Selasa, 7 Mei 2019

Masak Lemak Udang Dengan Kacang Panjang


Hari pertama berpuasa, Hubby memberitahu lauk pauk di bazar Ramadhan semuanya nampak tidak menarik. Gerai tak banyak tapi orang ramai. Maknanya banyak makanan yang dah habis walaupun nampak tidak menarik. 


Pada pemerhatian saya, agak sukar untuk mencari lauk pauk sedap di bazar Ramadhan. Kebanyakan peniaga adalah peniaga segera umpama cendawan tumbuh selepas hujan yang hanya berniaga di bulan Ramadhan. Jadi mereka tidak perlu untuk menjaga pelanggan dsb.   

Jadi saya terfikir untuk memasak lauk simple simple buat hidangan berbuka dan juga bersahur. Saya sediakan 3 masakan sekali gus dalam jumlah yang banyak. Separuh disimpan di dalam bekas dan dibekukan. 

Biasanya bulan Ramadhan saya mengurangkan aktiviti di dapur kerana mahu banyak mengaji atau membuat lain lain amal ibadah.  Tapi bila melihat kuih muih yang dibeli sangat tidak sedap, itu yang saya gagahkan diri juga untuk ke dapur. Serius karipap pusing dan cucur badak frozen produk @byaziekitchen berganda lagi sedap. 



Hahaha promote sikit. Siapa nak order, boleh order dengan anakanda saya Hafez di Instagram Bake & Much @bake.n.munch atau WhatsApp di 011-36525011. Beli banyak banyak buat stock sepanjang bulan Ramadhan ini. Boleh digoreng dan dimakan panas panas. Tapi kena buat pre order dan kena sabar sedikit, produk homemade memakan masa untuk menyediakan dalam kuantiti yang banyak. 

Berbalik pada lauk saya hari ini, kejadian masak lemak ini sangat cantik warnanya kerana saya memasukkan sedikit serbuk kunyit, selain dari kunyit hidup. Santan juga menggunakan santan segar. Jadi memang kejadiannya agak perfect. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini di bawah ini. Juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...


Masak Lemak Udang Dengan Kacang Panjang

Bahan bahan:
1/2 kg udang
1 ikat kacang panjang
1 biji tomato
1 batang serai - ketuk
1/2 kg santan + air secukupnya
Garam 
1 tangkai cili merah - hiris
1/2 sudu kecil serbuk kunyit

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
6 tangkai cili api
1 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup

Cara-cara:
Masukkan bahan kisar dan serbuk kunyit ke dalam kuali. Nyalakan api dan biarkan ianya masak seketika.  



Masukkan santan dan serai. Kacau supaya tidak berketul dan tidak pecah minyak.  


Apabila santan panas dan tak perlu mendidih pun, masukkan tomato dan kacang panjang. 


Apabila kacang separuh masak, masukkan udang, cili merah dan garam secukup rasa. Masak sehingga santan mendidih. Tutup api.


Setelah ditutup api, terus dikacau lagi beberapa minit supaya kuah tidak berketul. 


Nota: 
Boleh juga ganti kacang dengan nenas atau timun tua.



Add your comment
EmoticonEmoticon