30 Nov 2017

Nostalgia Musim Banjir di Kelantan

Nostalgia Musim Banjir di Kelantan

Telah agak lama saya tidak balik kampung pada musim tengkujuh atau dipanggil musim banjir. Kami  balik kali ini  dari 24 hingga 27 November 2017 pun kerana ingin menghadiri majlis perkahwinan anak bongsu kakak saya. 

Sejak kami sampai, hujan turun dengan tak berhenti henti. Cuaca agak gelap gelita dengan jalanraya yang tidak berlampu menjadikan saya terasa sangat stress, lebih lebih lagi bila ada motor yang tidak menyalakan lampu belakang.

Kami menginap di Villa Danialla milik Dato Siti Hamidah, bonda Datin Seri Haflin isteri kepada Dato Seri Nazri Aziz. Hari pertama kami bersarapan di cafe resort. Sewaktu bersarapan, hujan turun dengan lebat tidak berhenti henti dengan angin kuat sehingga menempiaskan air hujan ke dalam cafe. 

Bunyi air hujan mengingatkan masa kecil dulu, inilah waktunya dapur berasap untuk mengeringkan baju yang basah. Inilah ketikanya saya dan arwah Ayah akan berdiri di tepi jendela untuk memanaskan badan dengan api dapur kayu. 

Pemandangan ombak tinggi mengganas juga menggamit rindu dan nostalgia pada zaman remaja saya. Inilah ombak dan lautan yang saya saksikan sejak kecil, bukan lautan dengan ombak tenang seperti di Pantai Port Dickson atau di pantai Pangkor. 

Nostalgia Musim Banjir di Kelantan

Jika dahulu, inilah ketikanya saya bermain air hujan di musim bah. Saya sanggup berhujan untuk mengail ikan puyu di longkang atau paya sekeliling rumah.   
Hidangan ubi gadung kukus, ubi kayu rebus hatta pelbagai jenis ubi akan keluar seperti ubi Badak, ubi Stello, ubi keling dan banyak lagi. Makan pula dengan secawan kopi O. Oooh sungguh nostalgia. 

Dan yang paling tidak dilupakan adalah pesta mengharung air bah. Yang ini memang sumpah, saya tak akan buat lagi kalau sekadar suka suka. Air separas pinggang dengan arus laju dan deras sepanjang mungkin 1/2 kilometer. Memang membahayakan nyawa hatta pada mereka yang boleh berenang sekali pun. Kiri kanan adalah tanah sawah yang dipenuhi air sehingga ke sungai. 

Nostalgia Musim Banjir di Kelantan

Namun itu semua tinggal kenangan. Kebanyakan jalanraya kini telah ditinggikan. Jadi tidak banyak jalan yang dilimpahi air banjir. Lagi pun anak anak sekarang menpunyai banyak hiburan lain seperti TV yang ada di setiap rumah, masing masing juga menpunyai handphone dll. Berbanding masa saya yang ketika itu mencari hiburan dan permainan dengan alam semulajadi seperti paya, sungai, lautan dan hutan rimba. 

Ya Allah terima kasih kerana memberikan warna warni kehidupan buat saya. Pengalaman masa lalu menyebabkan saya tidak pernah lupakan asal usul saya. 

1 ulasan so far

Hidangan ubi gadung kukus, ubi kayu rebus hatta pelbagai jenis ubi akan keluar seperti ubi Badak, ubi Stello, ubi keling dan banyak lagi. Makan pula dengan secawan kopi O <<<<<---------aduh kakkk..yang ni mmg sangat nostalgia. walaupun Sarawak jarang banjir besar cam di belah pantai timur, tp kenangan tu tetap sama,...takkan boleh ulang balik cam dulu2.. makan ikan masin yg masih lembab2 dibakar, lawan plak dengan beras kpg & teh or kopi o mmg sangat heavennnn <3


EmoticonEmoticon