23 Feb 2017

Nasi Lemak Dan Sambal Tumis Azie Kitchen Yang Sedap



Sambal Tumis Ikan Bilis Azie Kitchen Yang Sedap


Memasak sambal tumis yang sedap tidaklah susah tetapi perlu tahu teknik menyediakan sambal yang betul. Saya belajar memasak dari keluarga, dari kawan kawan dari masa ke semasa. Saya masih ingat tips yang saya pelajari untuk menghasilkan sambal yang berwarna merah cantik dan berkilat dari arwah Kak Ena, ketika saya baru bekerja. Bayangkan telah lebih 30 tahun. Untuk menghasilkan masakan yang sedap memerlukan latihan dan latihan. Tidak cukup sekadar menpunyai pengetahuan semata. Sejak itu, saya memang mengamalkannya. Kemudian saya belajar pula dari sepupu saya cikgu Wan Faizah setelah merasai sambal tumis ikan bilis beliau yang sangat sedap. Lama lama, saya mengubahsuai bahan bahan mengikut citarasa sendiri sehingga akhirnya menjadi sambal yang dimasak secara rutin.



Nasi lemak yang sedap bergantung kepada sambalnya. Sambal yang disediakan hari itu, memang tidak mencukupi kerana masing masing menambah nambah. Nelly yang kebetulan ada di rumah bertanya kalau Sambal Tumis Ikan Bilis yang disediakan Nana hari itu menggunakan resepi Azie Kitchen. Katanya lagi, "Adik hanya suka sambal tumis menggunakan resepi Mama jer". Hahaha seronok mendengar anak anak suka dengan masakan kita kan. Saya jarang meletak belacan kerana anak anak allegik dengan belacan. Tapi lebih sedap jika ditambah belacan.

Menyentuh sedikit mengenai nasi lemak pula. Banyak cara menyediakan nasi lemak semua bergantung kepada citarasa masing masing. Namun saya sentiasa cuba mencari cara cara baru untuk memperbaiki hasil masakan nasi lemak saya. Boleh rujuk entri berkenaan rahsia menyediakan nasi lemak sedap dan tahan lama di SINI


Sambal Tumis Ikan Bilis Azie Kitchen Yang Sedap

Ini saya belajar dari Kak Fatimah. Kak Fatimah selalu menyediakan nasi lemak kalau ada majlis makan makan di surau Ad Dhuha. Kata beliau, orang berniaga tak akan guna santan yang banyak untuk memasak nasi lemak, jadi santan diletak di akhir sekali. Lagi pulak, santan bila dimasak lama akan bertukar menjadi minyak. Kita mahukan nasi yang berlemak bukan nasi berminyak. Selain itu, masukkan halia juga di akhir. Itulah petua yang dikongsi dan memang sangat harum. Malahan setiap kali periuk dibuka, terbau wangi dan harum nasi lemak satu dapur.

Jom layan resepi sambal tumis versi Azie Kitchen. Saya sekarang bila menyediakan sambal tumis, memang ikut angin. Kalau rasa nak letak halia, saya letak. Di kebanyakan masa, saya tak letak terutama bila tiada stok.


Sambal Tumis Ikan Bilis Azie Kitchen Yang Sedap

Sambal Tumis Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis
1 biji bawang besar - hiris
2-3 sudu besar gula pasir
Sedikit gula merah/gula Melaka
Garam
Air asam jawa/asam keping

Bahan kisar:
1/2 mangkuk cili kisar/20 tangkai cili kering - direbus dan ditos
2 biji bawang besar - boleh juga guna bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia - opsyenal
Sebesar ibu jari belacan bakar - opsyenal

Cara cara:
Panaskan minyak yang banyak, tumis bawang besar hiris sehingga naik bau sahaja. Masukkan bahan kisar dan kacau rata. Perlahankan api dan terus dikacau dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak. Ianya memakan masa agak lama. Jika minyak kurang, bolehlah ditambah ketika menumis. Macam mana nak tahu kalau ianya telah garing? Minyak tumisan akan mula berbuih sedikit. Itu tanda dah garing.

Setelah bahan tumisan garing, masukkan sedikit gula terlebih dahulu dan kacau rata. Gula akan menjadikan warna sambal cantik dan berkilat.

Masukkan sedikit air mengikut kepekatan sambal yang disukai. Masukkan air asam jawa/asam keping, garam dan ikan bilis. Nota: warna sambal lebih cantik jika menggunakan asam keping.

Kacau rata sehingga sambal masak dan mesra.

Nota:
Sambal lebih sedap jika disediakan sehari sebelumnya.

Ikan bilis boleh digoreng sehingga layu, jika suka.


Nasi Lemak Sedap Dan Tahan Lama
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan;
Beras - basuh dan tos
1-2 helai daun pandan - carik dan simpul
Sedikit garam
1 - 2 inci halia - hiris kasar
1 cawan santan pekat/1 kotak santan kotak

Cara cara:
Masak nasi dengan air secukupnya, iaitu bergantung kepada jenis beras masing masing. Biasanya paras air dalam kurang 1 inci atau satu paras garisan di jari.

Masukkan garam dan juga daun pandan yang dicarik. Mesti dicarik bagi menambah aroma daun pandan. Masukkan dalam rice cooker dan masak seperti biasa.

Bila mendidih dan air hampir kering, masukkan hirisan halia dan santan pekat tadi. Kacau rata. Sambung masak sehingga nasi masak sepenuhnya. Siap untuk dihidangkan.



