Selasa, 30 Januari 2018

Ayam Masak Lemak Cili Api Yang Sangat Sedap dan Wajib Cuba

Ayam Masak Lemak Cili Api Yang Sangat Sedap dan Wajib Cuba

Semasa bersembang dengan Syed rakan sekerja di pejabat, dia bercerita yang semasa dulu dulu, dia suka menemani Bondanya memasak di dapur sambil beliau menghisap rokok. Sehinggalah berkahwin, beliau memasak sendiri dek selalu memerhatikan Bondanya menyediakan masakan. 

Bila dia bercerita cara bondanya memasak masak lemak cili padi ayam menyebabkan saya menelan nelan air liur. Dari penceritaan akan teknik memasak, saya boleh bayangkan keenakannya. 

Saya pulak pantang mendengar cerita resepi dan teknik yang menarik, pasti tidak mahu melepaskan peluang. Saya tanya satu persatu tips hingga jelas. Siap tanya melalui mesej lagi. Ya lah semua orang pandai memasak masak lemak cili api ni tapi tak semua orang tahu teknik untuk menghasilkan masakan yang enak terutama mereka yang bukan berasal dari Nogori. Hahaha seperti saya.

Ayam Masak Lemak Cili Api Yang Sangat Sedap dan Wajib Cuba

Kalau bab masakan, saya tidak pernah jemu untuk belajar hatta untuk masakan simple seperti sambal tumis sekali pun. Sebetulnya memasak resepi yang sama, belum tentu menghasilkan masakan yang sama. Ini yang dikatakan orang orang tua dahulu, sebagai air tangan. Maknanya teknik dan kreativiti.

Tak pernah pernah lagi saya terasa tak sabar untuk balik memasak. Sampai jer di KD, terus ke kedai runcit mencari bahan bahan yang diperlukan. Serius memang sangat sedap masak lemak cara yang diajar oleh Syed kali ini. Terasa sangat keenakannya berbeza dengan memasak masak lemak cara biasa. Hahaha. Wajib cuba tau. 

Menurut Syed lagi, Bonda beliau menggunakan 3 jenis cili iaitu cili padi kampung warna hijau, cili merah Pakistan dan cili kering. Cili kering dikatakan akan menyebabkan lemak cili padi lebih berlemak. Kata Syed lagi, kalau guna ayam tua lagi sedap. Cuma masa ayam direbus dengan santan cair lebih lama sehingga ianya empuk. Macam mana nak tahu ianya telah empuk ialah dengan dicucuk sedikit dengan pisau. Ini petua untuk makluman adik adik yang baru belajar memasak lah. 

Lagi satu, jika ingin memasukkan serai, hanya diketuk ketuk dan dimasukkan seketika sahaja setelah kuah mendidih dan kemudiannya diceduk keluar. Kata beliau, jangan dibiarkan serai berenang renang dalam periuk. 

Jom kita layan resepi yang saya salin di bawah ini. Haa jangan pulak ada yang nak komen, masak lemak cili padi nogori, tak guna bawang. Itu pun saya tahu tapi tekak masing masing kan, kalau nak letak sebiji dua bawang, bukan masak lemak bertukar jadi masak kari. Kalau nak ikut resepi ini, memang masukkan seulas bawang merah. 

Ayam Masak Lemak Cili Api Yang Sangat Sedap dan Wajib Cuba

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Tips dan Rahsianya
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong 16 dengan kulit sekali
1 biji kelapa parut - asing santan pekat dan cair 
Garam
1 keping asam keping
1/2 helai daun kunyit - hiris halus

Bahan tumbuk halus:
5 - 8 tangkai cili api kampung hijau 
5 - 8 tangkai cili merah Pakistan 
2 saiz ibu jari kunyit hidup
1 ulas bawang merah

Cara cara:
Ayam diperap dengan garam dalam 30 minit hingga 1 jam. Tabur sedikit serbuk kunyit bagi tidak menjadikan ayam berwarna pucat. 

Sementara itu, bolehlah menumbuk bahan tumbuk dan sediakan bahan bahan lain. Bahan tumbuk dihiris halus supaya senang menjadi lumat.

Ayam Masak Lemak Cili Api Yang Sangat Sedap dan Wajib Cuba

Masukkan ayam dalam periuk dan nyalakan api perlahan. Kacau sehingga kulit ayam nampak kering sedikit. 

Ayam Masak Lemak Cili Api Yang Sangat Sedap dan Wajib Cuba

Masukkan bahan tumbuk dan kacau rata rata bersama ayam hingga sebati. Kacau rata sehingga bahan tumbuk agak masak. 

