


Nota:
Masukkan air sedikit dahulu dan ditambah sehingga dapat kepekatan kuah yang disukai. Selepas ditutup api, kuah akan menjadi lebih pekat. 


1 ulasan for "Asam Pedas Ikan Kerapu"

  1. mantap, coba baca juga http://news.unair.ac.id/2021/03/29/teknik-pembesaran-ikan-kerapu-tikus-cromileptes-altivelis-pada-keramba-jaring-apung/

    BalasPadam