1 Jun 2012

Masak Lemak Telur Itik Dengan Belimbing Buluh


Masak Lemak Telur Itik Dengan Belimbing Buluh

Tengah tengah memikirkan apa lauk yang nak dimasak, sempat bertanya sahabat saya, Roy macamana cara untuk memasak lemak telur itik untuk menjadikannya lebih sedap. Dia mencadangkan supaya dimasukkan belimbing buluh untuk menjadikan Masak Lemak Telur Itik lagi sedap. 

Balik dari pejabat terus singgah di beberapa kedai runcit, mencari belimbing buluh. Oleh kerana tak juga jumpa, saya terus sms Roy meminta beliau tolong membelikan untuk saya. Keesokannya, 1 plastik dibawanya yang diminta dari pokok rumah jirannya. hahaha suker suker suker...


Masak Lemak Telur Itik Dengan Belimbing Buluh

Lauk Masak Lemak Telur Itik ini memang lauk kegemaran saya. Setiap kali ke bazar ramadhan, inilah lauk yang saya akan beli 2 atau 3 kali dalam seminggu untuk diri sendiri kerana anak anak tak berapa gemar sangat, lagi pulak mereka telah memilih sendiri lauk yang disukai yang dijual di bazar. Hubby pun tahu yang saya suka lauk ini, jadi kalau dia sendirian ke bazar ramadhan, dia akan membelikannya juga untuk saya. hahaha husband mithali mestilah tahu apa yang disukai isteri yang disayangi, kan...


Masak Lemak Telur Itik Dengan Belimbing Buluh

Inilah kali pertama rasanya la, saya memasak sendiri Masak Lemak Telur Itik dan diletak pula belimbing. Waduh waduh, bukan dua tapi tiga kali tambah, memang sah hancuish giler diet si Azie ni. Hari hari azam nak diet tapi kalu macam ni, baik hapuskan sahaja azam tu. 


Terlalu sedap nyer masak lemak telur ni, kena pulak dengan belimbing buluh yang lemak lemak masam kelat, sedap jer rasa di tekak ni. Hari ini makan pulak dengan Ikan Kerisi Masak Tauchu dan Udang Goreng Butter, alahaai memang sah dan sahih lah, selamat jalan diet... Jom layan resepi dulu...




Masak Lemak Telur Itik Dengan Belimbing Buluh

Masak Lemak Telur Itik Dengan Belimbing Buluh
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5 biji telur
1 batang serai - titik
1 helai daun kunyit - hiris/siat
10 biji belimbing buluh
Santan pekat
Santan cair
Garam

Kisar:
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji cili padi kampung 
1 biji cili merah

Cara cara:
Kisar bahan di atas dengan santan cair. Masakkan bahan kisar dengan serai sehingga mendidih menggunakan api yang kecil.  

Apabila mendidih, pecahkan telur dalam mangkuk dan masukkan ke dalam kuah tadi secara perlahan lahan. Jarakkan antara satu sama lain. Boleh dimasukkan sedikit cuka supaya telur tidak pecah.

Masak sambil dikacau perlahan sehingga telur mengeras. Tuang santan pekat, masukkan belimbing buluh, daun kunyit dan garam secukupnya. Terus kacau supaya pati santan tak pecah minyak.

Masak Lemak Telur Itik Dengan Belimbing Buluh

 Bila mendidih, bolehlah ditutup api supaya belimbing masih rangup.

Masak Lemak Telur Itik Dengan Belimbing Buluh

Nota:
Jangan masak telur terlalu lama kerana ia akan menjadi keras. Boleh juga dimasakkan telur di dalam bekas lain sebelum dimasukkan ke dalam kuah terutama jika telur kelihatan belum masak.


EmoticonEmoticon