Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Hadis ke29 Dalam 40 Hadis Penawar Hati





Di dalam menjalani kehidupan seharian, seharusnya kita tidak lupa bahawa hidup adalah ujian, baik atas perkara yang kita senangi atau perkara musibah, dukacita dan kepayahan yang kita alami. Bila ditimpa musibah, hendaklah redha dan bersabar dan bersyukur bila dikurniakan nikmat. Barulah nikmat dan rezeki yang diperolehi penuh dengan keberkatan yang walaupun sedikit terasa banyak dan mencukupi. Ini adalah peringatan untuk diri saya sendiri yang sangat lemah dan kerdil di sisi Allah. Hari ini saya ingin kongsikan berkenaan Hadis ke 29 Dalam 40 Hadis Penawar Hati oleh Ustaz Najhan Shahir Halim. Tulisan ini telah saya salin dan olah berdasarkan catatan nota yang telah saya buat sepanjang majlis ilmu ini berlangsung. Ampun dan maafkan saya sekiranya terdapat kesilapan dalam olahan saya. Maksud hadis dari  Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda berbuat kebaikan sebelum datang 7 perkara yang pasti akan dirasai oleh semua orang, iaitu: 

1. Kefakiran. Kita disarankan supaya menyegerakan berbuat kebaikan, bertaubat dan berbuat amal soleh sebelum datangnya kefakiran. Ada ketika kita akan melalui zaman sempit dan meleset bila Allah menguji dengan kita kehilangan segala galanya, sebagai contoh akibat dari bencana banjir atau kebakaran. Jangan ditunggu keadaan susah, baru kita nak menadah tangan beramal dengan Allah. Bila susah, baru kita hendak berdoa bersungguh sungguh kepada Allah. Bila lepas dari kepayahan, kita kembali melupakan Allah. Boleh rujuk Surah Yunus ayat 12

2. Kekayaan yang menyebabkan kezaliman. Sesungguhnya manusia akan melampaui batas kerana menyangka mereka memiliki segala galanya, jadi buat apa nak berdoa pada Allah. Manusia akan melakukan kezaliman dan melampaui batas kerana merasa ada segalanya. Bila kita diuji dengan kelebihan, kita kena ingat yang memberinya adalah Allah. Adakah kita bersyukur dengan nikmat dan kelebihan yang diberi. Semua yang Allah  bagi adalah dalam bentuk ujian samada dalam perkara yang kita senangi atau yang tidak kita sukai juga adalah ujian Allah sebagai contoh musibah, sakit dan kepayahan,.

3. Sakit. Rebutlah nikmat sihat untuk beribadat sebelum datangnya sakit. Nikmat sakit setanding dengan nikmat umur. Ada orang yang sudah tak boleh membaca Al Quran kerana mata dah tak nampak disebabkan penyakit kencing manis. Nikmatnya penglihatan yang Allah beri untuk kita beribadat. Alangkah rugi setelah mata tidak lagi nampak untuk membaca Al Quran. 2 nikmat yang sering disia siakan iaitu nikmat kesihatan dan kelapangan masa. Nabi SAW dan Allah SWT menyukai orang yang beribadah, lebih lebih lagi menyukai orang muda yang beribadah. Orang sekeliling Rasulullah ialah orang orang yang muda. Jadi perbanyakkan amalan di usia muda. Iman Shafie meninggal dalam usia 40an. Allah rindu nak berjumpa dengan mereka yang banyak amalan. Ada manusia yang dipanjangkan usia kerana Allah hendak menambahkan azab. Lebih panjang usia, lebih banyak maksiat lebih banyak azab. 