Ayam Masak Lemak Cili Api Yang Sangat Sedap dan Wajib Cuba

Masukkan santan cair dan masak sehingga mendidih. Masukkan asam keping.

Sebaik ayam empuk, masukkan daun kunyit yang dihiris halus. 

Kemudian tambah santan pekat. Selepas masuk santan pekat, masak dalam 6-8 minit sahaja. Tutup api dan terus dikacau. 

Ayam Masak Lemak Cili Api Yang Sangat Sedap dan Wajib Cuba

Kemudian buka api perlahan sahaja supaya kuah mendidih kecil supaya tiada buih buih dalam kuah. Sesuaikan rasa. Tambah garam, jika perlu. 

Ayam Masak Lemak Cili Api Yang Sangat Sedap dan Wajib Cuba

Bila nampak kuah pekat dan terbit minyak cantik, bolehlah ditutup api dan sedia dihidangkan. Sedap dihidangkan ketika kuahnya tidak terlalu panas supaya terasa kepedasannya. 



17 ulasan:

  1. Sakam Kak Azie....bahan tumbuk tu boleh blender banyak2 sikit, keringkan airnya dan boleh disimpan dlm peti ais. Boleh simpan lama. bila nak masak, cedok je berapa sudu. Saya selalu bekalkan utk anak dara bila beliau balik kolej dulu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wslm puan. Idea yang bagus. Macam mana puan keringkan. Dengan dimasak seketika atau ada cara lain. Mind to share.

      Padam
  2. selalu blender lada, kunyit, bawang dgn air....masak sekejap dlm periuk hingga airnya kering. lada yg kering dah boleh simpan dlm bekas kecil.ada stok lada dan santan kotak,bila2 boleh masak.

    BalasPadam
  3. Menurut Syed lagi, Bonda beliau menggunakan 3 jenis cili iaitu cili padi kampung warna hijau, cili merah Pakistan dan cili kering. Cili kering dikatakan akan menyebabkan lemak cili padi lebih berlemak.

    Salam Puan. saya tengok dalam resepi Puan tiada cili kering. Harus letak cili kering atau tidak? atau saya yang salah tengok? dimana cili kering nya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itu yang Bonda beliau guna. Saya tulis utk makluman. Jadi kalau ada orang nak ikut, boleh ikut. Saya tak guna cili kering. Yang saya guna spt resepi yg saya tulis

      Padam
  4. Sedapnya.. saya pun tidak guna cili kering bila masak lemak cili padi ni

    BalasPadam
  5. Salam kak azie...nak tanya cili merah pakistan tuh mcm mana ye?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cili merah tapi saiz kecil. Besar sikit dr cili padi

      Padam
  6. Suka tgk blg ka Azie , resepinya ikhlas klu buat in sya Allah menjadi..
    Nak bagi sedikit tip.. Kalau nak pekat sikit biasanya guna 2biji kelapa utk 1ekor ayam.. Itu pesan arwah mak dulu.. Tapi org sekarang tak suka lemak sebb jaga diet...eee

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu. Skrg guna santan kotak mmg tak sama dg kelapa betul. Zaman dulu kelapa kutip bawah pokok dan betul betul tua.

      Padam
  7. sedap kak. simple. tak macam yg biasa saya buat. :D

    BalasPadam
  8. Selalu cuba resepi Pn Azie... Senang & sedappp... Tq😉

    BalasPadam
  9. Tenkiu aunty utk smua resepi yg mnarik. Sy slalu ikot resepi aunty. Mudah. Aunty slalu bcerita pkara2 yg mnarik. Smbil cari resepi smbil dpt ilmu. Sy bru blajar msak. Suami suka sgt wife tahu msak apa yg dia request. Tmbh2 skrg bln puasa. Dh 20hri mmg sy suka msak. Tak pegi ke bazar pon. Smoga aunty dmurah kn rzeki diberi ksihatan yg baik. Dpt kongsi mcm2 lg ilmu utk kmi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aameen. Tahniah juga kr menyediakan hidangan utk suami berbuka puasa.

      Padam
  10. Terima kaseh. InsyaAllah malam ni saya akan cuba.

    BalasPadam
  11. K.azie...resepi ni mmg x guna minyak masak yer....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hmm kenapa nak kena guna minyak masak? Saya tak silap. Masak lemak mmg tak guna minyak masak. Kalau pun nampak berminyak, ianya dari santan yang digunakan.

      Padam

Add your comment
EmoticonEmoticon