Friday, 8 June 2018

Sambal Tumis Udang dengan Petai Buat Juita

Sambal Tumis Udang dengan Petai

Malam tadi Juita selamat tiba di KLIA. Alhamdulillah kerana Juita tidak perlu membayar untuk luggage yang terlebih muatan. Beliau akan bercuti selama 3 bulan. Seronok bila ada teman untuk ke mana mana untuk shopping atau memasak di dapur. 

Hari pertama Juita berbuka puasa malam ke 24 Ramadhan di rumah, saya menyediakan Sup Ekor, Sambal Tumis Udang dengan Petai juga Ikan Jenahak goreng garam kunyit. Hmm terasa sangat cepat masa berlalu, Ramadhan akan berlalu meninggalkan kita dalam masa beberapa hari sahaja lagi. 

Samada kita telah cukup merebut amal atau tidak, ia tetap akan pergi. Maka celaka lah siapa yang masuk bulan Ramadhan tapi dosa nya tidak diampun ketika keluar dari bulan Ramadhan. Berbalik pada resepi, sehari sebelumnya saya telah beli udang bersaiz agak besar yang sangat segar dan juga 2 pek petai. Harga lebih kurang RM16.00 untuk 15 ekor udang.   

Sambal Tumis Udang dengan Petai

Balik kerja terus ke dapur dengan tidak sempat menyalin pakaian pun. Nasib baik saya telah solat Asar di surau pejabat. Jadi tak ada tergesa gesa solat Asar. Siap memasak, telah hampir azan. 

Hari ini saya tidak menyediakan sambal tumis udang sebagaimana kebiasaannya saya memasak sambal tumis udang. Boleh klik di SINI. Pertama kerana saya membuang kulit udang kecuali di bahagian ekor. Udang dimasak dengan api kecil supaya sebati dengan sambal. 

Sebetulnya saya rasa sangat membazir bila melihat orang membuang kepala udang lebih lebih lagi udang bersaiz besar. Kalau di rumah saya, sayalah yang akan makan bahagian kepala udang kerana anak anak tak makan kepala udang. Bahagian badan pula, saya akan bagi anak anak makan. 

Sambal Tumis Udang dengan Petai

Keduanya saya tidak memasukkan gula selepas cili garing, sebaliknya saya terus memasukkan udang supaya udang bergoreng dengan minyak dan bahan tumisan. Sebabnya saya tidak suka bau hanyir udang dalam sambal. Itu sebab saya biasanya akan menggoreng udang seketika, mengikut cara keluarga mertua.

Jumlah cili kering kisar pulak, saya hanya mengagak sahaja. Sebetulnya jumlah cili kering kisar bergantung kepada bawang yang ditumis. Saya suka lebihkan bawang dari cili. Jadi saya akan masukkan cili kering sambil dikacau. Jika nampak sambal lebih bawang, maknanya cili kering sudah cukup. Jika tidak, tambahkan sedikit demi sedikit cili kering sehingga cukup. 

Jom layan resepi dan cara saya menyediakan sambal tumis udang saya hari ini. Insya Allah minggu depan, saya akan kongsikan beberapa resepi rendang daging sedap yang telah saya cuba. Anda boleh cuba memasaknya untuk hidangan di hari raya.  


Sambal Tumis Udang dengan Petai

Sambal Tumis Udang Petai 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
15 ekor udang -saiz sederhana
1 biji bawang besar - hiris
Garam
Gula
1 keping asam keping

Bahan kisar:
8 ulas bawang merah 
4 ulas bawang putih
4-5 sudu besar cili kisar - boleh tambah

Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak sesuai dengan bahan yang hendak ditumis. Jika minyak kurang, boleh ditambah ketika menumis. 

Tumis bahan kisar dan cili kisar sehingga cili garing. Masukkan udang dan kacau rata.

Masukkan gula, garam dan asam keping. Tambah sedikit air jika sambal terlalu kering. Perlahankan api dan biarkan udang sebati dengan sambal. Itu sebab dikatakan lebih sedap udang dibuang kulit jika dimasak sambal. 

Masukkan bawang besar, jika suka. Jika tak mahu, pun tak apa. 

Akhir sekali, masukkan 1/2 mangkuk petai. Kacau rata sehingga sambal terbit minyak. Tutup api supaya petai kekal rangup. 

Sambal Tumis Udang dengan Petai

1 comment:

  1. Wah....syoknya dengar Juita dapat beraya lama kat Msia.

    ReplyDelete

Add your comment
EmoticonEmoticon