Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Mee Hoon Goreng Sedap dan Mudah

Mee Hoon Goreng Sedap dan Mudah

Pagi pagi lagi saya ke laman untuk trim pokok pokok terutama pokok pandan yang dah merimbun. Risau pulak kalau ada yang singgah menghuni di bawahnya. Lagi pulak, saya mahu keluarkan sedikit peluh kerana hari Isnin depan, saya akan kembali ke pejabat selepas bercuti sakit lebih 2 minggu. 

Sejujurnya saya masih belum betul betul sihat, bila berjalan atau berdiri lama, badan saya akan menggigil seperti kepenatan yang teramat sangat. Ketika baru baru bercuti sakit, saya risau memikirkan kerja kerja di pejabat. Beberapa kali juga saya bersiap untuk pergi kerja walaupun sedang bercuti sakit tapi terpaksa naik semula ke bilik kerana badan yang lemah. 

Tapi kini saya lebih risau bila memikirkan kesihatan saya yang belum pulih. Kata Nana, kalau jangkitan bakteria memakan masa berbanding dengan jangkitan virus. Lepas bertaman, saya lepak depan TV sehingga terlena juga seketika.

Mee Hoon Goreng Sedap dan Mudah
Bila terjaga, tiba tiba pulak terasa lapar dan teringin nak makan selain dari nasi. Kebelakangan ini memang tak lalu makan nasi. Jadi saya menyenaraikan bahan bahan untuk dibeli. Bila melihat Hubby pulak asyik menonton sukan Komenwel, rasa kesian pulak untuk dia ke kedai sekadar nak beli sotong dan sawi. 

Teringat pulak, saya baru sahaja beli daging segar dari kejiranan Seksyen 8. Kebiasaannya bila dia hendak sembelih lembu, dia akan bertanya jika saya inginkan daging atau mana mana bahagian. Saya memesan daging di bahagian paha yang terdapat urat halus antara daging. Bahagian ini sedap jika dimasak singgang, sup atau dimasak kari. Tidak ada kolesterol juga. 

Jadi saya gantikan sotong dengan daging sahaja. Kiranya daging sangat segar yang saya gunakan untuk mee hoon hari ini. Seperti biasa, saya rebus dahulu daging sehingga empuk. Air rebusannya saya gunakan untuk dimasukkan ke dalam bahan tumisan supaya terasa manis air daging. 

Mee hoon saya hari ini adalah mee hoon ringkas ringkas sahaja menggunakan bahan yang tersedia di rumah dan dalam peti ais. Hubby memang dah bersiap untuk ke kedai runcit, saya yang tak mahu kerana cuma sawi dan kubis sahaja yang tak ada. Ketiadaannya tidak menjejaskan rasa mee hoon pun. Cuma tiada sayur yang berkhasiat jer. Tapi saya masih ada karot. Boleh klik entri sebelum ini di SINI

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Jangan lupa subscribe Azie Kitchen youtube channel di SINI untuk video penyediaan mee hoon goreng sedap hari ini... 

Mee Hoon Goreng Sedap dan Mudah

Mee Hoon Goreng Sedap

Bahan Bahan: 
1 bungkus 400 gm mee hoon - direndam hingga lembut & tos
1 biji bawang besar - dihiris
1 mangkuk sotong atau udang atau daging 
1 mangkuk karot - hiris memanjang
1 mangkuk kubis/sawi - tk letak
Garam secukupnya
Minyak masak 

Bahan Sos:
3 sudu besar cili kisar - saya guna 1 sudu besar cili kering goreng
3 sudu besar sos tiram
3 sudu besar kicap lemak manis Jalen

Bahan Kisar: 
3 ulas bawang merah 
3 ulas bawang putih 
1/2 genggam ikan bilis - direndam 

Bahan Hiasan:
Bawang goreng
Daun sup
Cili merah

Cara cara:
Daging dipotong kecil dan direbus sehingga empuk. 

Mee Hoon Goreng Sedap dan Mudah

Panaskan minyak dan tumis hirisan bawang besar sehingga naik bau. Inilah yang akan menjadikan sambal mee hoon goreng kita menjadi lebih sedap. Begitu juga jika membuat sambal nasi lemak, tumis bawang besar hiris dulu. 

Mee Hoon Goreng Sedap dan Mudah

Masukkan bahan kisar dan kacau rata sehingga naik bau. Masukkan pula cili kisar (saya guna cili kering goreng) dan kacau rata. Kecilkan api dan masak sehingga cili benar benar masak dan garing. 

Setelah cili garing, masukkan sedikit air (saya guna air rebusan daging), sos tiram, kicap dan garam secukupnya. Masak sehingga sambal terbit minyak. 

Setelah terbit minyak, masukkan karot dan sedikit air lagi untuk melembutkan karot. Agak agak karot lembut, bolehlah dimasukkan daging yang telah direbus. 

Kemudian masukkan mee hoon. Kacau rata sehingga mee hoon lembut. Jika mee hoon belum cukup lembut, masukkan air sedikit demi sedikit. 

Akhir sekali, masukkan pula sayur kubis, jika menggunakan sayur kubis. Setelah sayur lembut, bolehlah tutup api. Tabur dengan bahan hiasan sebelum dihidangkan.

2 ulasan for "Mee Hoon Goreng Sedap dan Mudah "

  1. Terima kasih kak bagi resepi ni. Sedap. Selalu saya tak suka bihun warna gelap dan ikan bilis yg x digoreng. Tapi saya ikut cara kak dan memang menjadi. Cuma rugi sebab daging saya tak rebus dulu. Agak liat di situ..nasib bihun menjadi. Kurang rasa kecewa.

    BalasPadam