Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Gulai Kerutuk Itik Serati Yang Sedap


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah memenangi PRU14 sehingga dapat membentuk kerajaan persekutuan. Ianya mencatat satu sejarah negara kerana Tun Dr Mahathir sekali lagi diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke7. 

Walaupun suasana sebelum angkat sumpah agak mencemaskan kerana berlaku kelewatan untuk mengadap yang Di Pertuan Agong, namun akhirnya Tun M berjaya mengadap di istana pada pukul 5.00 petang. Setelah menunggu berjam jam, diberitahu pula ditangguh ke pukul 9.30 malam. Sangat sedih memikirkan Tun M berada dalam keadaan itu kerana dia sudah tua. Dah lah dia tak berehat sejak parlimen dibubar kerana berkempen dari negeri ke negeri. 

Suasana berkempen dan pilihanraya kali ini agak tegang. Saluran media social adalah saluran utama kempen bagi rakyat yang menyokong Pakatan Harapan disebabkan kekangan media utama oleh kerajaan Barisan Nasional. Rakyat memboikot TV3 disebabkan lapuran yang terlalu berpihak kepada kerajaan yang memerintah. 

Dalam proses berkempen terutama dalam group group WhatsApp termasuk WhatsApp surau juga menyebabkan berlakunya berbalas balas komen yang ada kalanya boleh menyinggung perasaan puak lawan. Masing masing akan berkongsi berita yang menyokong parti yang disokong. 

Dan yang paling panas dan sentiasa menjadi sasaran komen adalah parti PAS yang bergerak secara sendirian kerana hanya berhasrat untuk menjadi King Maker, bukan untuk membentuk kerajaan persekutuan. OK sekarang kita masuk bab resepi pula.



Siapa antara kita yang tidak kenal dengan itik serati. Itik serati badannya lebih besar dan panjang dari itik biasa dengan kulit yang lebih berwarna cantik di bahagian kepala dan leher. 


Kebiasaannya itik serati akan dimasak kerutuk untuk mengelakkan ianya berbau. Gulai kerutuk yang akan kaya berempah menjadikan lauk itik ini lebih sedap dan mengelakkan ianya dari berbau.   

Hari ini saya ingin kongsikan bagaimana kakak saya menyediakan kerutuk yang simple tetapi sangat sedap. Simple kerana kakak saya hanya akan mengisar semua bawang dan halia. Tidak langsung dihiris. 

Untuk mengelakkan ianya berbau, maka selepas dimasukkan rempah kerutuk, terus masukkan itik dan sedikit santan. Tak perlu ditumis rempah sehingga pecah minyak. Teknik dan cara masakan adalah penting untuk menghasilkan masakan yang sedap. 

Jom layan cara kakak saya menyediakan kerutuk Itik Serati. Boleh juga kita gantikan dengan daging atau ayam. Cuma kalau masak itik kena dimasak dalam jangkamasa lama kerana memakan masa untuk empuk. 



Kerutuk Itik Serati 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor itik serati
6 sudu besar rempah kerutuk
2 biji kelapa - santan 
Asam keping 
Garam 
Gula 
Gula Melaka 
2 sudu besar kerisik - yang dibuat sendiri

Bahan kisar:
8 -10 ulas bawang merah 
4 ulas bawang putih 
1/2 inci halia 

Cara cara:
Tumis bawang bahan kisar seketika. Masukkan rempah kari dan kacau seketika sebelum dimasukkan itik dan sedikit santan. Nota: tak perlu tunggu rempah kari garing dsb.

Masak sehingga santan kering dan terbit minyak. Ianya dimasak dengan api perlahan bagi memastikan itik akan empuk ketika ini.  

Selepas itik empuk dan bahan tumis terbit minyak, masukkan baki santan. Masak sehingga kuah mendidih. Masukkan garam, gula dan asam keping secukupnya. 

Setelah kuah naik minyak, baru masukkan kerisik. Bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih, sambal belacan dan ikan goreng atau ikan kering.

Nota:
Kuah kerutuk mesti menpunyai rasa manis lebih dari masin dan masam.


1 ulasan for "Gulai Kerutuk Itik Serati Yang Sedap"

  1. Kak Azie,apa petua nak bagi daging itik cepat lembut dan tidak berbau?

    BalasPadam