Khamis, 4 Oktober 2018

Ikan Kerisi Masak Asam Lauk Wanita Dalam Pantang


Sekarang ini musim ramai orang bercakap bab barang kemas sensasi yang bernilai berjuta juta ringgit. Saya dulu setiap hari suka melihat website kerabat diraja Brunei sejak Azrinaz Mazhar Hakim berkahwin dengan Sultan Brunei. Melihat barang kemas isteri, anak anak dan keluarga mereka membuatkan mulut ternganga. Sebiji berlian ada yang mungkin sebesar jari telunjuk saya. 

Namun begitu, saya tiada pula keinginan untuk memilikinya. Bila tiada keinginan, saya sekadar menjamu mata sahaja. Kadang kadang bercakap dalam hati, Insya Allah dalam syurga kita mampu memilikinya. 

Hidup saya simple, sejak dulu, saya tidak berapa gemar memakai barangan kemas terutama emas kuning. Arwah Bonda pernah memegang tangan saya dan memberikan beberapa barangan kemas beliau kepada saya. Pun saya tidak memakainya. Cuma kini saya pakaikan kepada anak saya. 

Saya hanya bercita cita untuk memiliki 4 barangan kemas dari berlian dan emas putih sahaja. Loket, gelang tangan bangles, cincin dan jam. Setakat ini, saya hanya ada yang bersaiz kecil sahaja. Keinginan saya ingin memiliki cincin berlian solitaire 1 carat hanya tercapai selepas 20 tahun bekerja. Saya membelinya dengan duit dari hasil titik peluh sendiri. Itu pun selepas membeli terasa juga bersalah memikir duit sebanyak ini cukup besar untuk mereka yang susah dan memerlukan.

Prinsip saya senang sahaja. Jika mampu, boleh beli. Jika tidak, tak perlu lah. Jangan sampai kita terjebak dengan perkara yang tidak elok semata mata untuk memenuhi nafsu serakah sendiri. Saya takut jika ditanya dari mana kita memperolehinya di akhirat kelak. Sekadar pesanan untuk diri saya sendiri.


Saya menyediakan lauk ini untuk hidangan malam Nana. Walaupun Nana telah habis tempoh berpantang dan telah mula bekerja tapi bila ada kesempatan, saya memasak lauk pauk pantang untuk beliau. Saya memastikan ikan yang dimasak adalah ikan yang boleh dimakan oleh wanita lepas bersalin dan juga bahan bahan masakan yang bagus untuk wanita yang baru lepas menjalani pantang. 

Selain ikan kerisi, ikan gelama juga sedap dimasak lauk ini. Lauk ini sangat mudah tetapi ramuannya bagus untuk wanita dalam pantang seperti bawang besar Holland, halia, bawang putih dan juga air asam jawa. 

Jom layan resepi di bawah ini. Kita yang bukan di dalam pantang pun boleh makan lauk seperti ini. Sedap sangat. Selamat mencuba...



Ikan Kerisi Masak Asam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 ekor ikan kerisi
1 biji bawang besar – dihiris
5 ulas bawang putih - dihiris
1-2 inci halia – dihiris
1 tangkai cili merah dan hijau – dihiris
1 mangkuk air asam

Caranya:
Lumur ikan dengan garam kunyit. Goreng sehingga masak. Angkat dan tos. 


Semua bahan di atas dihiris. Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan halia sehingga sedikit kekuningan, masukkan bawang besar dan cili. Tumis sehingga bawang besar layu. 

Masukkan air asam jawa dan garam. Masak sehingga mendidih. 


Sesuaikan rasa. Tuangkan ke atas ikan yang telah digoreng. 



Add your comment
EmoticonEmoticon