4. Usia tua yang menggagapkan percakapan. Ada orang mengharap rahmat Allah dengan tidak beramal. Mengharap pengampunan Allah di hujung usianya. Ini yang kita takuti. Allah menjanjikan pengampunan kepada sesiapa yang dikehendaki kecuali mereka yang melakukan syirik. Kita kena ingat yang ianya diberi kepada sesiapa yang dikehendaki. Jangan hanya mengharap tanpa diikuti dengan amal soleh. Nabi Muhamad SAW walaupun maksum dan tidak ada dosa telah diberi pengampunan pada dosa lalu dan dosa akan datang tetap beristighfar 70 kali sehari sebab baginda mahu menunjuk contoh teladan kepada umatnya

5. Sebelum datangnya kematian yang melenyapkan sesuatu. Perbanyak beramal sebelum datangnya apa yang dikatakan boleh menghapuskan kelazatan iaitu kematian. Kematian yang kamu cuba lari, ia akan datang kepada kamu. Datangnya mati seolah berada antara celah pejam dan celik mata sahaja. Bayangkan berapa ribu kali kita celik dan pejam mata dalam sehari. Begitu cepatnya kematian akan berlaku. Mengingat mati adalah satu ibadah yang baik. Cara untuk mengingati kematian ialah dengan antaranya menziarahi orang sakit, iringi jenazah, ziarah kubur dsb. Disuruh kita bagi salam pada ahli kubur, sebut dalam doa yang kami akan ikut sama nanti. Jadi kita diingatkan supaya kita tidak melambatkan taubat dan istighfar kita dan perbanyakkan amalan soleh.

6. Beramal sebelum datangnya dajjal. Tanda akhir zaman adalah datangnya dajjal. Banyak tanda tanda kiamat paling hampir adalah berlakunya peperangan di Syria, di Arab pula ada salji yang turun dan Gaza banjir. Satu persatu tanda kiamat datang. Dajjal akan datang ke satu tempat ke tempat lain dan duduk selama 40 hari. Semua akan diranap dan kemudian pindah ke tempat lain pula kecuali Mekah dan Madinah. Masa tu, kita dah tak sempat untuk beribadah dan bertaubat. Dajjal adalah sejahat jahat makhluk yang akan melakukan kerosakan di muka bumi dan ramai manusia terpengaruh dengannya. Kenalah kita perkemaskan amalan kita supaya kita tak ikut fitnah dajjal dan kembali kuffur. Dajjal akan menjanjikan kemewahan dsb. Dajjal suka berbohong dan buat tipu daya sehingga ramai manusia jadi kuffur. Betapa dasyatnya keadaan masa itu yang tidak boleh dibayangkan.

7. Sebelum datangnya hari kiamat. Kita kena beramal sebelum datangnya hari kiamat. Betapa dasyatnya hari kiamat sehingga seorang Ibu yang sedang mendokong anak pun, akan terlepas anak begitu sahaja. Anak dah tak lagi dipeduli. Kalaulah didunia sekarang, pasti seorang ibu akan memeluk dan melindungi anaknya. Ini adalah kerana suasana kiamat amat menggerunkan. Semua orang akan berada dalam keadaan yang sangat takut pada Allah.

Inilah 7 pesanan Nabi Muhamad SAW kepada umatnya. Ingatkan juga orang yang di bawah tanggungjawab kita. Tak lepas kalau sekadar kita yang beramal tetapi anak dan isteri mungkar dan berbuat dosa. Pelihara lah diri kamu dari api neraka di mana bahan bakarnya ialah manusia. Malaikat yang garang tak pernah melawan Allah walaupun sedikit akan menarik ubun ubun. Ini adalah kerana ubun ubun iaitu tempat otak manusia yang paling aktif tempat yang kita berbohong dan menafikan akan kebenaran. 

Azie
Azie Selamat datang ke blog Azie Kitchen. Saya seorang isteri dan ibu bekerjaya yang punya minat mencuba resepi masakan bila punya kelapangan masa. Ingin berkongsi resepi yang diperolehi dari kawan kawan atau dari blog blog yang telah dicuba. Saya ingin mengisi masa dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manafaat yang berpanjangan samada di dunia dan juga akhirat. Saya akan memaparkan pengalaman sendiri dalam kehidupan seharian saya di dalam bab masak memasak. Semua GAMBAR adalah HAK CIPTA TERPELIHARA! Harap minta izin terlebih dahulu jika ingin mengambil atau menggunakan gambar gambar di dalam blog ini. Sebarang komen atau pandangan, amat dialu alukan. Sekian terima kasih.

2 ulasan for "Hadis ke29 Dalam 40 Hadis Penawar Hati"

  1. Peringatan untuk semua kita. Terima kasih.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum ... tersentuh saya membacanya ... mohon sharing ye sis ..

    BalasPadam