19 Dec 2012

Bonda Ku






Setiap saat yang berdetik, setiap jarum jam yang beredar, meninggalkan hari hari semalam. Yang ada hanyalah hari ini dan detik ini. Tiada lagi hari semalam yang telah ditinggalkan. Selari dengan peningkatan usia, saya melihat hari hari mendatang lebih dari melihat dengan mata sebaliknya lebih melihat jauh di dalam hati. Hmmm apa yang saya nak katakan ya, kalau dalam bahasa yang lebih direct? Hmmm beginilah, saya tidak pernah merasa tua walaupun hakikatnya dan fizikalnya menyatakan begitu. Ini adalah kerana dunia adalah penuh dengan permainan dan tipu daya. Ia mampu menipu minda kita seolah menolak peredaran masa. Leka dengan segala permainan dalam dunia kehidupan sehingga tidak menyedari sesuatu yang lebih nyata sedang menunggu...

Kenapa saya berkata begitu? Hmmm sebenarnya hari ini saya gembira kerana dengan izin Allah, bonda saya diberi peluang untuk menjejakkan kaki di rumah saya buat pertama kalinya. Beliau tiba dengan penerbangan MAS malam tadi dengan menggunakan special assistance. Melihat beliau dengan seribu kepayahan untuk bergerak dan melangkah, sangat menginsafkan saya. Kerana sejak yang saya boleh imbau kembali zaman kecil 40 tahun yang lalu, suasana pasti sangat berbeza. Saya hanya mampu mengingati kehidupan lalu saya di kala usia menjejakkan kaki di alam persekolahan sahaja, tidak sebelum sebelumnya. Di kala itu, bonda saya seorang yang rajin bekerja membanting tulang membantu arwah my father bekerja di mana sahaja samada menanam padi, menanam tembakau dan juga bekerja di kilang tembakau. Saya akan dibawa bersama semasa bekerja memilih dan mengasingkan daun daun tembakau di Kilang Tembakau Chin. Bonda seorang yang sangat gigih bekerja dan tak reti duduk di rumah sebagai suri rumah. Memasak dan menyediakan masakan akan disediakan sebaik balik bekerja dengan segala kepenatan selepas bekerja di bawah panas terik mentari.

Teringat masa kecil dulu, saya pernah berlari sejauh 1 km mengejar beca yang dinaiki bonda saya untuk ke pekan Jelawat sambil menangis tanpa beliau sedari. Nasib baik ada beca lain yang sudi menumpangkan saya dan bonda terlihat saya berada diatasnya. Jika tidak, saya pun tak tahu ke mana hendak dituju waktu itu. Setiap ke mana yang bonda ingin pergi, saya hendak mengikutnya sehingga dia terpaksa membuat helah. Keluar rumah dengan memakai baju biasa dan baju lain dicampak melalui jendela bagi mengelakkan saya mengikuti beliau. Bondalah segala galanya dalam hidup anak kampung seperti saya ini.

Tapi itu semuanya hanya kenangan yang tidak mungkin kembali lagi. Melihat wajah bonda yang dimamah usia dan saya sendiri yang mula mula beransur menjejaki usia setengah abad, melihat anak anak yang telah membesar, sangat menginsafkan kerana masa berlalu pantas. Masa tetap beredar dan tak akan kembali lagi. Hari demi hari kita menghampiri masa yang kita akan dijemput Illahi, meninggalkan dunia yang penuh dengan tipu daya dan permainan semata. Apakah saya takut untuk melalui detik itu? Setiap orang pasti melalui detik itu, detik hari hari tua, namun saya berdoa supaya saya menjalani hari hari tua dengan kesihatan yang baik supaya dapat beribadat sehingga ke hembusan nafas terakhir. Mengakhiri hidup ini dengan kalimah syahadah, melalui dugaan dan ujian dengan cekal dan redha. Setiap kali selepas bersolat saya memanjatkan doa yang antara lain supaya Allah memberi keampunan kepada kedua orang tua ku dan mertuaku. Ameen, perkenankan lah.... 

Apa yang ingin saya simpulkan di sini ialah saya melihat sendiri bonda yang dulu muda dan sihat sudah menjadi tua dan mengalami masalah kesihatan, saya yang dulu remaja sekarang menginjak usia setengah abad, anak anak  yang dulu saya lahirkan kini akan bekerja dan akan bertunang seperti  kala saya melaluinya 25 tahun yang lalu.... Satu hari nanti kita akan melalui apa yang kini sedang dilalui. Kita akan mencecah usia tua dan mengecap sisa sisa umur dengan payah dan lelah.....

4 ulasan

Btoi kta2 Azie, sy pn sekian lama bru sdar pgorbanan ibu mcari rezeki..ibu sy brtugas sbg bidan d hospital n pd stu msa semasa ayah sy brtugas d raub dia mgayuh basikal ke hosp bentong, keje shift bygkn keadaan thn 1973 yg wp jaraknya cuma 5km sj tpi dgn sunyinya jln n suasana...bila dh brusia 71thn ni soalan yg sering d tya kpd ank2 ialah cuti sek tak blk raub ke?

Betul tu. tapi nasib baiklah pada masa tu, keadaan selamat. Saya berbasikal seorang diri sejauh 5 km utk ke Bandar Bachok tanpa rasa risau akan keselamatan diri pun.

ye la kak...kadang sy pun tgk mak sy cmtu...dulu kuat je jaga kami adik beradik...skrng makin berusia badannya pun mcm susut skit...tambah2 plak arwah abah kembali ke Rahmatullah setahun yg lepas...lgi la mak tu nmpk mcm kurus....sy pun doakan ibu2 semua pnjang umur...x tau la sy kalau mak x de kat dunia nie...mmg x kan dpt bayangkan...sy berharap sy pergi dulu seblm mak...x snggup rasa kehilangan seorang ibu....

Dear, terasa pantasnya kitaran masa kan? begitulah juga kita tanpa kita rasai dan sedari. haahaha sebab dalam hati sentiasa rasa muda, sentiasa ada taman...


EmoticonEmoticon