
Kebelakangan ini banyak isu panas sedang hangat di negara kita. Antaranya ialah isu pengampunan bersyarat Dato Seri Najib, isu perebutan takhta di Negeri Sembilan, isu tanah orang asli dll. Tak sedikit sebanyak kita yang membacanya ikut juga stress. Termasuk lah saya sendiri.
Bila ingat jer, saya akan cepat cepat berpesan pada diri sendiri agar relax. Bukan kena mengena dengan kita. Siapa pun atau apa pun keputusannya life as usual pada kita. Allah ada dan Allah akan memberikan yang terbaik pada mereka.
Begitu juga kes DS Najib, pengampunan dengan bersyarat iaitu tahanan di rumah sehingga Ogos 2028 dan membayar RM50 juta. Hahaha RM50 juta untuk saya, memang besar. 5 kali mati 5 kali hidup pun tak dapat nak cari jumlah itu. Tapi pada orang lain, mungkin celah gigi jer.
Cuma kita kena ingat yang mana dah buat salah atau yang belum lagi buat, bahawa semua ini adalah hukuman di dunia. Di akhirat, ceritanya berbeza. Lagi lagi kalau kesalahan kita melibatkan hak orang lain. Ianya berbeza dengan kesalahan kita secara individu dengan Allah.
Kita boleh dipuji dan dipuja walaupun dah buat salah, itu semua duniawi. Sifatnya dunia siapa ada kuasa siapa ada duit, semua mudah. Jalan ceritanya berbeza. Itu sebab orang sanggup buat apa sahaja untuk mendapat kuasa dan untuk mendapat wang.
Jadi biarkan lah mereka dengan dunia mereka. Kita tetaplah pada ajaran Allah. Tetap dengan ketaatan pada suruhan dan larangannya. Walaupun kita tak sempurna, usahakan sahaja. Walau dalam kesakitan dan kepayahan, teruskan jua. OK kita masuk pula bab masakan.
Saya kalau memasak sotong akan memasak yang mudah mudah sahaja. Pertama kerana sotong tidak boleh dimasak lama. Nanti akan menjadi liat. Kedua, saya suka rasa dan kemanisan isi sotong tanpa diganggu dengan rasa rempah rempah.
Kalau sotong, memang saya akan goreng garam kunyit, masak kicap atau sambal tumis sahaja. Kalau salah memasak seperti lama, memang tak sedap. Dah jadi macam plastik.
Kalau masak kicap sotong, inilah signature resipi saya. Simple tapi yang penting sedap. Kalau sotong bertelur lagi sedap.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….
Sotong Goreng Kicap Simple & Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
10 ekor sotong
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk kunyit
½ sudu kecil serbuk cukup rasa Knorr
Bahan perasa:
½ sudu kecil pes asam jawa
1-2 sudu besar sos tiram
Kicap masin secukupnya
Garam - jika perlu
Gula secukup rasa
Bahan Lain:
1 biji bawang besar Holland - hiris bulat
3 biji cili merah - hiris serong
2 biji cili hijau - hiris serong
Cara-cara:
Basuh bersih sotong dan tos dulu airnya. Gaul rata sotong bersama sedikit garam, serbuk perasa dan serbuk kunyit.

Panaskan sedikit minyak dan goreng sotong tadi. Jangan tuang sotong supaya air di dalam bekas perapan tidak masuk sekali. Tutup kuali dan biarkan air sotong kering. Kacau sekali sekala supaya sotong tidak hangus.
Bila air sotong sudah kering, masukkan pes asam jawa. Kacau sebati, diikuti gula dan kicap masin secukupnya. Kacau sebati.
Masukkan hirisan lada hijau dan lada merah dan bawang besar. Kacau lagi.
Bila cili dan bawang mula layu, bolehlah tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Ulasan
Catat Ulasan