Thursday, April 12, 2018

Rendang Hati Lembu Berempah Yang Sangat Sedap

Rendang Hati Lembu Berempah Yang Sangat Sedap

Sejak kecil, saya memang suka makan hati lembu, hati ayam. Masa kecik kecik dulu, kalau arwah Bonda memasak kari ayam, pasti saya akan ambil bahagian hati dan paha. Sekali sekala dapat makan sedap. Kalau makan, memang licin sampai ke tulang. Maklum dapat makan ayam adalah dikira sebagai makanan mewah pada masa tu. 

Teringat mesej yang Ustaz Ibrahim hantar pada saya, apa yang dimakan jadi kotoran, apa yang disimpan jadi rebutan dan apa yang disedekahkan akan jadi pertolongan. Haa jadi itulah kadang kadang tak faham, dah kaya raya masih lagi nak kaya, Berapa pinggan nak dimakan sekali makan. Berapa rumah nak tidur dalam satu malam. 

Kebelakangan ini, bila saya rasa stress, rasa nak membeli bermacam macam seperti handbag jam dsb. Tapi sebenarnya ia bukan penyelesaian kerana selepas itu kita akan menjadi lebih stress bila poket dah menjadi nipis. 

Lagi satu bila nak beli barang barang yang mahal, saya terfikir alangkah besarnya nilainya pada mereka yang susah. Sedang kita berboros boros. Ada kala saya terpaksa membeli walaupun berboros kerana jika tidak dibeli sekarang, memang tak dapat beli sampai bila bila kerana setiap tahun berlaku kenaikan harga.  

Berbalik pada masakan hati. Kalau memasak hati kena menggunakan resepi yang banyak menggunakan bahan dan rempah supaya rasa hati tidak kuat. Jadi lagi sedap, jika dimasukkan rempah yang disangai dan ditumbuk halus. 

Lagi satu petua untuk hilangkan hanyir hati adalah dengan digaul hati dengan 1 sudu besar tepung gandum hingga rata dan perap 10 minit, kemudian cuci kembali hingga bersih dan toskan. Saya tak buat sebab bila dimasak rendang, hati tidak akan berbau. Lagi pulak saya guna hati yang segar dari lembu yang disembelih oleh jiran saya. 


Rendang Hati Lembu Berempah Yang Sangat Sedap

Saya salin resepi ini dari blog Che Mat Gebu yang memang terkenal itu. Memasak rendang ini sangat mudah. Cuma adakala bahan yang digunakan sedikit berbeza mengikut citarasa masing masing. Ada yang guna daun limau purut, ada yang guna daun kunyit. Ada yang suka menumis, ada yang dicampak sekali gus dalam kuali. Semua pun OK, yang penting hasilnya sedap di tekak kita. 

Boleh diubahsuai mengikut kesukaan masing masing. Nak pedas, tambahlah sukatan cili atau guna cili padi seperti Che Mat. Saya tak boleh masak pedas kerana anak saya Nelly tak boleh makan pedas dan dia pulak penggemar hati di rumah kami. Bila melihat saya sedang menyediakan bahan untuk memasak rendang, dia siap pesan mama jangan buat pedas tau. 

Anak anak kami yang suka makan lauk hati ialah Nelly dan Aween. Yang lain, memang langsung tak sentuh kalau tahu ianya hati.  Dua jam lepas makan tengah hari, Aween masuk ke dapur lagi untuk makan. Hmm berbaloi baloi kita memasak jika apa yang dimasak menjadi sedap dan kesukaan famili kita.

Jom layan resepi yang saya telah olah sedikit untuk memudahkan saya membuat rujukan di masa hadapan. 


Rendang Hati Lembu Berempah Yang Sangat Sedap

Rendang Hati Lembu Berempah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan: 
600 gram hati lembu
2 ulas bawang merah - hiris
1 ulas bawang putih - hiris
1 kotak santan kotak
4 sudu besar cili kisar - ikut pedas disukai
1 sudu besar kerisik
1 helai daun kunyit - hiris halus
Kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
1 keping asam keping
1/4 keping gula Melaka
Serbuk Maggi Cukup Rasa
Gula
Garam

Bahan Sangai:
1 sudu besar ketumbar biji
1/2 sudu kecil jintan putih
1/2 sudu kecil jintan manis

Bahan kisar:
4 biji bawang merah - saiz besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
2 hiris lengkuas
1 inci kunyit hidup
3 batang serai
2 biji buah keras - opsyenal

Cara cara:
Hati lembu dihiris sederhana tebal, cuci dan toskan. Jangan dihiris nipis. Gaul dengan 1 sudu besar tepung gandum hingga rata dan perap 10 minit, kemudian cuci kembali hingga bersih dan toskan. 



Panaskan minyak dalam kuali dan tumis kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga serta bawang bawang yang dihiris wangi. 

Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga bawang masak. Masukkan cili kisar. Tumis lagi sehingga cili masak. Masukkan rempah yang disangai dan ditumbuk halus. Kacau rata. 

Masukkan hati dan kacau rata. Kemudian masukkan santan dan air secukupnya. Masak sehingga mendidih dan mulai terbit minyak. 

Masukkan asam keping, gula Melaka, serbuk perasa dan kerisik. Masukkan garam jika perlu. Masak sehingga pekat.  



Akhir sekali, masukkan daun kunyit yang dihiris halus. Dan kacau kacau.  Sesuaikan rasa.


Rendang Hati Lembu Berempah Yang Sangat Sedap

Tutup api dan sedia untuk dihidangkan. Sedap dimakan dengan nasi putih yang panas panas. 


Rendang Hati Lembu Berempah Yang Sangat Sedap

4 comments:

  1. betul Azie..dulu kita dapat merasa makan ayam bila Hari Raya je.bangga bercerita dengan kawan-kawan dapat makan Fried Chicken..masa tu zaman McDota fried Chicken. Beruntung anak-anak kita sekarang kan...hari-hari makan ayam.

    ReplyDelete
  2. kalau guna resepi ni tapi gantikan hati lembu dengan daging boleh tak?

    ReplyDelete
  3. Mohon share lg...terliur..tq

    ReplyDelete

Add your comment
EmoticonEmoticon