Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Goreng Ikan Bilis Hidangan Di Pagi Hari Raya Aidil Adha

Nasi Goreng Ikan Bilis Hidangan Di Pagi Hari Raya Aidil Adha

Hari ini saya mahu kongsikan resepi nasi goreng ikan bilis buat hidangan di pagi Hari Raya Aidil Adha. Hari raya tahun ini paling sempoi kerana saya tidak langsung merancang menu selain dari menyediakan rendang ayam dan rendang daging yang akan dimakan bersama lemang yang Hubby tempah. 

Ini adalah kerana saya hampir seharian berada di hospital kerana membuat pemeriksaan perubatan dan juga sekali membawa cucu untuk temujanji dengan doktor selepas 2 minggu. Pukul 5 petang baru habis semua urusan di hospital. Hari raya tahun ini adalah tahun pertama beraya dengan cucu.

Sampai di rumah, terus ke dapur untuk memasak rendang dalam keadaan yang tergesa gesa juga. Itu pun nasib baik Juita dan Aween telah sama sama menolong saya di dapur. Tolong mengacau rendang di kuali sementara saya menyediakan lauk sambal tumis udang dan ayam goreng untuk hidangan makan malam. 

Nasi Goreng Ikan Bilis Hidangan Di Pagi Hari Raya Aidil Adha

Bila malam baru teringat, apa yang hendak dihidangkan pada hari raya. Tak kan lah semata mata nak makan lemang dengan rendang. Cepat cepat message Hubby minta beli mee hoon dan bahan bahan untuk menggoreng mee hoon. Tapi malang sekali kerana kedai telah ditutup. Balik dari solat raya, saya terus ke dapur dan terlihat ada satu mangkuk nasi putih. 

Haa cepat cepat saya memasak nasi goreng. Urusan menyediakan nasi goreng sangat cepat dan mudah, bila cili kisar telah tersedia. Kebetulan saya menerima cili kisar dari @kaklong.mymarket. Memang sangat memudahkan kerja bila ada stock cili kisar. Boleh layan Instagram beliau untuk mendapatkan bekalan bahan basah yang sangat segar. Udang berwarna pink yang dihantar pada saya bukan sahaja besar tetapi segar segar. Harganya juga sangat berpatutan.

Jom layan resepi nasi goreng ikan bilis yang sentiasa menjadi nasi goreng kegemaran saya. Saya sentiasa suka makan dengan nasi goreng ini. Pendek kata, tak pernah jemu...


Nasi Goreng Ikan Bilis Hidangan Di Pagi Hari Raya Aidil Adha

Nasi Goreng Ikan Bilis

Bahan bahan:
1 mangkuk nasi putih
3 biji telur
1-2 sudu besar cili kisar
Garam
Sedikit karot

Bahan kisar:
Segenggam ikan bilis
3-4 ulas bawang merah - saiz besar
3 ulas bawang putih

Cara cara:
Panaskan minyak dan tuang telur dan kacau rata. Ceduk keluar telur ke dalam pinggan. Ketepikan. 

Tumis bahan kisar sehingga wangi dan masukkan cili kisar. Tumis sehingga cili kisar masak. Masukkan karot atau apa apa sayuran yang disukai.

Masukkan nasi dan kacau rata. Tuangkan telur goreng tadi dan garam secukupnya. Sedia untuk ditutup api.

Nasi Goreng Ikan Bilis Hidangan Di Pagi Hari Raya Aidil Adha

Jika suka, tabur daun bawang dan bawang goreng serta cili merah sebelum dihidangkan. 


1 ulasan for "Nasi Goreng Ikan Bilis Hidangan Di Pagi Hari Raya Aidil Adha "