Thursday, 28 June 2018

Ayam Masak Merah Sedap dan Mudah

Ayam Masak Merah Sedap dan Mudah Azie Kitchen

Sekarang ini rumah saya hampir cukup quorum kecuali  Boy  sahaja yang tinggal di rumah mertua di Shah Alam. Juita pun ada di rumah kerana sedang menghabiskan summer holiday sehingga September. Nelly sekarang telah bertukar ke pejabat di Petaling Jaya. Lebih dari dua tahun, dia bertugas di Cawangan Ipoh. Saya gembira kerana akhirnya dia kembali ke pangkuan kami. Maklum bila jauh, hati sangat risau.

Ketika saya memasak ikan sambal berlado, Nelly masuk ke dapur dan bertanya apa yang saya sedang masak. Bila diberitahu ikan, dia menjawab tak nak makan kalau tak ada lauk ayam. Begitu juga dengan Aween bila diberitahu saya sedang menyediakan lauk ikan, terus ditanya tak ada ayam ke. Hmm rasa pulak terkilan tak beli ayam.  Sebabnya saya tak beli ayam kerana tekak saya yang rasa nak makan ikan selar goreng berlado.

Jadi saya rasa kesian pulak bila melihat mereka menanyakan lauk ayam. Jadi balik dari pejabat keesokannya saya terus singgah membeli ayam. Hajat hati mahu memasak Ayam Masak Merah. Saya hanya beli setengah ekor sahaja.  

Ayam Masak Merah Sedap dan Mudah Azie Kitchen

Sampai jer di rumah, saya terus ke dapur. Seperti biasa, saya memasak dengan masih berpakaian pejabat. Tak sempat nak menyalin pakaian kerana memang nak kena memasak dengan cepat. Selain menyediakan ayam masak merah, saya juga sediakan udang masak lemak cili padi dengan kacang buncis dan telur dadar. 

Walaupun masak campak campak ikut gerak hati tapi rasanya sangat sangat sedap. Saya memasak memang dalam keadaan tergesa gesa. Pertama kerana saya mengejar cahaya semulajadi untuk snap gambar. Kedua kerana saya tergesa gesa, selepas makan mahu terus naik bilik untuk tidak lewat menunaikan solat Maghrib. 

Sebetulnya gambar yang saya ambil ini tidak justify pada rupa sebenar Ayam Masak Merah saya yang memang cantik. Maklumlah matahari dah terbenam. Tidak cukup cahaya. Ianya berwarna merah cantik sekali. Bukan sahaja kejadian yang cantik tapi rasanya memang wallaaa sedap giler. Hihihi masuk lift, tekan dan naik sendiri. Tak caya? haa cubalah gerenti sedapnyer...

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Saya gunakan sedikit gula kerana dalam sos cili telah ada rasa manis. Bila kita menggunakan sos cili dan sos tomato, sambal akan menjadi cantik berkilat. Jom layan. 

Ayam Masak Merah Sedap dan Mudah Azie Kitchen

Ayam Masak Merah Sedap dan Mudah

Bahan bahan:
1/2 ekor ayam - potong 6
3 sudu besar cili kisar - ikut suka pedas
1 sudu kecil garam
1 sudu besar gula
2 sudu besar sos cili Maggi atau secukup
2 sudu besar sos cili tomato atau secukupnya
1/2 biji bawang besar Holland - hiris
Daun sup/daun bawang - tabur

Bahan kisar:
1 1/2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih

Cara cara:
Ayam dilumur dengan garam dan serbuk kunyit. Kemudian digoreng hingga masak. Jangan terlalu garing. Angkat dan ketepikan. 

Dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih yang dikisar hingga masak. 

Masukkan cili kisar dan tumis lagi dengan api perlahan sehingga cili masak. Masukkan gula dan garam. Kacau rata. 

Masukkan sos tomato dan sos cili. Kacau rata. Masukkan sedikit air. Kacau lagi. 

Akhir sekali masukkan bawang besar yang dihiris. Kacau sehingga bawang separuh layu, masukkan ayam goreng. 

Kacau sebati sehingga bawang besar layu. Sesuaikan rasa. Bolehlah angkat dan dihidangkan. Jika ada, boleh tabur daun sup atau daun bawang.

Ayam Masak Merah Sedap dan Mudah Azie Kitchen

Nota:
Cara saya untuk sambal berwarna cantik adalah dengan memasuk gula terlebih dahulu selepas cili garing. 

Jika suka, boleh juga ditumis sekali kulit kayu manis dan bunga lawang. Saya tak letak sebab mahu cepat.

Jika mahu sedikit lemak, boleh masukkan sedikit susu cair. Saya tak letak kerana suka sambal yang berwarna merah cantik.


Add your comment
EmoticonEmoticon