Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Pajeri Nenas Stail Perak Yang Sangat Sedap





Pajeri Nenas Stail Perak Yang Sangat Sedap



Sebelum mula menulis bab resepi Pajeri Nenas Perak, saya nak tulis dulu bab resepi Rendang Daging Perak saya yang dah jadi viral di fb. Resepi yang saya pelajari dari kakak ipar saya dari Perak di SINI dan di SINI. Bila Rosehayatie, kawan Instagram saya memberitahu ada group page dalam fb yang telah viral resepi saya tapi dicampur aduk dengan video kepunyaan beliau dan juga gambar orang lain, saya hanya tersenyum. Sejujurnya saya gembira sahaja jika resepi saya dikongsikan oleh lebih ramai orang. Memang itu pun niat saya supaya apa yang saya kongsikan dicuba oleh ramai orang. 

Tapi saya tergerak hati untuk masuk ke page group tersebut dan wow ramainya yang mengutuk dan mengeji saya. Aduhaai saya yakin 100% mereka semua adalah orang Melayu beragama Islam. Kemarahan mereka adalah kerana video yang dipaparkan tidak sama dengan resepi yang ditulis. Kedua kerana penggunaan nama Rendang Daging Perak yang kononnya tak sama dengan resepi nenek moyang mereka. Saya tidak marah tapi saya kesian kerana fb adalah platform untuk kaum muslimin (bukan mukminin) untuk membuat fitnah dan menabur dosa di akhir zaman. Mereka menggunakan jari jemari untuk mengutuk tanpa memikirkan apa yang ditulis akan kekal di situ umpama memahat dosa di batu. 



Pajeri Nenas Stail Perak Yang Sangat Sedap

Bagi yang cerdik, mereka tahu dengan tak payah saya menjelaskan apa apa. Mereka nampak dan mereka fikir sebelum menulis. Tapi bagi yang lain lain, cuba fikirkan. Adakah salah saya jika video tidak sama dengan resepi jika saya sendiri tidak tahu menahu berkenaan page fb berkenaan. Ketika itu, mungkin saya sedang mengerjakan umrah. Kedua, bab penggunaan nama Rendang Daging Perak. Salahkah dengan nama itu? Saya tidak tulis pun yang ianya resepi asli rendang Perak dsb. 

Malahan dalam blog saya ada resepi rendang pedas dan resepi Rendang Tok yang saya belajar dari mertua saya yang berasal dari Perak. Ada yang menulis kongsi resepi, biarlah ikhlas. Aduhai mereka ni... apa apa pun saya memang kesiankan mereka. Kalau tak suka, tak perlu lah baca atau tak perlulah ikut. Saya orang Kelantan. Saya tahu di Kelantan dulu tak ada Rendang Kelantan. Tapi bila ada yang menamakan resepi mereka Rendang Kelantan, saya tak ada lah pulak nak melalak dan marah marah. Sesiapa pun berhak untuk memberi nama pada resepi mereka. Hidup mesti dinamik barulah ada kemajuan. Kerana itu, perlu sentiasa melakukan perubahan dan innovasi. Barulah ada perubahan. 

Begitu juga bab resepi, tak salah meletak kicap dalam rendang atau nak meletak apa sekali pun. Tak salah nak namakan apa sekali pun, asal nama yang baik baik. Bukan nama sumpah seranah. Peace no war ya. Semoga mereka yang suka berfikiran negatif pada orang lain, diberikan petunjuk dan jalan yang benar. Lepas ini, saya nak kongsikan Pajeri Nenas stail Perak. Kalau tak sama dengan cara nenek moyang di Perak, jangan kecam saya pulak. Beritahu elok elok supaya saya tukarkan jadi nama Pajeri Nenas Azie Kitchen. Habis cerita. 


Pajeri Nenas Stail Perak Yang Sangat Sedap


Setelah terpandang Instagram Puan Sri Raja Noorashikin sedang memasak Pajeri Nenas stail Perak, hati dah tak sabar juga untuk menyediakan Pajeri Nenas. Cuma setelah diteliti, saya pun tak pasti apa perbezaan Pajeri Nenas Perak berbanding dengan Pajeri Nenas yang biasa saya masak sebelum ini. Sebelum ini pun, saya ada juga meletakkan udang kering, kadang kadang saya letak juga udang hidup. Tapi apa pun, saya anggap ini Pajeri Nenas Perak lah walaupun saya tak letak halba seperti mana Puan Sri Raja Noora. 

Tapi entah di mana silapnya, lama direnih atas dapur tapi tak juga terbit minyak. Begitu juga dengan kelapa parut yang telah digoreng sebelumnya untuk dijadikan kerisik. Tumbuk bagai nak tercabut lengan, tak juga mahu pecah minyak. Walhal, sebelum ni cantik jer keluar minyak kerisik. Aduyai, kecewa lah sedikit kerana kejadiannya kurang cantik dan menarik. Namun begitu, berbaloi baloi kerana sangat sedap dan saya makan menambah nambah dengan meratah begitu sahaja. Yang paling penting, ianya semakin sedap selepas beberapa hari disimpan. Saya simpan dalam bekas tupperware di dalam freezer. Tiga hari berturut turut saya makan sewaktu berbuka puasa. Memang sangat sedap, secukup rasa kemanisannya. 

Jom layan video yang telah saya kongsikan dalam Instagram Azie Kitchen untuk video penyediaan dan juga youtube Azie Kitchen channel di SINI dan untuk video Pajeri Nenas di SINI. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI. Tapi kalau untuk detail resepi dan cara cara penyediaanya, saya hanya kongsikan di blog sahaja. Video hanya untuk memberi sedikit idea cara saya menyediakannya. Memang penat bila membuat video. Dua kali juga iphone baru saya jatuh dalam kuali yang sedang di atas dapur. Adohaiii. Haru biru dibuatnya. Apa apa pun, jom layaannn...




