Menikmati Jakarta Di Waktu Malam





Saya menyambung lagi catatan perjalanan ke Jakarta. Masih lagi pada hari ketiga. Klik catatan sebelum ini di SINI. Sesampai di hotel, kami terus ke Plaza Indonesia kerana saya ingin membuat lulur dan urutan di Martha Tilaar. Harga tidak mahal. Untuk kedua duanya dalam Rp550,000 sahaja. Selesai urut, saya ke bilik air, ternampak gambar model yang sangat cantik terpampang di dinding mall. Saya bertanya dengan staf Martha Tilaar yang menemani saya ke bilik air, siapakah model itu. Lalu diberitahu yang dia adalah Manohara. Ooh patutlah nampak wajah yang sangat familiar. Kerana berkenan dengan warna lipstik yang light pink dipakai Manohara dalam iklan tersebut, saya membeli sebatang lipstik berwarna sama jenama PAC yang merupakan brand yang digunakan oleh para make up artis di sana. Harga dalam Rp148,000.00. Entah kenapa kebelakangan ini, saya malas nak memakai make up, hatta lipstik pun. Tapi kena paksa diri untuk mencalit sedikit lipstik supaya tidak kelihatan terlalu pucat muka.

Selepas selesai, kami bertemu dengan anak anak yang keluar shopping secara berasingan dari kami. Mereka keluar bershopping di butik Zara di Plaza Indonesia. Dari situ, kami berjalan kaki ke Grand Indonesia Mall pula untuk makan malam di Restoran Fat Burger. Restoran yang pernah saya dan Nelly kunjungi semasa kunjungan pertama saya ke sini. Sebelum itu, kami sempat juga singgah di Butik Dior untuk melihat sendiri saiz handbag Diorrama. Hajat hati ingin mencari handbag baru untuk di pakai dalam majlis perkahwinan anak kami nanti. Melihatkan harganya yang sangat mahal, iaitu bersamaan dengan RM19,000.00, saya tak pasti kalau ianya berbaloi. Sekadar membeli kerana brand sahaja. Hmm masih memerlukan masa untuk memikirkannya... Keutamaan saya kini lebih kepada keperluan dan pelajaran anak anak.





Sebaik memesan makanan, saya langsung tak menjamahnya kerana terasa sangat penat. Mungkin selepas diurut. Selepas beredar dari situ, singgah pula di Butik Zara Grand Indonesia pula menemani anak anak sambung shopping. Kemudian, kami singgah di kedai kasut Aldo untuk mencari selipar basahan saya. Di situ, kebetulan terserempak dengan Datin Nursinah yang juga datang makan malam di Grand Indonesia Mall. 

Kami balik berjalan kaki secara beramai ramai ke hotel. Sangat dekat kedudukan hotel kami dengan kedua dua plaza ini. Sepanjang perjalanan, saya memerhatikan bahawa jurang antara penduduk Indonesia sangat besar. Di dalam Grand Indonesia Mall, kita boleh lihat ramai orang kaya yang sangat cantik dan bergaya. Dari cara mereka berpakaian kita boleh meneka bahawa mereka adalah golongan yang kaya raya. Malahan saya juga terserempak dengan tuan punya Kedai Fancy di Pasar Mayestik. Sempat juga bersembang seketika dengan dia. Katanya, beliau ke Zara menemani isterinya bershopping. Dia bertanya dengan Nelly, kenapa saya tidak ke sana hari ini. Itu cerita di dalam gedung mewah. 








Sepanjang perjalanan balik ke hotel, kami menyusuri jalan yang sangat sibuk sambil sambil berhenti berposing dengan suasana malam di Jakarta. Walaupun jalan raya sibuk tetapi tidak susah untuk menyeberangi jalan kerana mereka sangat memberi keutamaan pada pejalan kaki. Sesuatu yang susah untuk ditemui di Malaysia rasanya. Tidak kedengaran pula bunyi hon di sana sini. Sepanjang perjalanan kelihatan mereka yang berjualan. Dari sini dapat dilihat perbezaan taraf hidup mereka dengan mereka yang dilihat di mall sebelum ini. Tapi ialah, di mana mana pasti ada orang yang kaya dan ada pula orang yang miskin. Tiada yang pelik dengan perkara ini. Sudah lumrah alam. Tapi pemandangan yang begitu ketara ini tidak kelihatan di Kuala Lumpur. Kalau pun ada gerai jualan kecil, ianya berada di satu kawasan yang sama seperti di Kg Baru atau Chow Kit, bukan berada di depan gedung membeli belah gah dan mewah seperti Pavilion atau KLCC.

Sesampai di bilik, Hubby dan anak anak mula mengemas barang barang yang dibeli. Memang parah kerana bag kami tidak dapat memuatkan barang barang yang dibeli. Selepas solat, saya hanya berehat sementara dapat melelapkan mata. Walau macam mana mengantuk, surah Al Mulk mesti dibaca sebelum tidur. Setakat ini dulu, sehingga berjumpa lagi di catatan akhir perjalanan kami ke Jakarta.



Menikmati Jakarta Di Waktu Malam Menikmati Jakarta Di Waktu Malam Reviewed by Azie on August 16, 2017 Rating: 5

No comments