29 Aug 2017

Masak Tempoyak Ikan Kelah





Hari ini saya sempat meluangkan masa menghadiri kuliah zohor Ustaz Aiman Mohd Shafie. Ustaz memulakan dengan menyebut berkenaan Allah akan memuji muji mereka yang hadir majlis ilmu di hadapan Allah. Orang yang hadir majlis ilmu sangat dikenali oleh penduduk langit. Sekiranya kamu mahu menghitung nikmat Allah. Nescaya Kami tak akan mampu menghitung nya. 

Surah Az zumar ayat 42 diceritakan secara ringkas peristiwa yang berulang setiap hari iaitu manusia dibahagi kepada dua kumpulan. Pertama sekumpulan yang mati apabila tiba ajal kematian. Kedua ialah orang yang tidur, belum tiba ajalnya. Ianya mati kecil kerana roh terpisah dari jasad. 

Kedua duanya adalah mati. Terdapat perbezaan iaitu Allah halang roh kumpulan pertama kembali ke dalam jasad mereka. Mereka telah berpindah ke alam baru iaitu alam barzah. Kumpulan kedua, mati sementara dan Allah menghantar kembali roh ke jasad masing masing sehingga tiba ajal untuk setiap seorang. Setiap malam bila kita tidur, kita telah dimatikan dan ketika bangun telah dihidupkan semula. Itu sebab kita kena baca doa sebelum dan selepas bangun dari tidur. 

بِسْمِكَ اللّهُمَّ اَحْيَا وَاَمُوْتُ

BISMIKAL LOOHUMMA AHYAA WA AMUUTU 
Ertinya: Dengan nama-Mu ya Allah aku hidup dan aku mati. 

Dengan membaca doa diatas ketika akan tidur, semoga Allah SWT selalu melindungi dan menjaga tidur kita hingga fajar tiba. Dan doa selepas bangun tidur. 

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ اَحْيَانَا بَعْدَمَآ اَمَاتَنَا وَاِلَيْهِ النُّشُوْرُ

AL HAMDU LILLAAHIL LADZII AHYAANAA BA'DA MAA AMAA TANAA WA ILAIHIN NUSYUUR
Ertinya: Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah kami mati (membangunkan dari tidur) dan hanya kepada-Nya kami dikembalikan

Proses ini berulang setiap hari. Kenapa perlu dihidup dan dimati setiap hari? Dalam surah Al Mulk ayat kedua, Allah yang telah menjadikan kematian dan kehidupan. Untuk Allah uji siapakah antara kamu yang terbaik amalannya. Tidak dikatakan paling banyak amalannya. Yang difokus pada amalan ialah pada kualiti bukan kuantiti. Surah Al Mulk mestilah dibaca setiap malam sebelum kita tidur. Jadikan ini amalan seumur hidup. 

Di Padang Mashyar nanti amalan manusia baik dan buruk akan ditimbang yang mana lebih berat. Amalan sikit tapi beratnya mungkin seperti batu. Sedang ada amalan yang banyak tapi timbangan ringan seperti kapas sahaja. Jadi kualiti amalan sangat penting. 

Dalam ibadah korban surah Al Hajj apabila manusia melakukan korban, tiada ada sedikit daging akan sampai pada Allah. Tiada setitis darah akan sampai pada Allah. Apa yang Allah lihat adalah kualiti taqwa dari kamu setelah melakukan ibadah korban. Ini yang kita perlu sama sama cari sementara nyawa masih di badan. Sementara Allah masih mengembalikan roh ke jasad kita setiap hari. 



Ikan kelah seperti mana yang anda tahu adalah ikan yang berasal dari air sungai di atas gunung atau bukit. Jika kena teknik, ianya boleh ditangkap dengan menggunakan tangan sahaja kerana ikan kelah sangat jinak. 

Jika ada yang ingin bermain dengan ikan kelah, bolehlah kunjungi resort kepunyaan sahabat saya iaitu Lembah Temir Eco Resort di Raub. Resort ini ada keluar dalam TV3 baru baru ini. Ikan Kelah yang dibela tidak akan beranak kerana ia memerlukan persekitaran semulajadi untuk beranak seperti air sungai mengalir dan juga batu batu untuk ikan menghempas/menggesel perutnya. Lebih kurang begitu lah yang telah saya baca. 

Ikan kelah yang ini juga terdapat banyak telur di dalam perut. Hati jadi sebak bila melihat telur ikan kelah ni. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang saya fikirkan ketika itu. Sewaktu saya sedang mengandung anak pertama, saya terbaca satu artikel dalam surat khabar di mana mereka memanggang ikan kelah yang segar selepas di pancing. Tapi masa itu, tak tahu lah pulak ikan ni jenis spesis yang mahal. Kalau ikan kelah liar, boleh mencapai RM1000 seekor. 

Ikan kelah jika digoreng, jangan dibuang sisik kerana ianya sedap akan garing seperti keropok. Tapi saya belumlah lagi mencubanya. Hari ini, saya hanya memasak tempoyak. Hubby sangat suka sehingga dia menghirup hirup kuahnya. Arwah Bonda Mertua selalu juga memasak tempoyak menggunakan ikan sungai. Lagi pulak, ikan kelah tidak berasa hanyir sebaliknya isinya manis seperti mana rasa ikan air tawar. Hahahaha kalau dah ikan sungai, tak kan lah rasa macam ikan laut pulak. Aduhaaai...

Jom layan video dalam Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI untuk video berdurasi lebih panjang. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI. Jom pakat ramai ramai mencuba resepi ini. Jangan lupa like dan share ya...




Masak Tempoyak Ikan Kelah

Bahan bahan:
1 ekor ikan kelah
1 tangkai cili merah
3-4 tangkai cili padi kampung
1 sudu besar tempoyak
Sedikit serbuk kunyit
Sedikit garam
Sedikit gula - sebab guna tempoyak lama
Timun - saya tak letak sebab tak ada stok

Cara cara:
Hiris dan tumbuk cili merah, cili padi dan serbuk kunyit sehingga halus. Masukkan tempoyak dan gaul rata.




Masukkan bahan tumbuk ke dalam periuk dengan air secukupnya. Air boleh ditambah lagi jika agak agak belum cukup. Seeloknya kuah jangan terlalu cair.




Masak sehingga hampir mendidih, baru dimasukkan ikan. Masak sehingga ikan masak. Masukkan garam dan gula secukupnya. Jika diguna tempoyak baru, tak perlu dimasukkan gula kerana masih ada rasa manis. Bolehlah angkat dan sedia untuk dihidangkan.


2 ulasan

Terima kasih Pn Azie...satu lagi ilmu yang saya dapat pagi ini. Pg2 tidak sabar nak baca apa yang puan tulis untuk dijadikan amalan.


EmoticonEmoticon