Pajeri Nenas Stail Perak Yang Sangat Sedap

Pajeri Nenas Stail Perak

Bahan bahan:
1 biji nenas - pilih yang hijau kekuningan
2 sudu besar ikan bilis atau udang kering - rendam dan tumbuk
1 paket kecil serbuk kari daging - 3 1/2 sudu besar
1 paket kecil kerisik - atau buat sendiri
1 sudu besar cili kisar
1 kotak santan kotak
Air secukupnya
Rempah 3 sekawan - kulit kayu manis, cengkih, buah pelaga dan bunga lawang
Minyak masak secukupnya
1 sudu besar minyak sapi - opsyenal
Garam
Gula Melaka
Gula secukup rasa

Bahan Tumbuk:
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Nenas dibuang kulit,  dibersihkan dan dipotong-potong. Nenas direbus dengan sedikit air dan 2 sudu besar gula dalam 5 minit atau sehingga nenas sedikit lembut. Angkat dan ketepikan. 




Panaskan minyak dan sedikit minyak sapi. Tumis rempah 3 sekawan dan bahan tumbuk sehingga wangi dan kekuningan. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga cili agak masak. 

Masukkan pula rempah kari serbuk dan kacau dengan cepat sehingga wangi sebelum dituang sedikit air. Tumis hingga pecah minyak. 




Setelah pecah minyak, masukkan udang kering. Tumis lagi sebelum dimasukkan nenas dan air rebusan nenas sekali. Setelah mendidih, baru dimasukkan santan. 

Akhir sekali, masukkan kerisik, garam, gula Melaka dan gula secukupnya. Bila kuah pekat dan terbit minyak, bolehlah diangkat. 

Nota:
Kuah mestilah sedikit pekat dan menpunyai rasa manis. 




Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

12 ulasan for "Pajeri Nenas Stail Perak Yang Sangat Sedap"

  1. Sabar je la kak..dh namanye manusia..rambut sama hitam tp hati lain2..lg ramai org kutuk kita lg byk pahala yg kita dpt..

    BalasPadam
  2. Pajeri nenas adalah menu kegemaran sy..dlm sebulan mesti 2-3 kali masak menu sama.

    BalasPadam
  3. Salam kak Azie, resipi akak banyak bantu saya. selalu saya rekemen pada rakan-rakan. maafkanlah merek ayng tak mengetahui ya kak. semoga akak terus kongsikan resipi-resipi di sini. t.kasih

    BalasPadam
  4. Citer Kak Azie ni buat saya teringat tentang peminat yang kutuk Ogy semasa beliau mempromosikan sambal Saadiahnya. Saya terfikir macamana orang sesama Islam boleh sedap-sedap rasa je memberi komen yang berbentuk penghinaan macam tu. Kejam betul rasanya. Kita tak boleh buat apa dengan orang cetek akal macam ni Kak Azie. Kebanyakkan mereka pula dah memang keyboard warrior, kalau ditegur boleh jadi gaduh dan berpanjangan. Jadi kita redha je la orang nak kutuk apapun. Lagipun kalau orang kutuk dan mengumpat kita, kita yang dapat pahalanya...untunglah kan?

    Btw pajeri nanas memang favorite saya. Terima kasih untuk resepinya.

    BalasPadam
  5. Betul tu Puan...x perlu la kan nak marah2 pasal resepi yang tak sama seperti yg mereka buat...terpulang pada individu samada mahu ikut ataupun tidak.. dah namanye pun resepi...mungkin ada yang telah diolah mengikut citarasa masing2...x perlu nak melenting hanya kerana penggunaan nama resepi tersebut..btw suka baca blog Puan...

    BalasPadam
  6. Assalam Pn Azie..dah lama follow blog n fb pn.saya tak penah belajar masak dgn sesiapa trmasuk ibu sendiri.skarang saya menetap di australia.saat teringin makan makanan melayu hanya blog pn lah yg menjadi rujukan.tak pernah tak jadi semua resepi yg pn share kan walaupun pertama kali saya cuba.tak kisah lah apa org lain komen atau kecam.dorang hanya pandai brcakap.kalau cuba sendiri n betul2 ikut resepi yg pn share msti takde dah dorang nk komen negatif sbb mmg semua menjadi,sedap n paling best mudah je nk buat.harap pn jgn berhenti berkongsi resepi2 pn ye 😊
    -cik mars-

    BalasPadam
  7. ...berani mengata dan mengutuk sbb menaip text sorang2 terceruk dlm bilik entah di peruk mana.walaa!! hero segala2nya..cuba cakap depan2, ada berani ? malu dan kecewa sikap org2 melayu islam yg menulis ikut suka hati macam tak ada tata susila dan ilmu. sabar jer kak azie...adat manusia tak ber'ilmu' di alam maya

    BalasPadam
  8. Pajeri nenas memang sedap pun walaupun dah simpan berhari2 mmg fav saya...

    BalasPadam
  9. Dunia akhir zaman.. Abaikan org² yg suka mengutuk org lain.. Yg penting blog Pn. Azie bnyak memberi manfaat kpd org yg memerlukan.. Memanjangkn resepi pun dpt pahala.. Selagi org mempratikkn resepi Pn.Azie, selagi tu Pn.Azie dpt pahala.. Dorang yg suka mengutuk tu dpt dosa kering je.. Lagi pn pd pendapat saya, kita boleh olah resepi ikut kehendak kita.. Itulah yg membezakn antara resepi kita dgn resepi org lain.. Tk gitu?

    BalasPadam
  10. nenas kena buang pulur ke tak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ikut suka masing masing. Saya tk buang kerana ia tak adalah pecah.

      Padam