Thursday, 14 June 2018

Tart Nenas Yang Sangat Sedap


Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan juga mohon maaf pada semua follower saya andai ada tulisan saya selama ini atau balasan komen saya yang mungkin menyinggung anda semua. 

Saya tidak sempurna. Ada kala saya juga mungkin teremosi terutama bila ada yang meninggalkan komen yang begitu sarkastik. Maafkan lah saya atas segala salah silap saya samada yang sengaja atau yang tidak disengajakan. Semoga amalan kita di bulan Ramadhan ini diterima Allah dan kita mendapat keampunanNya. Semoga kita lulus dengan cemerlang di universiti Ramadhan kali ini. 


Saya sebenarnya sangat sedih hari ini. Sebak mengenangkan tahun lepas, ketika ini saya sedang beribadah di Masjidil Haram. Ketika solat terawih, saya sebak dan pilu bila Ustaz Ahmad Muaz sebelum mengimankan solat terawih menyebutkan semoga Ramadhan ini bukan yang terakhir untuk kita. 

Entri ini adalah entri terakhir sebelum menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada 15 Jun 2018. Selepas itu, saya akan bercuti raya selama beberapa hari. Mengikut perancangan, kami akan beraya di Perak dan Pulau Pinang sebelum balik ke Kelantan untuk majlis di rumah kakak saya. 

Berkisah mengenai resepi hari ini, saya memang teringin nak makan tart nenas yang sedap. Memang susah untuk mendapatkan tart yang kena dengan selera saya. Kulit tart yang sangat lembut mencair di dalam mulut dan inti nenas yang harum dan sangat sedap. 

Kebanyakan tart nenas yang dijual menggunakan inti ready made yang dijual di kedai kedai bakeri. Jadi Juita dengan ikhlas nya sudi melayan saya dengan menyediakan tart nenas untuk saya. 

Saya masih menggunakan resepi sama yang pernah saya buat sebelum ini. Ianya yang sangat sedap dan menepati citarasa saya. Boleh klik di SINI untuk entri sebelum ini. 

Jom layan resepi menyediakan tart nenas dan inti tart nenas yang saya tuliskan sekali lagi di bawah ini. Video penyediaannya pun ada saya kongsikan di youtube Azie Kitchen channel di SINI dan inti tart di SINI


Biskut Tart Nenas Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
250 gm mentega
300 gm tepung gandum
50 gm gula kaster
40 gm tepung jagung
1 sudu kecil esen vanilla
Sedikit kuning telur + sedikit air + pewarna kuning - sapuan

Cara cara:
Satukan semua bahan dan uli dengan menggunakan tangan sahaja.

Masukkan dalam acuan dan picit. Letakkan inti dan gulung.


Sapukan sedikit kuning telur. Susun dalam loyang dan bakar pada suhu 170C selama 25 minit.


Sekarang kita masuk pula bab penyediaan Inti Tart Nenas. Resepi ini saya pelajari dari bekas rakan sekerja, Haji Hasbullah hampir 30 tahun lalu. Saya salin dan tulis di dalam buku masakan saya. Resepi inilah yang saya guna setiap kali menyediakan kuih tart permata dari dulu sehingga saya bersara dari menyediakan kuih muih raya. Boleh klik di SINI.

Inti Tart Nenas
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 biji nenas - 1 Ib isi nenas parut 
1/2 Ib gula pasir
Bunga cengkih dan kayu manis
2 helai daun pandan
Sedikit pewarna kuning - opsyenal

Cara cara:
Nenas diparut atau boleh juga jika nenas dihancur menggunakan food processer atau blender. 

Kemudian ditoskan air nenas. Jangan dibuang air jus nenas. Timbangkan isi nenas untuk mengetahui sukatan beratnya.

Masukkan semula isi nenas, jus nenas, gula, daun pandan serta bunga cengkih dan kayu manis ke dalam kuali.


Masak di atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga ianya tak melekat di daun pandan dan berkilat. Jangan terlalu kering.


Sejukkan dan siap untuk digunakan.

2 comments:

  1. Salam Aidilfitri buat Kak Azie and sekeluarga. Maaf, zahir dan batin.

    ReplyDelete
  2. Salam Aidilfitri untuk Azie sekeluarga. Baru hari ni sempat baca blog Azie.

    ReplyDelete

Add your comment
EmoticonEmoticon