23 Mar 2013

Karipap Sardin Mackerel Yang Mabeles




Karipap Sardin Mackerel




Hari Sabtu lepas, saya membuat Karipap Sardin sebagai memenuhi permintaan Juita yang mahukan karipap sardin. Lagi pulak, karipap Ayam yang kononnya dibuat banyak dan disimpan dalam freezer untuk dijadikan hidangan apabila tetamu berkunjung dan sebagainya telah tinggal beberapa ketul. Klik di SINI untuk Karipap Ayam. Itupun sebab saya minta supaya disimpankan untuk Boy yang memang suka makan karipap. 

Untuk Karipap Sardin hari ini, walaupun namanya Sardin tapi saya menggunakan Sardin Mackerel kerana isinya lebih sedap. Bila Nelly membeli Mackerel cap Ayam, lagilah saya tak tertahan. Mencukai 2 ketul untuk dimasak Sambal Tumis Sardin. Haa itulah sebabnya sardin yang saya gunakan dalam resepi tu hanya 2 1/2 tin sahaja. Pelikkan? Tapi itu pun ngam ngam dengan doh untuk 1 kg tepung. Tapi tak ada rezeki sebab bila time nak makan tengok 2 ketul Mackerel dah hilang. Apa nak buat, anak anak semuapun macam saya juga, suka makan sardin dan Mackerel. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi kan?

Karipap Sardin Mackerel

Alhamdulillah dalam bahu sakit sakit, akhirnya siap juga karipap Sardin saya dengan dibantu Juita. Telah beberapa hari tidak bersua muka dengan Nana. Beliau keluar sebelum saya turun dari bilik dan balik setelah saya tidur. Kalau tidak, pasti dialah yang akan tolong saya untuk mencanai pastri karipap ini. Semoga Nana dikurniakan kekuatan dan kemudahan untuk menghadapi semua ini. Saya sangat risau akan kesihatannya jika ianya berterusan dalam jangka masa yang lama. Insya Allah, saya yakin Allah akan memberikan kekuatan kepada Nana untuk menempuhi sebarang cabaran. Sesungguhnya karier sebagai seorang doktor sangat mulia di dunia dan juga di akhirat.


Saya catatkan resepi di bawah untuk rujukan anak anak di masa hadapan. Saya memasukkan juga ubi kentang kerana jika menggunakan semua sardin, tentunya tak mencukupi dan perlulah lagi ditambah. Jadi kos pun lagi mahal. Tapi ianya tidak menjejaskan keenakan karipap kerana inti sardinnya masih banyak berbanding dengan karipap sardin yang dijual...


Tapi sebelum tu nak share sikit intipati kuliah zohor Ustaz Ibrahim Muhamad yang menyebutkan 5 waris yang layak menerima harta pusaka iaitu ibu, bapa, suami, isteri dan anak anak. Walau bagaimanapun, sebelum pembahagian harta pusaka dibuat, perkara berikut perlu dibuat pada harta si mati mengikut turutan:

1. Biayai kos urusan pengkebumian
2. Bayar hutang
3. Tunaikan wasiat tidak melebihi 1/3 bahagian
4. Pembahagian pusaka

Berhati hati dalam bab pusaka kerana memakan harta pusaka yang tidak layak adalah sangat besar dosanya. Jangan sekali kali menggunakan harta si mati untuk tujuan tahlil dsb nya kerana dikuatiri memakan harta pusaka. Akhir sekali, Ustaz Ibrahim berpesan supaya mengamalkan membaca 2 ayat terakhir surah Al Baqarah sebelum tidur supaya kita dilindungi dari sebarang musibah.


Karipap Sardin Mackerel

Karipap Sardin Mackerel

Bahan bahan:

Bahan Pastri:
1 kg tepung gandum
1/2 cawan majerin/mentega
1 cawan minyak masak
2 sk garam
450 ml air

Cara cara:

Panaskan majerin bersama sama dengan minyak sehingga majerin sehingga cair dan benar benar panas. 

Tuangkan majerin panas tadi ke dalam tepung gandum dan gaul rata. Apabila telah suam, uli sebati sambil ditambah air sedikit demi sedikit sehingga mendapat doh yang sederhana lembut. Saya menguli doh menggunakan kitchen mixer sahaja. 

