Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Jenahak Bersambal

Ikan Jenahak Bersambal

Kuliah Zohor Ustaz Dr Al Ikhsan di surau tempat saya bekerja berkenaan hati yang sentiasa berkeluh kesah memikirkan samada amalan kita diterima atau tidak. Bila lepas buat amal, kita tak rasa apa apa samada Allah terima atau tidak amalan kita. Kita akan rasa Allah akan menerima amalan kita. Rupanya ada sebab lain yang menyebabkan Allah tak terima amalan kita.

Jangan pentingkan kuantiti amalan tetapi penerimaan amalan yang kita buat. Allah hanya terima amalan orang yang muktakim iaitu orang bertaqwa atau orang yang soleh. Selama ini soleh kah kita? Orang bertaqwa kah kita? Amalan orang yang tak soleh tak diterima. Jangan kita menyesal satu hari nanti. 

Diceritakan berkenaan seorang ayah bermimpi menemui anak perempuannya yang telah meninggal kerana penyakit taun. Lalu ditanya anaknya apa yang dilihat di alam sana. Anaknya memberitahu bahawa satu rakaat yang tercatit pada buku catatan ku lebih baik dari dunia dan isinya. 

Haa, jadi kita kena ada rasa takut kalau kalau amalan kita tak diterima. Takut kita bertemu Allah dalam keadaan amalan kita zero. Tak ada apa apa amalan walaupun kita banyak melakukan amalan ketika di dunia. 

Boleh kita dapat datang ke surau, boleh berpuasa boleh bersedekah, adalah merupakan satu nikmat besar. Tapi nikmat yang lebih besar adalah nikmat penerimaan amalan kita.

Ikan Jenahak Bersambal


Apa ciri ciri untuk melihat jika amalan kita diterima atau tidak khususnya amalan puasa Ramadhan. Antaranya ialah:
  • Tak kembali pada dosa lama selepas kita lakukan ketaatan. Siapa kembali pada dosa sama, maknanya amalan dia tak diterima. 
  • Kita ada rasa takut yang Allah tak terima amalan kita. Kita takut apa jadi jika Allah tak terima amalan kita. Jangan nak mati baru rasa takut. Apa bukti yang kita takutkan Allah. Cari bukti. Contoh, ada orang beribadat hingga tak balik balik rumah atau sehingga pengsan. Kita pula apa buktinya?
  • Allah akan bagi amal taufik untuk kita lakukan amal soleh selepas itu. Jadi kebaikan akan dilakukan secara berterusan hingga lepas Ramadhan. Akan lebih banyak berzikir, bersedekah dsb. Contoh ambik cuti 10 akhir Ramadhan untuk fokus pada amal ibadah.  Amal soleh seperti pokok yang subur yang perlu dijaga dan disiram sebelum mengeluarkan buah. 
  • Kita rasa apa yang kita lakukan masih kurang. Kita tak jadi angkuh dan tak rasa layak masuk syurga. Amal ibadah akan jadikan kita lebih tawadduk dan rendah diri. Bukan jadi riak dan angkuh. 
  • Kena cintakan ketaatan dan bencikan kejahatan. Kita rasa seronok dan tenang jiwa dengan amal ibadah yang kita lakukan. Hingga kita rasa kalau setahun Ramadhan pun tak apa. Allah bagi keseronokan pada orang berpuasa. Juga dalam ibadah yang lain seperti terawih.
  • Allah akan bagi redha ikut prasangka seseorang hamba itu. Kita suka pada orang yang melakukan ketaatan. Allah yang campakkan perasaan suka pada orang yang melakukan ketaatan. Rasa cinta dan benci semuanya kerana Allah. Sekarang kita rasa sayang pada seseorang kerana orang tu boleh tolong kita. Bukan kerana Allah. Tengok kita berada dengan siapa pada hari ini. Dengan ahli soleh atau dominan dengan orang orang fasik. Itulah tanda kedudukan kita di sisi Allah. 
  • Perbanyakkan istighfar. Itu tanda Allah terima amalan kita. Rasulullah beristighfar 70 kali sehari. Setiap amalan kita kena beristighfar. Sebelum bersahur kena istighfar dulu. 
  • Berterusan melakukan amalan ibadah walaupun sedikit. Itu tandanya amalan kita diterima. Allah suka amalan berterusan walaupun sedikit. 
OK sekarang kita berkisah sedikit bab masakan hari ini. Bila dengar Boy dan Mia akan balik untuk berbuka, saya terus melihat apa yang ada. Nampak pula baki ikan jenahak yang dibeli dari Syazwan, agen yang mengambilnya dari Tawau. 

Sesiapa ingin mendapat bekalan ikan dan makanan laut segar dari Tawau, boleh hubungi Syazwan di 0194557850. Saya menyediakan lauk ini memang secara sempoi. Ala ala menggunakan apa apa sahaja bahan yang ada dalam peti di rumah.  

Tapi bukan ingin memuji, lauk ini memang sedap. Pertama kerana ikan jenahak memang sedap, apalagi ianya sangat fresh. Kedua, sambal juga sangat sedap walaupun memasak dalam keadaan berpuasa. Memasak pun ikut gerak hati sahaja. Rasa nak letak bawang hiris, hiriskan sahaja. Hahaha tak perlu skema sangat, bila memasak dengan ikhlas Insya Allah pasti sedap.

Jom layan resepi dan cara penyediaan saya pada hari ini. Selamat berpuasa semua...

Ikan Jenahak Bersambal

Ikan Jenahak Bersambal
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ikan jenahak - saiz sederhana
3-4 sudu besar cili kisar - boleh tambah
3 ulas bawang putih - hiris
5 ulas bawang merah - hiris
Garam
Gula
1-2 sudu besar sos tomato 
1-2 sudu besar sos cili

Cara cara:
Ikan jenahak dilumur dengan garam dan serbuk kunyit. Kemudian digoreng dan angkat. Ketepikan.

Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah yang dihiris sehingga kekuningan. Masukkan cili kisar dan kacau sehingga cili agak garing.

Masukkan sos cili dan tomato, garam dan gula. Kacau rata. Masukkan sedikit air. 

Masukkan ikan goreng dan kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.


Nota:
Bolehlah diceduk keluar minyak berlebihan. Menumis perlu minyak yang banyak, baru bahan tumis masak sempurna.


1 ulasan for "Ikan Jenahak Bersambal"