Isnin, 24 Disember 2018

Majlis Akikah Ammar Yahya Yang Disambut Sederhana


Alhamdulillah selesai majlis akikah cucunda saya, Ammar Yahya yang simple dan sangat ringkas. Ammar telah berusia 4 bulan setengah dan sangat cerdik. Suka bersembang dan suka ikut sama menyanyi atau berzikir atau apa sahaja yang berirama. 

Tiada sebarang majlis selain hanya makan makan sahaja. Maklumlah saya masih belum sihat sepenuhnya dan Nana juga sibuk dengan kerja di samping belajar. Rumah pulak sebelumnya agak bersepah kerana terdapat sedikit kerja kerja membaiki kerosakan di rumah.

Majlis bermula pada pukul 11 pagi dan berakhir pada pukul 4.00 petang. Alhamdulillah kali ini hari tidak hujan seperti mana majlis majlis kami sebelum ini walaupun ada tanda seperti hari hendak hujan. Hujan hanya turun selepas majlis selesai sepenuhnya.

Kami menempah nasi briyani Muar dari caterer sama dengan majlis pernikahan Nana pada tarikh yang sama 2 tahun yang lalu. Ramai yang memberi maklumbalas akan keenakan nasi briyani dan mee bandungnya. Sebetulnya urusan pemilihan lauk pauk semua dibuat oleh Hubby dan Nana. Saya tak masuk campur dan saya juga tidak melihat lauk pauk yang terhidang. Kalau saya sihat, biasanya saya akan mengambil gambar lauk pauk dan hidangan, gambar sepanjang majlis serta gambar tetamu tetamu yang hadir. 

Oleh kerana saya masih menggunakan tongkat dan pergerakan yang terbatas, saya membuat keputusan tidak menjemput rakan rakan saya, kecuali beberapa orang teman rapat sahaja. 

Hubby menjemput rakan rakan alumni, rakan sekerja beliau dan jiran jiran. Manakala Nana, Alain dan Nelly menjemput rakan rakan masing masing. Keluarga saya dari Kelantan dan keluarga Hubby dari Perak juga turut hadir. Keluarga Alain juga ramai hadir.






Pagi ketika hidangan disiapkan oleh pihak caterer, kami menyambut hari jadi Nana yang kebetulan jatuh pada hari yang sama dengan kehadiran kedua dua besan kami dan keluarga. Hanya memotong sebiji kek sahaja. Yang penting adalah ingatan akan hari istimewa anak anak.



Yang sangat menyeronokkan ialah membuat persediaan rumah untuk menyambut majlis akikah Ammar di mana setiap orang memainkan peranan untuk membersih, menghias dan deko rumah. 

Chandelier diturun dan dibersihkan, carpet dibentang, bunga digubah, frame dinaikkan dll. Terasa seronok bila semua mengambil bahagian.





Dua minggu sebelumnya kami telah memanggil kontrator dan vendor untuk membaiki kerosakan rumah juga membaiki aircond serta lampu lampu di dalam dan di luar rumah. Saya juga telah menukar beberapa perabut dan membeli decorative item untuk hiasan rumah secara online. 

Semuanya demi menyambut hari gembira kami sekeluarga iaitu majlis akikah Ammar Yahya, permata hati kami.


Add your comment
EmoticonEmoticon