Isnin, 24 September 2018

Hari Keluarga Di Legoland


Kunjungan pertama kami ke Legoland adalah bersempena dengan majlis Hari Keluarga jabatan tempat saya bekerja. Pada mulanya agak berbelah bahagi samada ingin pergi atau tidak. Tetapi bila anak anak memberi persetujuan untuk hadir, barulah saya rasa seronok untuk ke sana. Saya sangat gembira kerana selain Juita dan Aween, pemergian kali ini juga disertai oleh Boy dan Mia. 

Kami bertolak agak lewat iaitu dalam 5.30 petang kerana Aween masih menpunyai kuliah sebelah petang. Kami menginap di Imperia Residence, serviced apartment di Puteri Harbour yang sangat mewah dengan pemandangan luar yang cantik. Bila di sini, kadang kadang terasa seolah berada di Manchester kerana rekabentuk bangunannya. 

Pagi pagi lagi kami ke Legoland di mana majlis hari keluarga diadakan di Medini Mall iaitu depan pintu masuk Legoland. Kami bersarapan dengan sarapan yang disediakan iaitu nasi lemak. 

Majlis Hari Keluarga sangat meriah dengan persembahan antara jabatan jabatan. Saya tidak mengambil bahagian. Di samping hadiah persembahan, banyak juga hadiah cabutan bertuah menarik yang disediakan. Cabutan bertuah untuk mereka yang bertuah. Tahniah kepada semua pemenang dan kepada mereka yang bertuah pada hari itu.  


Selepas habis acara hari keluarga, kami berjalan masuk ke Theme Park. Ada dua park iaitu water park dan theme park. Tapi kami memilih untuk ke theme park sahaja. Sambil berjalan sambil mengambil gambar. 


Saya memberitahu anak anak, kalau kita bercuti di luar negara, kita pasti mahu bergambar, jadi di sini pun kita kena bergambar kerana terdapat banyak replika bangunan menarik yang terdapat di sini.


Kami mencari train station untuk dibawa mengelilingi theme park. Nasib baik ketika kami sampai, belum ramai yang beratur untuk menaiki train. 

Dari train station, kami ke beberapa tempat sekitarnya kerana Juita dan Aween naik beberapa rides. Kami bernasib baik kerana walaupun hari panas tetapi cuaca sedikit berangin menjadikan berjalan jalan di theme park lebih selesa. Kebelakangan ini, saya agak cepat berpeluh dan tidak selesa berada di dalam cuaca panas.

Kami kemudian singgah makan tengahari di King’s Grill. Sedap hidangan di situ. Kami memesan steak, roasted chicken dan juga fried chicken menggunakan kupon yang diberikan kepada staf yang menghadiri hari keluarga. 



Selepas selesai makan tengahari, kami mula berjalan keluar di mana Boy dan Mia datang menjemput sambil mereka membeli makan tengahari di Subway di Medini Mall. Sesampai di bilik, kami semua tertidur kepenatan. Hubby berpesan supaya bangun dan bersiap siap sebelum pukul 4.00 petang.  

Legoland terletak di Kota Islandar yang dulunya dikenali sebagai Gelang Patah. Ianya adalah kawasan Haji Khairi yang merupakan Setiausaha Politik Bekas Menteri Besar Johor. Jadi bila dia mengetahui kami ada di sana, Haji Khairi dan isteri telah menjemput kami untuk melawat kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam beliau. Nantikan entri berkenaan ini di entri akan datang.

Selepas lawatan ke kilang, kami singgah minum di Mana Cafe yang terletak berhadapan dengan Imperia Residence. Sebelum itu, kami bersiar siar di belakang Hotel Jen yang rupanya sangat happening. Pemandangan cantik dengan banyak kapal layar mewah berlabuh di situ. Terasa seolah berada di luar negara kerana ramainya pelancung luar negara di situ. Selepas mengambil gambar kenangan, kami berjalan ke Mana Cafe. 

Hidangan minum petang di Mana Cafe sangat sedap. Kami memilih goreng gorengan seperti pisang goreng, pau goreng dan cucur udang sahaja. Pau goreng nya sangat unik kerana dicicah dengan kuah kari yang sangat sedap sehinggakan saya teringat akan keenakannya hingga kini.   Terima kasih bro Khairi dan Mai kerana sudi meluangkan masa bersama kami sekeluarga di sini.



Add your comment
EmoticonEmoticon