Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Masak Lemak Cili Api Telur Masin Dengan Kulat Sisir



Saya memang penggemar telur masin sejak kecil. Masih ingat kalau di bulan Ramadhan, saya suka makan gulai ayam dengan lauk telur masin. Arwah Bonda menyediakan sendiri telur masin kerana telur itik yang dibela memang banyak dan terdapat stock setiap hari. 

Setiap pagi kerja saya untuk mengutip telur itik dari dalam reban. Hidup di kampung, semua sumber makanan tersedia di sekeliling rumah sahaja. Tak perlu nak membeli beli. 

Saya menanda batch telur itik dengan menggunakan arang. Telur yang ditanda dimasukkan ke dalam botol kaca besar yang memang telah ada air garam. Dengan tanda, memudahkan kita untuk mengecam telur masin yang telah lama dengan telur yang baru dimasinkan.

Kedua dua bahan dalam masak lemak cili api hari ini adalah yang saya sukai, iaitu telur masin dan kulat sisir. Kalau di kampung, memang sedap kulat sisirnya kerana segar. Selepas dikutip, terus dimasak. Kalau di sini, beli yang dah lama atau yang kering. Kena lah rendam dahulu sebelum dimasak. Untuk menyimpan supaya tahan lama, kulat perlu dijemur sehingga kering.  

Sebenarnya masakan saya hari ini, terdapat sedikit kesilapan teknik apabila saya telah memasukkan sedikit santan untuk dimasak dengan bahan tumbuk. Sepatutnya hanya masukkan air sahaja. Bila dimasukkan santan, ia akan berketul ketul bila kita tidak dapat mengacaunya ketika telur sedang mengeras. Apa apa pun kita belajar dari kesilapan. 



Namun begitu, gulai masak lemak ini tetap sedap. Cuma kejadian jer kurang cantik. Sangat sedap malahan lebih sedap dari masak lemak telur itik segar. Jika ada stock telur masin di rumah, jom pakat cuba resepi ini. 

Pasti makan nasi bertambah tambah ni. Telur masin ini, saya sediakan sendiri selepas melihat lebihan telurnya dari masak lemak telur itik sebelum ini di SINI. Boleh klik di SINI untuk cara menyediakan telur masin.

Meh layan resepi di bawah ini dan video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...


Masak Lemak Cili Api Telur Masin Dengan Kulat Sisir
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3 biji telur masin
1/2 mangkuk kulat sisir
1/2 biji kelapa - santan
1 batang serai - titik
1 keping asam keping

Bahan kisar:
8-10 tangkai cili padi - ikut pedas disukai
1/2 inci kunyit hidup

Cara cara: 
Rendam kulat sisir di dalam air garam. Kemudian dibasuh bersih dan tos. 

Masukkan bahan kisar yang dikisar bersama air ke dalam kuali. Kacau rata sehingga hampir mendidih kecil. 

Pecahkan telur sebiji sebiji ke dalam mangkuk kecil. 


Perlahankan api dan tuang telur satu persatu ke dalam kuali sebelum ianya mendidih. Jangan dikacau sehingga telur mengeras bagi mengelakkan telur pecah. Dengan menggunakan sudu, terbalikkan telur yang telah separuh masak. 


Tuangkan santan dan kacau dengan berhati hati supaya telur tidak pecah. Kacau kuah sehingga mendidih. 

Biarkan telur agak keras, masukkan kulat sisir dan asam keping. Kacau rata. 



Akhir sekali, masukkan santan pekat dan biarkan mendidih. Masukkan garam. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api. 


1 ulasan for "Masak Lemak Cili Api Telur Masin Dengan Kulat Sisir"

  1. Cendawan apakah yg sesuai selain dari kulat sisir?

    BalasPadam