Selasa, 17 Julai 2018

Air Asam Pencicah Yang Sangat Sedap

Air Asam Pencicah Yang Sangat Sedap

Saya sangat menggemari Daging Bakar yang cukup terkenal sebagai hidangan dengan nasi kerabu di Kelantan. Dibakar simple sahaja tapi rasanya sangat sedap, mungkin kerana daging yang digunakan adalah daging segar yang sangat manis. Daging juga tidak boleh dibakar terlalu lama kerana ia akan menjadi kering dan kurang sedap.

Hari ini saya ingin kongsikan sekali lagi berkenaan Air Asam Pencicah yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Untuk melihat cara saya menyediakan daging bakar dan asam pencicah boleh klik di SINI.

Air Asam Pencicah Yang Sangat Sedap
Kalau makan ikan bakar atau daging bakar, bagai tidak lengkap jika tidak dicicah dengan air asam. Air asam sangat mudah disediakan namun tidak semua orang mampu menghasilkan air asam yang sedap. Ada ketika, air asamnya cair dan tidak secukup rasa. 

Cara untuk menghasilkan air asam yang sedap pekat dan melekat ialah dengan mengisar sebahagian bahan bahan dan sebahagian lagi dipotong dadu atau dihiris halus. Selain dari sedap, air asam mestilah cantik dengan menpunyai warna merah dan hijau. 

Ada juga orang yang meletakkan daun kesum yang dihiris hiris, pun sedap juga. Tapi tak semua orang sukakan bau daun kesum kan, jadi saya buat air asam biasa sahaja. Untuk menambah keenakan air asam, saya meletakkan sedikit sos cili Maggi dan serbuk secukup rasa Maggi.

Jom layan resepi mudah tetapi sangat sedap dan bertindak sebagai lauk penyelamat kalau rasa malas nak memasak atau malas nak keluar makan. Memasaknya semudah ABC gitu. Jangan lupa singgah Instagram Azie Kitchen untuk melihat video di SINI

Air Asam Pencicah Yang Sangat Sedap
Air Asam Pencicah Yang Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan Kisar Halus:
1-2 ulas bawang merah
5 tangkai cili padi - merah dan hijau
2 tangkai cili merah besar - saya guna yang sangat panjang
2 sudu besar asam jawa - dibancuh dengan 1/2 cawan air masak
Sedikit belacan - dibakar dahulu - tak letak
1 sudu kecil garam
3 sudu besar gula

Bahan lain:
1 biji bawang besar-dipotong dadu
1 biji tomato-dipotong dadu
2 tangkai cili padi hijau - hiris halus untuk tambah warna
Sedikit perahan air limau nipis
1/2 sudu kecil serbuk perasa
Sedikit sos cili 

Cara-cara;
Kisar semua bahan kisar secara pulse on off supaya tidak terlalu halus. Masukkan bahan yang dikisar ke dalam  mangkuk.


Air Asam Pencicah Yang Sangat Sedap



Masukkan buah tomato, bawang besar yang telah dipotong dadu dan cili padi hijau.

Air Asam Pencicah Yang Sangat Sedap

Perahkan asam limau nipis. Kacau, kalau pekat sangat boleh tambah air masak lagi. 


Untuk menambah keenakan air asam, masukkan sedikit sos cili. Sesuaikan rasa supaya ada rasa masin, manis dan masam. Lebihkan rasa manis berbanding masin. Siap dan sedia untuk dihidangkan dengan daging bakar atau ikan bakar.

Air Asam Pencicah Yang Sangat Sedap

Nota:
Boleh juga dipotong-potong sahaja cili dan semua bahan kemudian digaul/ramaskan dengan tangan semua bahan hingga sebati.

Air Asam Pencicah Yang Sangat Sedap

Selamat mencuba....




Add your comment
EmoticonEmoticon