33 ulasan

Salam kak azie...macamna cara nk goreng ikan kering nipis untuk bagi rangup..knp sy goreng jd liat dan tak sedap..ada tips ke

suka tengok resipi blog kak azie.terus lapar.

assalamualaikum kak azie. sy nk bertanya, ada beza tak pada rasa masakan kalau kita tumis bawang blend dulu kemudian baru tumis cili kering, berbanding tumis cili+bawang yg dh diblend siap2 sekaligus? tq in advance :)

Wslm. Saya guna kedua dua cara. Sepatutnya tak ada beza. Yg penting cili mesti garing. Minyak akan kelihatan berbuih. Bila cili garing, sambal tak rasa spt cili mentah

Aslm. Nak tny untuk nasi lemak ni pakai satu kotak, nasi berape leng?

wslm Tak kisah sangat kerana satu kotak tu boleh utk 4-6 pot beras pun.

Alhamdulillah..da byk sy belajar resepi dr Azie Kitchen..semuanya sedap2..tima kasih byk2 Azie...😚

Masukkan sikit dulu dan rasa. Atau letak 1 keping asam keping. Kalau dah masam, boleh keluarkan.

salam, kak azie.. saya nak tahu berapa lama ikan bilis sambal tu nak pecah minyak? saya buat tak menjadi pun mcm dlm gambar ni...

Wslm. Masa tumis guna minyak yg minyak. Kita boleh ceduk keluar kemudian. Tumis sehingga cili betul betul garing dns masak. Ia akan kelihatan berbuih. Boleh lah masukkan sedikit gula dulu bagi warna cantik. Kemudian masukkan air dan lainlain. Insya Allah jadi dg sedap dan cantik. Cuba ya

Sis, bagi pendapat sye,minyak yg sis goreng kene banyak dan betul betul panas .kemudian letakkan ikan kering

klu ikut petua mertua sy.. masa goreng tu akan bunyi tip tip maksudnya ikan kering belum masak, goreng dgn api sederhana sampai hilang bunyi mengeletik tu.. insyaallah garing. ikan bilis pun buat cenggitu

salam kak azie..thank you for the great recipe..dah cuba semua tips yg kak azie kongsikan dalam post ni..memang thumbs up la..walaupun buat dlm bulan puasa dan tawakal je bab2 penggunaan garam,asam dan gula tu..memang cantik jadi sambal bila masak dgn minyak yg byk..

Salam Kak Azie. Terima kasih di atas perkongsian resepi ini. Saya dah cuba tadi dan saya rasa ia adalah sambal nasi lemak yg paling sedap pernah saya buat. Cara membuat nasinya pun saya ikut juga dan memang menjadi dan sedap. Terima kasih sangat2. Dan lama mencari resepi nasi lemak yg sedap. Semoga Kak Azie sekeluarga dimurahkan rezeki selalu..

As salam k. Azie saya mmg suka tgok resepi diblog akak, semuanya sedap2..t. kasih atas semua perkongsian resepi n cerita yg menarik.. Semoga hidup akak dirahmati Allah selalu

Kak azie..kku ada resepi nasi udang kongsi la kt sini..tq kak azie..bnyk sy blajar msak kt blog kak azie

Saya telah mendapat tip untuk membuat ikan bilis goreng yang rangup dan tahan lama. Sebelum digoreng, ikan bilis dicuci dan ditoskan. Semasa masih basah dimasukkan kedalam minyak yang sederhana panas. Goreng sampai buih hilang. Semasa menggoreng selalu dikacau agar tidak hangus. Tip ini sudah saya gunakan dan ikan bilis rangup dan saya dapat simpan dalam tupperware sampai sebulan dan masih rangup.

Insya Allah saya akan mencubanya. Terima kasih atas perkongsian tips yang sangat berguna

Selalu nye kak azie tumis cili kering berapa minit jd garing?

as salam. Lama kerana mesti tumis guna api yang kecil sehingga ianya kelihatan berbuih, tanda telah garing. Ini yg penting bila cili garing, sambal sedap dan tahan lama. Memang kena sabar.

Sy dah buat..terima kasih kak..mmg sedap ;-)

K azie! Tq soo much. First time dpt rasa balik sambal nasi lemak mak saya. Hihi. Saya stay dkt jeddah jadinya nasi lemak payah nak dpt. Hari ni teringin sngt.nengok eesipi k azie mcm okay. Jadinya saya try and MasyaAllah benar2 menjadi!! :)

Daun pandan dicarik ? Apa maksud daun pandan dicarik ?

Assalammualaikum, 1 kotak santan sama dgn brpnpot nasi kak azie?

Wslm. Saya tak pernah sukat. Kalau rasa nak lemak, saya masuk sekotak, selebihnya air. Biasanya 5-6 pot beras pun guna sekotak santan juga.

salam kak sya cadang nk beniaga nasi lemak nk tnya beras apa khas utk beniaga n ikan bilis apa?dent sukatannya mcm mana ye

lupa nk letak nama sya mohd iqbal tq kak azie

Salam kak..nampak menarik sambal akak tu. Pernah juga meniaga dulu kumpul duit nak kawin.

Salam kak.Saya dah cuba resipi ini tapi ubahsuai cket.menjadi.alhamdulillah.terima kasih atas resipi yang mudah tapi sedap ini :)

Carik / dikoyakkan


EmoticonEmoticon