Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Percik Merah Kelantan


Saya memang suka mendengar youtube ceramah oleh Ustaz Jafri. Cara penyampaiannya jelas dan sangat memberi kesan. Kali ini saya menyalin berkenaan dengan 5 amalan harian yang patut setiap kita mengamalkannya. Lebih lebih lagi kita sekarang berada di bulan Ramadhan yang sememangnya bulan yang segala amalan diberi pahala berganda, Jadi eloklah kita mengamalkannya. 

Dimulakan dengan peringatan siapa yang masuk umur 40 tahun tapi masih laghaa dengan dunia, maka bersiap sedia lah untuk masuk neraka. Walaupun tahu kelebihan tahajjud tapi masih tak buat kerana hati dah mati. Tak usah cerita lah kehebatan tahajjud atau azab neraka, tetap tak bagi kesan apa apa bila hati dah jadi mati. 

Sedang di akhirat, satu pahala pun sangat bernilai. Itulah waktu atau ketikanya apabila kita akan lari dari ibubapa kerana takut diminta pahala. Seseorang akan melupai ahli keluarganya. Ada 3 waktu iaitu waktu turun kitab amal. Kalau dapat sebelah kanan, akan jadi selamat. Kedua, takut sangat waktu nak ditimbang amalan yang dibuat waktu hidup di dunia. Ketiga, perasaan takut ketika melalui titian sirat. 

Bila mana 1 saat yang kita lalai dari berzikir pada Allah, maka besarlah penyesalan kita di Padang Masyhar. Pahala satu sebutan Subhanallah boleh memenuhi timbangan mizan. Jika kita tidak mahu menyesal, apa kita nak kena buat setiap hari?

Pertama kita kena tetapkan dalam satu hari, bila kita perlu melakukan amalan tersebut. Tujuannya supaya ia lekat dengan kita. Apa dia yang patut kita jadikan amalan?

1. Membaca surah Al Ikhlas sebanyak 10 kali, Allah akan bina baginya istana dalam syurga. Tetapkan masa, contoh sebelum tidur, iaitu selepas membaca surah Al Mulk.

2. Membaca surah Al Kahfi pada setiap hari Jumaat.


3. Menghafal 10 ayat pertama atau 10 ayat terakhir surah Al Kahfi sebagai perlindungan dari Dajjal. Juga membaca doa perlindungan dajjal selepas membaca Tahiyat akhir sebelum memberi salam. 

4. Membaca ayat kursi selepas solat fardhu di mana tiada yang menghalang seseorang masuk syurga kecuali dia belum mati.

5. Akhir sekali membaca surah Al Kafirun sebelum tidur. 


Sempena bulan Ramadhan ini, saya ingin kongsikan resepi Ikan Percik yang memang sangat terkenal di bazar bazar Ramadhan. Tetapi memang susah untuk mendapat ikan percik merah original dari Kelantan walaupun yang berniaganya adalah orang Kelantan.  Kalau ada pun, rasanya memang tidak kena. Lauk percik Kelantan juga menpunyai beberapa versi. 

Jika sebelum ini di SINI, saya lumur kuah percik pada ikan dan bakar, tapi kali ini ikan bakar hanya direndam dalam kuah percik. Biarkan seketika sehingga sebati rasanya, baru diceduk ke dalam pinggan untuk dihidangkan. 

Di samping itu, kali ini saya meletakkan serai. Saya sebenarnya kurang suka rasa serai di dalam kuah percik tapi sajalah nak mencuba kerana ianya adalah mengikut cara yang dikongsi oleh rakan sejak di bangku sekolah saya Maznah Shamsuddin. Maznah atau saya biasa panggil Nah sangat pandai memasak pelbagai masakan Kelantan dan banyak mengambil tempahan juga. Biasanya saya akan meletak separuh sahaja atau serai hanya diketuk. 

Teringat yang Kak Yah, rakan surau Ad Dhuha yang berasal dari Kelantan pun tak berapa suka rasa serai yang banyak dalam kuah percik. Saya juga banyak merujuk pada dia bila mahu memasak masakan tradisional Kelantan. Kak Yah hanya menggunakan separuh batang sahaja. Tapi terpulanglah kepada selera masing masing kan...

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Jangan lupa melihat video di Instagram Azie Kitchen dan juga di youtube Azie Kitchen channel. Selamat mencuba... 




Ikan Percik Merah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 kg ikan kembung
2 cawan santan pekat - guna 1 kotak santan kotak campur air
2 sudu besar gula atau secukup rasa
Garam
1/2 - 1 keping asam keping
1 sudu besar tepung beras - bancuh dengan sedikit air

Bahan kisar:
1 batang serai
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering - saya guna 3 sudu kecil cili kisar
1 inci halia

Cara cara:
Guna sedikit bahan kisar untuk diperap ikan dengan sedikit garam. Baki bahan kisar dimasak dengan santan sehingga kuah hampir pekat dengan menggunakan api perlahan. Masukkan gula, garam dan asam.  




Akhir sekali, masukkan tepung beras yang dibancuh dengan sedikit air. Sesuaikan rasa dan bolehlah dilumur pada ikan yang telah dibakar.





Saya masukkan ikan yang dibakar ke dalam kuah percik dan biarkan seketika sehingga agak mesra sebelum dihidangkan. 



Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

Catat Ulasan for "Ikan Percik Merah Kelantan"