Rehatkan doh selama 30 minit hingga 1 jam di dalam peti sejuk. Canai doh dan bentukkan karipap. Jika ada lebihan doh, boleh disimpan di dalam freezer.


Bahan Inti:
2 1/2 tin Sardin Mackerel - tin besar
3 biji ubi kentang besar - potong dadu
8 ulas bawang putih
3 biji bawang besar - potong dadu
2-3 biji cili merah - hiris halus
1 pokok daun sup - hiris
1 sb cili kisar - jika suka pedas
Garam
Gula 

Cara cara:
Asingkan ikan sardin dan sosnya. Hancurkan ikan sardin dengan menggunakan garfu. 

Tumis bawang putih sehingga naik bau. Masukkan sedikit cili kisar jika suka pedas dan masukkan kentang. Goreng sehingga kentang lembut. 


Masukkan isi ikan sardin dan kacau sehingga masak. Bila naik minyak, masukkan bawang besar, cili merah dan akhir sekali daun sup. Masukkan garam dan gula secukupnya. Sejukkan inti sebelum dibentuk menjadi karipap.




Karipap Sardin Mackerel



Cara saya membuat karipap menyebabkan karipap yang dihasilkan agak tidak konsisten saiznya. Kalau untuk dimakan sendiri, memang OK kerana ianya sangat cepat. Selepas memasukkan inti, saya membalut, menekan pastri keliling dan memotong lebihan pastri dengan menggunakan pisau. Saiznya hanya diagak agak sahaja.Lepas tu picit picit lagi dan di kelim seperti biasa.





Karipap Sardin Mackerel



Pastikan minyak yang banyak dan betul betul panas. Selepas itu, api dapur ditutup dan dimasukkan karipap. Kemudian barulah dinyalakan semula api dapur. Dengan cara ini, karipap kita menjadikan kurang berjerawat dan menggerutu. Gorenglah dengan api perlahan sehingga masak dan garing.




Karipap Sardin Mackerel

Karipap Sardin Mackerel


Untuk dibuat karipap frozen atau sejuk beku, ada dua cara iaitu satu digoreng dulu separa masak. Angkat, sejukkan dan masukkan ke dalam bekas bertutup atau freezer bag dan simpanlah di dalam freezer.



Karipap Sardin Mackerel



Cara kedua ialah dengan menyusun karipap yang telah siap di kelim dan disusun di dalam dulang dengan jarak antara satu sama lain. Masukkan dulang ini ke dalam freezer dalam 30 minit. Selepas itu, keluarkan dan masukkan ke dalam bekas bertutup atau freezer bag. Simpan lah di dalam freezer.




Karipap Sardin Mackerel


Selamat mencuba....

11 ulasan

inti sardin memang tetap best..suka sangat..

K.Azie dah sampai ni...nk karipap 3 ketul..

nikee suka curry puff ni..kalau inti sadin ke makerel ke..pasti nikee racik daun limau purut..wangi kakak!

Ermm lama tak buat karipap but yg sardin nie jarang buat sbb D5 sorang je yg makan nk tak nk kena beli je lah walaupun xbape best ...

Tq Azie sudi mencuba resepi kulit pastry saya.. :)

Terima kasih juga kerana sudi berkongsi resepi. Skrg saya cuma guna resepi ini sahaja kerana mudah. Resepi saya sendiri kena main agak agak, jadi anak anak yg tak berpengalaman, susah nak mngagaknya. Dengan resepi Shiela, ikut jer resepi, pasti menjadi. Doh ini pun disediakan Juita. Uli pulak guna kitchen mixer

Masuklah. Nah ambik satu tupperware

Nikee, I pulak tk suka kalau pastri berlapis lapis mcm curry puff. Kalau sardin roll, mmg suka sangat sangat

Hmmm hepi tengok D5 singgah sb macam dah lama D5 tak singgah di blog Azie Kitchen

Assalamualaikum. Terima kasih kak Azie atas segala perkongsian di blog ni. Saya kalau nak masak yg lain dr kebiasaan bog ni akan jadi rujukan sebagai asas..tp sy xpndai ikut sukatan sgat so tgok apa bahan sebagai guide then guna sukatan agak2 hehehe...thanks kak Azie


EmoticonEmoticon